Isnin, 30 November 2009
Artikel
Sudah aku tidak menulis di ruangan blog ini. Ini adalah kali kedua aku mungkin memberi alasan 'sibuk'. Sememangnya aku sibuk dengan kerjaya yang memang tidak menawarkan sedikit kebebasan. Terkadang aku suka mendengar bunyian loceng yang menderu dari lelangit anak-anak marhaen yang menangis dan sebak di dalam ranjau kesibukan aku. Ada yang kelaparan, ada yang kehausan, ada yang kehilangan, ada yang kebingungan dan banyak yang mengharap dengan mengemis kasih simpati dari mata manusia yang derap memukul nobat bumi di sekeliling mereka.
Ah! Nobat disalut oleh kain kuning keemasan. Pemerasan membuatkan kemanusiaan terbunuh dan terkadang tepat apa kata WS Rendra di dalam sajaknya yang bertajuk 'Doa Orang Lapar'(Sila layari Youtube dan taip Doa Orang Lapar). Aku menjadi hairan apabila aku bersuara tentang kemanusiaan walau di dalam sibukku, mereka yang menjunjung nobat sering bermanifestasikan lesu dan bosan.
Dunia ini adalah setongkol bangkai yang bersepah disusuk-susuk kesucian yang sufi dan abdi. Nobat dipalu golongan kemewahan, loceng didering oleh golongan marhaen. Lumrah sesuatu bunyi yang berdering suasananya seolah meyakitkan telinga dan membingitkan. Lumrah si nobat pula, bunyinya agak mengerunkan dan menggegarkan segala isi jantung dan lutut yang ketar. Sememangnya manusia suka memilih antara keduanya. Sememangnya aku diajar untuk mendengar dering walau ia menyakitkan dan terkadang memekikkan. Aku juga turut diajar untuk tidak patuh membuta dengan nobat walau bunyinya derap menggemparkan dan menyentak.
Antara dering loceng dan derap nobat antara itu kita harus pilih. Maafkan atas kesibukan aku yang sengaja sibuk dengan kesibukkan. Aku pernah mendengar suatu falsafah di mana, bagi orang muda setahun seperti sehari, bagi orang tua sehari seperti setahun. Ajarilah diri untuk menjadi tua. Antara sebab aku sibuk, kerana aku dalam proses menghasilkan sebuah buku Antologi Puisi yang bertajuk KHAZANAH KEKASIH ADIKARA. Untuk mendapat khabar berita tentang buku tersebut bolehlah saudara-saudariku semua terus mengikuti perkembangan di blog ini. Puisi-puisi yang cukup menarik untuk dihayati InsyaAllah. Bermula dengan 'Dari Tanjung Sendu Ke Pulau Bahagia' hinggalah diakhiri oleh 'Sebelum Aku Pergi'. Khazanah Kekasih Adikara adalah perjalanan hidup dan pahit manis penulis Amni Jagat.
Selasa, 13 Oktober 2009
Risalah Siasah
Selasa, 6 Oktober 2009
Makalah
CERPEN LEGENDA MISTIKAL
Dalam beberapa menjak ni, aku sering terbayangkan irama legenda mistikal yang ingin aku luahkan di atas sekeping kertas yang berpaksikan cerpen. Tetapi mungkin kali ini aku lebih mengambil pendekatan 'Legenda Mistikal'. Mungkin juga ia lebih epik dan agak mencabar berbanding cerpen 'Sue Fee'. Entah kenapa kali ini aku tegak-tegak merasakan tidak salahnya kita murnikan bahasa kita dengan bunga-bunga yang klasikal tetapi penuh mistik. Ada juga persoalan mengapa aku memilih mistik? Bagi aku ia bukanlah satu kewajiban untuk aku menulis atau mengiakan kemistikalannya, cuma pada pendapat aku ia lebih bersesuaian. Ini kerana konsep yang ingin aku tembak dalam hal ini adalah berkenaan 'mitos'. Maka dalam erti penghayatan yang lain aku boleh menulis dengan lebih bebas tanpa sempadan sejarah yang kejap. Ia sekadar sejarah mitos yang diada-adakan saja ia tidak ada kena mengena dengan segala mitos yang ada di muka bumi ini, cuma ilhamnya sahaja sedikit sebanyak aku mengutip daripada sejarah mitos 'Puteri Gunung Ledang' yang juga mitos.
Semasa Ramadhan yang lepas tanpa aku sedari, Maha Pencipta Maha Penyayang telah menghadiahkan aku dengan dua gulung ijazah yang di mana suara aku masih didengari di dalam akhbar harian yang bernama Berita Harian aku agak berbesar hati kerna dalam bulan Ramadhan tersebut aku diberi peluang untuk ke hadapan dengan mereka menerbitkan dua buah puisi aku dalam dada akhbar mereka. Terima kasih kepada Berita Harian atas sokongan anda pada Amni Jagat.
Minggu lepas aku telah merasakan bahang yang kuat dalam persada kehidupan aku sebagai seorang warga negara Malaysia di mana akan ada satu pilihanraya kecil di DUN Bagan Pinang yang akan berlangsung pada tarikh 11 Oktober 2009. Aku dengan semangatnya memohon bantuan Suhaizan Kaiat (Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat) untuk meminta tempat dalam kempen di atas pentas kebenaran untuk aku turut sama membantu dalam kempen dalam pilihanraya kecil tersebut dengan melontarkan suara deklamasi sajak di atas pentas. Namun Suhaizan agak kesibukan dalam menjalankan tugas sebagai ketua jentera undi pos Bagan Pinang lalu aku agak kurang bantuan lalu disumberkan oleh Suhaizan Kaiat untuk aku berurusan dengan Ketua Pemuda PAS Pusat yakni Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Makanya aku terus berurusan dengan beliau. Alhamdulillah sesungguhnya sokongan daripada seluruh kepimpinan PAS amat aku hargai di mana mereka dengan semangatnya ingin membantu aku dalam memberikan tempat untuk aku mendeklamasikan sajak demi kebenaran terus terpelihara. Aku menghormati dan berbesar hati dilayan sebegini hebat oleh kepimpinan Pemuda PAS yang terus berusaha membantu aku. Terima Kasih PEMUDA PAS. Abang Suhaizan Kaiat adalah sahabat aku di dalam perjuangan hidup aku. Suhaizan Kaiat, Dewan Pemuda PAS Pulai, Dewan Pemuda PAS Johor, Ketua Pemuda PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan seluruh kepimpinan PAS 'SALUT UNTUK ANDA'. Terima kasih kerana memberi peluang kepada diri seorang hamba yang bernama Amni Jagat ini. Tunggu kehadiran Amni Jagat di dataran Bagan Pinang untuk turun melawan suara-suara derhaka kepada kebenaran.
Tidak lama lagi Dengan Izin Allah SWT, aku akan menerbitkan antologi Puisi yang pernah aku ilhamkan dari petunjuk Yang Maha Pencipta. Judulnya 'KHAZANAH KEKASIH ADIKARA, Antologi Puisi Revolusi Islam oleh Amni Jagat'.
Ahad, 13 September 2009
CERPEN
FAJAR CINTA ABSTRAK (Episod 3 akhir)
Airmata si jejaka itu cepat dan lekas menyentuh bumi. Garang dan gagah pergerakan airmatanya menjamah pipi si jejaka itu. Keras perasaannya menerima berita duka dari bibir yang kini menjadi dendam baginya.
Si suami kebingungan, rumah tangga yang dibina selama dua puluh empat jam ingin diranapkan dengan begitu saja. Mengapa malamnya itu cinta, namun pagi berubah menjadi dusta?
“Tidak cukupkah dengan harta yang saya berikan pada awak selama ni?”
“Bukan harta yang saya pertikaikan, tapi abang sedar tak siapa abang sebenarnya.”
“Baik, awak tengok sendiri surat nikah kahwin kita. Apa bezanya dengan orang lain? Kita sah menjadi suami isteri.”
“Sah awak kata. Kadi tidak kenal awak. Awak tolonglah lepaskan saya.”
“Saya tidak akan lepaskan awak.”
“Awak memang seorang yang gila.”
“Kalau awak nak tahu bukan saya yang gila, tapi awak dengan orang tua yang terlalu gilakan harta saya. Awak tengok hari ni, berapa ramai manusia kahwin bukan kerana cinta. Dunia hari ni semuanya disebabkan duit sebagai tuhan.” Perlahan menyapu lembut peluh yang mulai muncul di permukaan dahinya.
“Siapa sebenarnya suami kau tu?”
“Aku malu nak cerita.”
“Aku tak menyokong untuk kau memutuskan hubungan kau dengan suami kau hanya kerana cinta kita dulu. Kita ada agama Wan. Ingat Allah untuk kau membuat keputusan. Janganlah kerana nafsu kau memutuskan hubungan yang indah terbina. Perkahwinan itu adalah kewajiban Wan. Kau kena ingat itu.”
“Kerana agamalah aku membuat keputusan aku sebegini.”
“Wan aku bukanlah seorang ahli seni yang boleh meneka tepat akan sebuah lukisan abstrak. Aku tidak boleh meneka apa yang tersirat di balik wajah kau.”
Mata Wanti kian mengecil memerhatikan wajah jejaka di hadapannya itu. Wajah Wanti yang sebegitu memang sudah menjadi kebiasaan si jejaka itu melihatnya dahulu ketika mereka mekar dalam arena cinta. Kegentaran mulai tercurah di balik lubuk rasa Wanti dan tidak ketinggalan juga lubuk rasa si jejaka itu yang kian hilang kesabaran untuk mendengar cerita sebenarnya.
“Kau teruskan saja hasratmu untuk meminta pandanganku. Mungkin ada fajar dalam cinta kau walau payah untuk kau meneka.”
“Aku... sebenarnya...”
“Sebenarnya apa Wan? Luruskan lidah kau seperti jujur hati kau.”
“Sebenarnya, suamiku bukanlah seorang suami.”
“Apa yang kau maksudkan, jelaskan Wan?”
“Aku takut kau tak percaya pada aku dengan apa yang hendak aku bukakan.” Kegentaran lebih kuat pula menyapa diri si jejaka itu berbanding Wanti yang kian yakin untuk menceritakan hal sebenarnya.
“Suamiku sejenis denganku. Suami aku seorang perempuan, dia bukan seorang lelaki. Dia kahwin dengan aku hanyalah untuk menutup aibnya yakni dengan alasan dia adalah seorang lelaki.”
“Apa Wan?”
Hingar bingar jeritan naluri si jejaka itu menyentuh kebingungan. Ternganga mulutnya dan mungkin sampai ke sudah ajalnya barulah hilang segala kekusutan itu. Pandangan Wanti kini, hanya menunggu kiamat yang bakal tiba.
TAMAT
AMNI JAGAT
Selasa, 8 September 2009
Ulasan Lirik Lagu
Bagi Amni Jagat, lagu ini cukup mencengkam minda pada permulaan pengenalan Amni Jagat pada lagu ini. Lagu ini lebih berat untuk Amni Jagat katakan ia berbentuk puitis yang banyak menggunakan bait-bait berbunga yang andai dihayati ia jauh lebih mendalam dari dasar yang kita ketahui pada asal lirik ini.
Lirik ini dapat juga kita olahkan ia dalam bentuk yang mistik -mungkin pada waktu itu lirik berbentuk mistik lebih laris-. Satu di antara lain adalah berkaitan liriknya yang terlalu hampir dengan suasana malam. Justeru kalau kita cuba menyelami lerengan baitnya pasti kita temui di mana wanita atau watak sang kekasih itu hadir pada waktu malam semena. Kalau kita dapat lihat di mana lirik itu menyebut 'usahlah cinta dibawa bersama, ditenggelami mentari di timur...' bahagian ini cukup menggambarkan bahawa cinta mereka bersemi sebelum terbitnya mentari di timur. Ia Sememangnya cukup menggatakan itu adalah waktu malam.
'Ku ingin selalu di sampingmu, tiap waktu siang melambai malam...' kata-kata ini lebih menggambarkan lagi bahawa hadirnya watak sang kekasih itu juga pada waktu malam. Bait yang berbunyi 'siang melambai malam' itu memberitahu kepada kita mengenai ketidak sabarannya sang penunggu cinta menunggu waktu malam itu hadir bagi ia meluahkan lagi cintanya terhadap sang kekasihnya itu.
Mengenai mistiknya yang cuba digarapkan dan diteka oleh Amni Jagat adalah mengenai bunga kemboja. Di sini penulis(Azida NS) cuba menggambarkan mengenai keharuman cinta mereka yang mekar mewangi sewangi kemboja. Apa yang kita tahu mengenai kemboja? Kemboja boleh dikaitkan dengan suatu perkara yang mistik. Ini berkenaan di mana bagi fahaman orang-orang melayu pada waktu lampau mereka menganggapkan kemboja adalah bunga bagi sang Pontianak. Salah satu lainnya juga kita umum mengetahui bahawa bunga kemboja adalah bunga 'kuburan' yang terlalu hampir ditaburkan di atas pusara. Fahaman ini mungkin sudah tidak relevan pada zaman kita hari ini namun boleh juga untuk kita sekadar mengkaji seketika mengenai kewujudan-kewujudan alam selain kita seperti alam Jin. Mungkin agak sempit bagi fahaman Amni Jagat bila saja dikaitkan dengan Bunga Kemboja, Amni Jagat terus menerus menerka bahawasanya lirik ini secara menyeluruhnya mengenai Pontianak atau mistikal bercinta. Mistikal ini boleh kita tambahkan lagi dengan alasan kewujudan watak sang kekasih itu sendiri yang hadirnya pada waktu malam semata.
Mengenai tajuknya 'Sejiwa'. Boleh juga Amni Jagat cuba menerka yang mana itu adalah berbentuk manusiawi dan Jin boleh mempunyai jiwa yang sama dalam halimunan pencintaan. Sememangnya watak keduanya harus mempunyai gerak yang sejiwa.
Dari pengalaman Amni Jagat mengenal lirik lagu ini sejak berdekad-dekad lamanya, Amni Jagat dapat merasakan lagu ini cukup untuk menghasilkan spiritualnya tersendiri.
Hal ini terpulang kepada sesiapa saja yang membaca di laman 'Khazanah' ini. Justeru kita sama-samalah memberi pandangan yang lebih lagi bagi kita sama-sama berkongsi menafsir ayat-ayat yang terselindung di balik bait-bait ini.
Tabik untuk Azida NS...
Lirik Pilihan
Khamis, 3 September 2009
CERPEN
FAJAR CINTA ABSTRAK (Episod 2)
Sejenak kian, si suami melangkah perlahan jejak memasuki rumah dalam keadaan keletihan. Mendung di raut wajah si suami jelas terpandang dalam mata isteri yang setia menunggu namun kesetiaannya kali ini membawa berita pemberontakan.
“Tak tidur lagi, Yang?”
“Bukan itu jawapannya.”
“Saya penat ni. Sudahlah awak pergi tidur.”
“Macam mana saya nak lelapkan mata saya andai awak itu bukanlah seorang suami?”
“Apa yang awak merepek ni?” Wajah si suami tetap tenang.
“Saya dah tak tahan lagi. Cukuplah selama ini saya menanggung dosa. Keputusan yang saya pilih ini adalah tepat. Awak mesti ceraikan saya.”
“Tak boleh.”
“Kenapa tak boleh?”
Wajah kedua ibubapa tergambar gagah dengan senyuman mesra kepuasan. Di hari yang bahagia dengan pasangan pilihan mereka, kedua mereka terlalu gembira. Tiada yang dapat digemparkan lagi di hati Wanti sejurus melangkah menaiki pelamin yang serba mewah itu. ‘Wanti dikahwinkan dengan orang kaya’ itulah perbualan yang menyirami subur pada bibir-bibir warga yang turut terjemput untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.
Tiada cinta di hati mereka, tiada bahagia yang dapat dicapai namun Wanti lebih selesa untuk memandang harta sebagai pilihan untuk bersatu ataupun Wanti sudah penat untuk menidakkan kata-kata ibubapanya yang menolak mentah-mentah pilihan hatinya.
“Ayah tak boleh buat macam ini.”
“Kau jangan nak mengarah aku.”
“Wanti bukan nak mengarah ayah.”
“Aku taburkan benih, sehingga kau dapat melanjutkan pelajaran kau lebih jauh ke universiti, hasilnya kau nak melawan cakap aku.”
“Bukan begitu ayah.”
“Habis kalau bukan itu, apa dia?”
“Ayah tak faham.”
“Kau yang tak faham, keluarga Dato’ Sallehlah yang membantu kau melanjutkan pelajaran ke universiti. Anak dia anak yatim piatu, segala warisan harta bapaknya termaktub di bawah nama anaknya yang tunggal itu. Kau kenalah faham. Ayah dulu drebar Dato’ Salleh. Anaknya baru balik dari Australia menguruskan syarikat ayahnya. Dari kecil lagi selepas Dato’ Salleh cerai dengan isterinya, anaknya itu dijaga oleh isterinya di Australia sehingga Dato’ Salleh membuka sebuah syarikat di sana. Ayah kenal bakal suami kau tu. Ayah tak mahu kau sia-siakan hidup kau berkahwin dengan orang yang tak tentu hala hidupnya.”
Angin meniup kencang, sekian lima tahun namun angin kencang itu tidak berjaya reda walau apa sekalipun yang cuba dilakukan. Wajah si suami tetap menjadi tatapan benci dan dendam. Kehidupan rumah tangga itu semakin kucar kacir. Nafiri damai tiada lagi dapat didengari melainkan buat Wanti hanyalah dengan memanggil orang luar untuk mendengar keluhan dan luahan yang terbuku rapi, keras dan jitu dalam halus lubuk hatinya.
“Mengucap Wanti, Istighfar.”
“Bukan aku yang harus mengucap dan Istighfar, tapi suami aku.”
Selembut wajah mendayu, sekilas warna biru lautan menjadi tanda tanya pasangan yang sedang menudungi asmara gagah membara di hati. Kamar pengantin malam itu cukup berseri tatkala pengantin perempuan sedang menanti saat kemuncak setiap sudut perkahwinan. Wajah si suami gagah menyusuri perlahan kamar itu. Walaupun pernah dikatakan pada kekasihnya bahawa cinta yang asli itu tidak akan mati walau ditelan buana neraka sekalipun namun Wanti seolah lupa akan kata-katanya itu. Si suami di hadapannya kini adalah cinta baru baginya. Cinta kekasihnya telah pun terkubur pada malam itu. Tidak lama sedemikian waktu, maka terpadamlah lampu kamar tersebut. Langit menjadi gerun alam menjadi riuh dan hati seorang jejaka menjadi korban. Kamar perkahwinan itu menjadi saksi akan sebuah cinta yang baru berputik.
“Aku tak boleh meneruskan rumah tangga aku lagi.”
“Wanti aku lihat, waktu malam pertama kau menjadi isteri. Aku dibelakang kamarmu.”
“Kau tahu segalanya?”
“Tidak, aku hanya dari jauh.”
“Tidak, aku masih dan tetap mengenang cinta kita.”
“Wanti, cinta kita sudah mati Wanti.”
“Cinta kita tidak akan mati.”
“Kau sendiri mengatakannya pada malam terakhir kita...”
Suram malam itu berteman airmata jernih jatuh menitis dari pipi seseorang yang tewas dalam matlamat mempertahankan cintanya. Seorang pendayung cinta kini kian terhanyut di bawa dek arus deras gelora cinta. Dari mula sehingga sewaktu-waktu airmata tetap menemani penantian si jejaka itu menanti kemunculan kekasihnya dalam pertemuan yang begitu kemuncak sebagai jawapan bagi cinta mereka.
Jelmaan yang dinanti muncul kelak di kala pernantian sedang dirangkul kuat oleh hati yang kian berdebar. Reaksi Wanti kali ini tetap dengan senyuman sekuntum di bibir. Senyuman itu menjadi tanda tanya akan pengakhiran sebuah cinta ataupun permulaan sebuah cinta.
“Dah lama tunggu?”
“Tidaklah terlalu lama.”
Pasangan itu sediakala memilih tempat bertenggek masing-masing. Bulan, bintang, langit dan awan yang agak suram menjadi saksi segala cerita. Debaran hati jejaka itu semakin membuak membunuh segenap kesucian malam. Keinginan mengetahui jawapan dari mulut yang selama ini dipuji dan dipuja olehnya itu menjadi sasaran yang sebenar dan utama.
“Abang, sayangkan bukan kita yang mengakhiri segalanya.”
“Apa, ah! Abang tak faham Wan, Wan terangkan pada abang.”
“Terangkan apa bang?”
“Wan, apakah kata-kata Wan ini adalah pengakhirannya?”
“Baguslah kalau abang dah tahu.”
“Wan, kenapa... ish.?
“Abang kenapa menangis? Bukankah abang juga yang kata, cinta itu harus didatangi dengan pengorbanan. Abang ingat lagi tak? Itukan mercu tanda cinta kita.”
“Wan, kenapa Wan cakap macam tu? Wan terlalu tenang Wan. Adakah Wan setuju dengan apa yang orang tua Wan rencanakan?”
“Setuju pun tidak, menyokong pun tidak. Wan cuma mahukan suatu kebahagian.”
“Wan kenapa dari awal lagi Wan tidak memberitahu kepada abang yang Wan tidak bahagia di sisi abang.”
“Bukan tak bahagia bang, cuma terkadang apa yang orang tua Wan kata ada benarnya. Zaman sekarang harta menjadi kepentingan. Cuba abang fikir jika kita mewah, apa saja yang kita hajati tetap dan pasti kita dapat. Abang lupakanlah segalanya bang. Anggaplah saja kita tidak ada jodoh.”
Bersambung...
Isnin, 24 Ogos 2009
CERPEN
Jejak terhenti dibela langit malam, dibelenggu memori kelam dan di bawah suci lampu malap neon jalanan. Luahan hati tetap terbelit menyelinap kusut memintal lubuk perit sejarah citranya. Ianya disebabkan cinta. Perkaranya adalah fitrah cinta seorang manusia ke atas individu yang lain. Tewas dalam percintaan adalah azab bagi seseorang yang dinamakan pencinta. Kini dia kesunyian suntuk menghitung masa.
Hasil dari buah kehampaan, dia terus menjadi kacau. Lima tahun dahulu perpisahannya disuntik semula oleh karisma ilmu agama yang dipelajarinya di sebuah sekolah pondok dengan tujuan untuk menyalurkan segala cintanya kepada Yang Maha Satu selamanya. Namun tidak pada saat, waktu dan ketika ini, apabila munculnya semula wajah yang pernah dicintainya itu mengharapkan belas ihsan darinya.
“Rumah tangga yang aku bina tidak seindah yang aku andaikan.”
“Aaa...kkku...”
“Tolonglah aku.”
Memang kusut untuk terhurai. Jejak kakinya tergantung untuk menjawab penagihan airmata kekasihnya itu yang muncul semula dalam hidupnya. Persoalannya adalah rumah tangga. Perkara atau soal itu tidak boleh dibawa remeh bagi dirinya apatah lagi wanita yang menagih itu adalah bekas kekasihnya yang dipisahkan secara zalim suatu ketika dahulu.
“Kau anak sial. Aku tidak mahu kau berkawan dengan anak aku.”
“Tapi, pak cik saya cuma... apa... mengapa...?”
“Wanti sudah ada pilihan dan tarafnya.”
“Benarkah Wanti?”
“Ya, memang benar.” Wanti.
Allah SWT saja yang tahu betapa hancurnya hati seorang jejaka tatkala kekasih yang disayanginya itu mengatakan sedemikian rupa. Bumi tidak terjejak, langit tak terlihat, alam tak bernyawa dan segalanya bagaikan kiamat. Persandingan di puncak syurga diimpikan menjadi punah. Airmata sudah menjadi lautan yang sangat dalam. Karam, tenggelam dalam suram.
“Tolonglah aku. Kau ingat tak janji kau padaku?”
“Aku tak faham.”
“Kau tak ingat. Bukankah kau pernah berkata yang aku ini adalah bidadarimu. Kau berjanji akan melindungi aku buat selamanya.”
“Apa yang kau mahu sebenarnya?”
Kian gila dibuatnya. Rayuan dan harapan diletakan kepadanya. Airmata menjadi bukti kesungguhan pengharapan seorang kekasih kepada dirinya. Namun apa yang dipandang olehnya hanyalah sebuah syurga yang dibina dari Rahmat suci Sang Izzati. Tidak mungkin sebuah istana suci menjadi ranap hasil daripada pandangannya yang cukup sensitif andai dicurahkan pada waktu yang kian menjerat nalurinya. Kebingungan kian memuncak bagai deru suara jeritan ‘ahlul nar’ yang kehausan kasih dan sayang.
Kelam makin meliak bersatu dengan dirinya. Acap kali nyanyian suara-suara kenangan kian mengganggu. Kenangan dan realiti kini menjadi satu.
“Aku bertekad untuk bercerai.”
“Apa? Kau, ah.”
“Ini pilihan aku.”
“Tapi kenapa? Mengapa?”
“Kau tak akan faham perasaan aku.”
Ria malam di persada meja makan malam itu cukup gamat apabila sekali lagi hayunan kata-kata hikmat cermat membuka hemat rentapan keduanya. Termenung lagi seketika berketika.
Taman impian yang penuh dengan bungaannya menjadi pilihan pasangan yang kian menghampiri zaman kemuncak kemenangan. Ke mana saja mentari tetap menyinari perhubungan itu. Makin unik, makin suci, makin gemirap bila di antara mereka diselitkan dengan irama-irama nyanyian hati sebuah kejujuran. Purnama, matahari, bintang atau pelita sudah kebiasaan menyuluh sinar bagi selembar tasik asmara cinta mereka berdua.
“Kau ibarat pungguk yang merindukan bulan.”
“Kau pula bulan yang senangtiasa dirinduiku. Andai hilang kau pada malam itu, akan ku puja kau di balik langsir awan malam.”
“Hai, apalah gunanya purnama tanpa pungguk yang selalu merinduinya. Pasti kesunyian itu menjadi jawapannya.”
“Usahlah kau khuatir wahai purnama, aku akan tetap merinduimu walau kita berpisah langkah.”
“Berpisah langkah, mungkin siang yang menjadi mainan pengaduan kita.”
“Pincang langkah si Adam tanpa Hawa.”
“Hawalah syurga si Adam.”
Bersambung...
Jumaat, 21 Ogos 2009
Membaca cerpen di Blog
Cerpen yang akan datang itu bertajuk FAJAR CINTA ABSTRAK.
Sebuah cerpen yang berkisarkan perihal rumahtangga yang bergolak. Pergolakkan itu menimbulkan pertanyaan yang bermacam yang digelar 'abstrak'. Kehadiran watak utama(bekas kekasih Wanti) telah membongkarkan segala rahsia rumahtangga yang telah diimpikan Wanti. Namun Wanti terus bertekad di hadapan bekas kekasihnya itu untuk bertindak luar dari batasan yakni dengan cara Wanti tetap akan memohon cerai. Adakah bekas kekasihnya itu yang menjadi punca segala keretakan perkahwinan Wanti. InsyaAllah kita tunggu pada tarikh yang telah dijanjikan.
Dengan Izin Allah, kita sekali lagi bertemu Ramadhan Al Mubarak.
Ke mana hilangnya roh Bahasa Ibunda Melayu
Allah Hu Akbar... aku begitu marah dan gundah bila disebutkan tajuk sebegini rupa dalam akhbar tabloid KOSMO. Aku di negara mana ni? Adakah aku di negara yang mengamalkan bahasa selain daripada Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia.
Pada tahun 1972 satu akta telah dikeluarkan yang menegaskan bahawasanya perlu untuk menggunakan bahasa ibunda melayu sebagai bahasa rasmi. Akta itu juga telah dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak(Bapak kepada Perdana Menteri Malaysia ke-6). Akta ini telah diwajibkan dengan sekeras-kerasnya.
Adakah ini hadiah untuk aku sebagai penyarung kebudayaan bahasa ibunda aku dalam menyambut erti kemerdekaan yang ke 52 Malaysia. Satu Malaysia atau Satu sia-sia?
Binatang mana yang merosakkan bahasa ibunda ini? Perkataannya bukanlah Bahasa Ibunda tapi BM yakni Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia. Andai kalau ada guru yang menggunakan bahasa cina atau bahasa india adakah guru itu akan diambil tindakan. Bukan aku mempertikaikan bahasa lain tapi mengapa Bahasa Melayu, kenapa Bahasa Melayu? Mungkin zaman ini kita akan lebih mudah untuk mengenali siapa 'PENGKHIANAT BANGSA'. Sayangnya orang itu senegeri dengan aku.
Sudah lama aku memerhati dengan penuh perhatian. Namun dari sudut dan hal ini aku perlu bertindak untuk mengumumkan bahawasanya Binatang ini cukup bahaya untuk kita simpan dan terus menjadikannya sebagai pusaka. Bangsa akan mati tanpa Bahasa. Bahasa melambangkan bangsa. Ayuh bangsaku... ayuh bangsaku... ayuh bangsaku...
Sayangnya terkadang pepatah melayu lama agak kurang tepat. 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Bapak perjuang Bahasa anak penghancur bahasa, timbalan PENGKHIANAT BANGSA.
Selalu aku melihat airmata Pak Samad mengalir mengenangkan nasib Bahasa Ibunda Melayu hancur di tangan Binatang perosak ni. Merdeka... Merdeka... Merdeka... di bawah kaki siapa?
Isnin, 10 Ogos 2009
Pemergian WS Rendra
Doa Qunut(Sempena menjelang Ramadhan)
Doa Qunut yang cukup menyentuh hati. Imam ini telah mengambarkan bagaimana keadaan dunia yang semakin kejam menindas Umat Islam di dunia ini.
Terima kasih Dhamah Syifflah yang memberi komen. Suatu nasihat yang baik dari anda. Anda juga seorang 'kawan'
Khamis, 6 Ogos 2009
Ramadhan yang bakal lahir
Namun tidak dapat aku nafikan pada Ramadhan kali ini yang akan lahir adalah berkenaan dengan diriku yang kuat diancam. Makin kuat aku bersuara makin lemah manusia disekelilingku yang aku temui. Gerakan untuk meruntuhkan kezaliman ke atas Islam terkadang begitu mencabar masalahnya bukan datang dari musuh tetapi ia lebih menyakitkan apabila ia datang daripada kawan-kawan yang kononnya ingin kuat bersama Islam. Pada permulaan dulu yakni pada tahun-tahun yang sebelum ini, aku agak lemah di mana andai mereka-mereka yang katanya ingin kuat bersama Islam itu lari meninggalkan ku tapi, pada hari ini mungkin aku tidak lagi lemah atau mungkin aku sudah ada sedikit kekuatan yang Allah SWT telah peturunkan dalam diriku.
Aku bersama seorang kawan aku yang aku benar-benar rapat yang bernama Shukri bin Nordin cukup untuk menguatkan aku sendiri walaupun hanya dia seorang saja yang bersama dalam susah dan senangku. Selama ini aku melihat dalam skop yang kecil untuk menghadapi Ramadhan pada setiap tahun tetapi, pada kali ini aku seolah bagai diapung oleh berbagai-bagai pihak yang kuat bersama dalam perjuangan Islam untuk bersama membantu aku dalam menjayakan lagi perjuanganku. Aku terlalu terharu dan bersyukur.
Seperti mana sajak aku yang lepas(malam tiada cahya, kala siangku menduga) cukup mengangkat aku untuk aku secara seratus peratusnya menyerahkan perasaan, nyawa, jiwa dan segalanya pada Allah. Aku menjadi semangat bila mendengar lagu yang didendang oleh abang Ramli Sarip yang bertajuk Ramadhan. Ketuhanan menjadi lebih kental bila aku dalam keadaan terduga. Sememangnya wajiblah setiap manusia yang beriman kepada Allah SWT itu terduga. Itulah rasanya yang aku iringkan menjelang Ramadhan yang suci.
Aku agak marah dua tiga hari lepas bila saat-saat akhir kawan-kawan aku menarik diri dari berjuang mempertahankan kesucian Islam yang suci. Namun setelah ditimbang aku hanyalah terkilan bukan kecewa. Marah pada mulanya itulah yang dipanggil nafsu. Pada satu sejarah dahulu seorang sahabat Baginda SAW yang bernama Ka'ab bin Abdul Malik telah ditegah oleh Rasulullah supaya jangan berpaling menghadap Baginda SAW. Kesalahan Ka'ab adalah hanya lari dan terkhayal sejenak dengan dunia sehingga meninggalkan seruan Sabilillah. Cetera ini boleh kita tonton di pentas teater 'Menunggu kata dari Tuhan' yang diarah oleh Dinsman.
Mungkin juga lari pada perjuangan ini adalah pengajaran untuk aku sebelum terbitnya matahari Ramadhan. Terima kasih Allah SWT.
Salam maaf dari aku kepada semua kawan-kawan aku yang terasa. Aku berkata atas dasar Al-Quran dan Islam semata. Salam rindu kepada Rajawang, hari Sabtu ni kita jumpa...
Rabu, 29 Julai 2009
Sajak dari aku
Kemana,
tumpahnya rinduku ini
sudah lama ku memuja
dalam murka atau cinta
Benarkah,
tiada lagi untukku
liang buatku bermanja
dalam jaga atau lena
hening mimpiku...
Hapuskanlah derita
yang datang meracuni jiwa
pada malam ku berkata
tiada cahaya
pada siang ku menduga
Ku berikan,
diri untuk Kau perhitungkan
dari aku kesempatan
dalam sepi penuh duri
Mengapa,
tiada kata dibibirku
mengundang kata cinta
padaMu yang ku sayangi
selamanya...
Bukakanlah pintuMu
supaya aku berteduh
di bawah kasih nan indah
di bawah rindu yang mesra
Masihkah,
ada harapan dariMu
untuk aku menghiasi
laman kasih yang insani
Ataukah,
Engkau terus membiarkan
diriku keseorangan
meniti laluan hidup ini
demi cinta...
Sekian
Amni Jagat
- Ilham kali ini cukup mencabar jiwa. Aku yang dilahirkan sebagai seorang hamba kerap meluahkan kasih dan sayang pada sesama hamba. Apakan daya sememangnya Tuhan itu lebih menyayangi aku. Agak biadap untuk aku melupakan Allah yang telah banyak menonjolkan kasih dan sayangNya pada diri aku yang insani. Aku agak rasa kecewa dengan dunia...
Selasa, 21 Julai 2009
Bersama A. Samad Said
Banyak aku memikirkan perkara yang akan berlaku dan sudah berlaku untuk aku berlajar dan diajar olehnya. Untuk pengetahuan semua, penulisan aku juga mungkin mencorot sebentar atas dasar aku lebih letih menstabilkan diri. Inilah yang diistilahkan oleh ahli sastera atau budaya sebagai 'peram'. Sekali peram sekali sabar, sekali menetas sekali kasar.
Barusan sudah dalam hari Ahad lalu aku bersama mentor sastera Malaysia yakni A. Samad Said. Aku diberikan penghormatan oleh Allah SWT untuk aku bersajak bersama-sama beliau. Ini adalah sebuah pengalaman yang benar-benar adalah cita-cita aku semasa awalan dahulu dalam penulisan. Seorang pejuang dengan seorang pemandang.
Orang yang aku maksudkan itu memang bagiku terlalu zuhud dari pandangan mataku. Dengan tutur bahasanya yang lembut terkadang menyentuh kalbu, aku menjadikan dia sebagai guru dalam sistem pembelajaran bahasa aku. Ahli bahasa sememangnya menjaga tutur bahasanya. Namun aku lebih terharu untuk bersajak dengan beliau. Dengan Izin Allah 25 Julai ini sekali lagi aku dengan dia bersajak di Semerah Batu Pahat.
Hari ini aku lebih santai menonton filem pertama lakonan abang Khalid Salleh di kaca televisyen. Aku memang meminati abang Khalid Salleh dalam dunia budayanya. Dia adalah salah seorang sahabat Amni Jagat/Pak Jagat. Filem tersebut berjudul 'Penghujung Malam'. Sesiapa ingin menonton boleh melayarinya di YOUTUBE dengan menaip nama tajuk filem tersebut. Aku suka pendeklamator bernama Khalid Salleh...
Aku nak menyambung semula penulisan Novel Anca Dayanti yang tertangguh sekian lamanya...
Selasa, 14 Julai 2009
Jinbara - Patri
Puitisnya sesebuah lirik. Patri adalah sebuah lagi nurkilan yang begitu kreatif dalam menjana kekuatan dalam kembara seni. Jangan lupa mengundi di sebelah mengenai LAGU-LAGU MANA YANG PUITIS. Semua boleh mendapatkan lagu itu di saluran YOUTUBE. Semoga berjaya mengundi. Salam rindu untuk perindu. Semoga terhibur.
Aku ada cerita mengenai malam yang pernah aku capai terlalu misteri...
Jumaat, 10 Julai 2009
Falsafah
Amni Jagat
Warkah Kreatif (Sajak)
Andai kau mengerti
menyimpul tari mimpi
pastinya bayu rindu
membisik manja namamu
Andai kau mengerti
perit alunan ilusi
pasti kenyataannya
kau tangisi bersama
Biarkan sang arjuna
memintal andeka cinta
membaluti suci hati sang puteri
Biarkan karam airmata
menakung jemala bumi
insani arjuna tetap buat puteri
Andai kau mengerti
mengisa karma kasih
pastinya purnama setia
akan teguh menyinari
Andai kau mengerti
tulus nan pelangi
pasti perjalanannya
kau warnai bersama
Biarkan sang arjuna
bermukim cerana kesuma
melangsi sahmura jiwa puteri
Biarkan prarasa syurga
dimiliki jejak arjuna
purwakanti puteri digenggam noktahnya
Amni Jagat
Sekian...
Cinta An-Nass
menyimpul tari mimpi
pastinya bayu rindu
membisik manja namamu...
memintal andeka cinta
membaluti suci hati sang puteri...
tulus nan pelangi
pasti perjalanannya
kau warnai bersama
Biarkan sang arjuna
bermukim cerana kesuma
melangsi sahmura jiwa puteri...
Bukan aku memuja wanita tapi, aku diwajibkan menghormati wanita kerna dari wanitalah lahirnya aku Amni Jagat. Biar siapa pun wanita itu aku tetap akan mengatakan lindunganku pada mereka. Bukan aku memuja cuma aku memuji akan kewujudan yang cantik seperti wajah si jelitawan yakni wanita. Kepujian yang aku berikan hanyalah berdasarkan pujian kepada Yang Maha Esa.
Bunuhlah cinta yang sesat dalam kehidupan kita. Bukan cinta itu buta tapi kita yang buta akan cinta...
Isnin, 6 Julai 2009
Makalah kreatif (Sajak)
(Dituju khas buat Bapak HAMKA)
Dari selendang katamu
suara tua menjengah jendela
bapak, kau sudah lama berasmara
dalam langkah sufi yang halus
walau airmatamu gugur ke pangku
Halaman sujudmu
terdengar senduan mesra
kau berkata menghujah rindu
nama itu 'Satu'
dan airmatamu menumpahi pipimu
Hening mata saljumu
melihat langkah rembulan
cahayanya melambai ceria padamu
sasteramu tinggi di balik pelita
andainya tinta itu adalah airmatamu
Kau menadah embun
yang kotor dalam tohor dunia
matamu tetap menakung cinta
antara hamba dan azali
pernah berkali katamu nama itu 'Satu'
- airmatamu tidak akan terhenti... -
Amni Jagat
Prof. Dr. HAMKA
Salam sastera buat sarwa wangsa nusa. Hari ini aku terlalu asyik ingin menterjemahkan bahawasanya inilah idola aku dalam penulisan berbentuk piagam nusantara. Allahyarham HAMKA banyak mengajar padaku tentang keikhlasan dalam penulisan yang memperjuangkan akidah, iman, ilmu dan ihsan manusia di seluruh dunia umumnya dan khususnya di nusantara ini. Penulisan Bapak HAMKA terlalu halus dalam setiap halusinasinya di setiap karya-karyanya. Dan bolehlah di sini aku sendiri mangatakan yang di mana Bapak HAMKA mempunyai lembaga penulisan yang berpandukan kepada ketauhidan. Kehidupan Bapak HAMKA terlalu mencabar sehinggakan Bapak HAMKA digelar dengan berbagai-bagai gelaran yang menyakiti telingaku dari suara-suara yang berkumandang melalui halwa tekak pemerintah durjana. Sekian kalinya aku kerap terkenang akan Bapak HAMKA dalam imaginasiku. Salam Al-Fatihah kepada Bapak HAMKA.
Bapak HAMKA adalah warna dalam setiap monokrom hayatku.
Sabtu, 4 Julai 2009
Sajak untuk puteri Hawa
Merbak langkahmu
Menyepak harum
Diselokakan oleh angin
Buai kelopak mawar
Semekar nama
Garis hayatmu
Biarkan nyiur gemalai
Memanggil senja
Indah gelaranmu
Andai wajahmu itulah
Sebuah anugerah
Tiadalah bintang berteman sunyi
Mengejar ilusi
Dalam mimpi
Lantas terkening
Pada dahi suci
Karang pantai tersenyum
Sejujur kiambang
Hanyalah menemani sendiri
Kau pesona
Dunia bertudung durja
Lembut langkahmu
Mengalun bayu
Menghening siang
Belukar laraku
Disentuh lena kasihmu
Pepohonan berlagu girang
Melayari lunak suaramu
Seikhlas pantai pada lautan
Sekian
Amni Jagat
...sajak ini aku tulis sewaktu aku di Sungai Rambah Pontian. Ditulis pada tarikh 13 Oktober tahun 2008. Inilah sajak pertama selepas zaman hitam kejatuhan penulisanku tahun lepas. Aku sendiri meluahkannya dalam aliran berbentuk sajak.
Guntaian mesej cerpen Sue Fee
Sebenarnya 'Sue Fee' sebuah cerpen yang epik penuh dengan kemisterian dunia ini. Konsep kehidupan Sue Fee adalah lakaran dunia ini yang cepat menjadikan kekecewaan itu sebagai Tuhan atas dasar ketuhanan pada diri sendiri atau lebih tepatnya ketaksuban pada diri sendiri. Watak utama(Zaid) dalam cerita ini lebih berunsurkan ketauhidan kepada tauhid yang 'sebenar'. Perbalahan ini andai diamati dapat kita lihat ianya begitu tenang dengan masing-masing menghormati antara satu sama lain.(Aku rasa 'Sue Fee' lebih bebas untuk dihuraikan oleh individu-individu yang membaca).
SUE FEE DIJADIKAN NOVEL...?
Aku mungkin mempertimbangkan. Boleh dipertimbangkan. Serasa aku waktu ini biarlah ia sekadar cerpen. Memang benar ramai di antara rakan-rakan aku menyuarakan pada aku agar cerpen ini disambung atau diepisodkan tapi, bagi aku biarlah ia sekadar di situ dulu. Bagi penulis seperti aku, aku berpuas hati dengan suara-suara yang mengatakan seolah 'tidak cukup'. Bagi keperibadian diri aku inilah yang dikatakan kejayaan dalam penulisan. Aku dapat menarik imaginasi manusia untuk menyentuh lebih lanjut kehidupan dunia. Mungkin ini da'wah...
Macam mana andai aku terbitkan cerpen Sue Fee tu dekat blog ni?
Jumaat, 3 Julai 2009
Tahun 2000 dan ....
Suara tahun 2000
Mata ini pernah menjadi saksi akan dunia,
hati ini diam dalam sempadan hakikat sebuah impian,
terkadang kaku batin dan zahir menitiskan lautan seagung bima sakti
dan pelayaran ini tetap menjadi kejujuran
Sepi di tanjung
Permulaan aku menulis pada tahun 2000 dahulu memang cukup mencabar pada semua daya. Antara pihak yang menjadi pada waktu itu adalah 'mata' dan 'hati'. Pengembaraan aku dalam mencari diri sendiri untuk berdiri adalah sengit bermain dengan segala yang aneh. Kebenarannya mungkin itu adalah proses kematangan. (Sama seperti rambut aku, tahun 2000 rambut aku pendek sekarang 2009 panjang)
Terik bukan sekadar melayar di wajah malah juga melayari pedih ke dalam jiwa. Tahun 2000 dulu adalah suatu pembaharuan dalam hidupku ini di waktu itu juga aku mengenal akan kepalsuan dunia dan kebenarannya. Tetapi pada waktu itu pena aku lebih tertarik kepada sokongan penulisan mengenai cerita-certita aneh(mungkin disebabkan itu aku pernah berdiri dalam keanehan agaknya). Di jiwa aku penuh dengan irama-irama Rock Kapak. Memang nostalgia.
Waktu itu(tahun 2000) aku Tingkatan 4. Aku mula memberanikan diri untuk menulis dalam aliran penulisan kreatif cerpen(nak baca cerpen terbaru aku tunggu keluaran majalah MANDALA atau emel aku). Cerpen-cerpen tu penuh dengan unsur-unsur mistik -itu yang aku katakan 'aneh'-. Memang kegemaran aku dulu mengenali budaya melayu yang terlalu mistik dan aneh. Peliknya nanti kita sambung lagi...
Untai jari dengan tapak
semalam usah dikenang-kenangkan
Intai aku biarlah nampak
jangan hari ini kau rindu-rindukan
Khamis, 2 Julai 2009
Bacaan sajak
Sajak - Mimpi bisa dan lumpuh
Oleh - Amni Jagat
Lokasi - Johor Bahru Johor
(Sajak ini telah dibawa oleh Dr. Boo Cheng Hau Ketua Pembangkang DUN Johor ke dalam sidang DUN Johor pada 23 Jun 2009)
Karangan 'pejuang'
Entah mengapa atau kenapa, hari ini aku terkenangkan Omar Mukhtar Rahmattullah. Mungkin semangatnya pada hari ini menjadi hadaman pada diriku.
Omar Mukhtar Rahmattullah pejuang yang banyak mendidik diri aku untuk mengenal puisi-puisi yang berselerak di dunia ini untuk aku kutip.
Akan datang kisah mengenai seorang 'filosuf' bakal dilahirkan dalam eksistensi di majalah Mandala.
Mungkin Omar Mukhtar juga seorang filosuf...
Rabu, 1 Julai 2009
Melihat dusta
Bukan aku membenci dunia, tapi dunia itu seni...
Mungkin sedikit kritik
Ooobama orang Islam lupa Osama
Ooobama orang Islam lupa semua
Ooobama orang Islam lupa dunia
Ooo...
Ooorang melayu lupa agama
Ooorang melayu lupa sejarah
Ooorang melayu lupa akhirat
Ooo...
Oootak lupa melayu
Oootak lupa diri
Oootak lupa Tuhan
Ooo...
Ooorang putih bunuh melayu
Ooorang putih melayu agungkan
Ooorang putih melayu junjung
Ooo...
Ooorang Islam
Ooorang Melayu
Ooorang Malaysia
Ooo...
Ada,
Ada,
Ada dajal
Ooo... fitnah
Mengapa bintang yang aku kejar?
Ahad, 28 Jun 2009
Sekeping sajak
Selembut bayu gunung
sehalus dataran berbatu emas
seindah itu wajah pemikat jiwa
Sesinar kejora mawar
secerah cahaya rawi pagi
aku watakkan senyuman mengulit bibirmu
Sesuci kabus bukit utara
sejernih kehijauan membugar rindu
seumpamanya perang kulit membaluti tubuhmu