FAJAR CINTA ABSTRAK (Episod 3 akhir)
Airmata si jejaka itu cepat dan lekas menyentuh bumi. Garang dan gagah pergerakan airmatanya menjamah pipi si jejaka itu. Keras perasaannya menerima berita duka dari bibir yang kini menjadi dendam baginya.
Si suami kebingungan, rumah tangga yang dibina selama dua puluh empat jam ingin diranapkan dengan begitu saja. Mengapa malamnya itu cinta, namun pagi berubah menjadi dusta?
“Tidak cukupkah dengan harta yang saya berikan pada awak selama ni?”
“Bukan harta yang saya pertikaikan, tapi abang sedar tak siapa abang sebenarnya.”
“Baik, awak tengok sendiri surat nikah kahwin kita. Apa bezanya dengan orang lain? Kita sah menjadi suami isteri.”
“Sah awak kata. Kadi tidak kenal awak. Awak tolonglah lepaskan saya.”
“Saya tidak akan lepaskan awak.”
“Awak memang seorang yang gila.”
“Kalau awak nak tahu bukan saya yang gila, tapi awak dengan orang tua yang terlalu gilakan harta saya. Awak tengok hari ni, berapa ramai manusia kahwin bukan kerana cinta. Dunia hari ni semuanya disebabkan duit sebagai tuhan.” Perlahan menyapu lembut peluh yang mulai muncul di permukaan dahinya.
“Siapa sebenarnya suami kau tu?”
“Aku malu nak cerita.”
“Aku tak menyokong untuk kau memutuskan hubungan kau dengan suami kau hanya kerana cinta kita dulu. Kita ada agama Wan. Ingat Allah untuk kau membuat keputusan. Janganlah kerana nafsu kau memutuskan hubungan yang indah terbina. Perkahwinan itu adalah kewajiban Wan. Kau kena ingat itu.”
“Kerana agamalah aku membuat keputusan aku sebegini.”
“Wan aku bukanlah seorang ahli seni yang boleh meneka tepat akan sebuah lukisan abstrak. Aku tidak boleh meneka apa yang tersirat di balik wajah kau.”
Mata Wanti kian mengecil memerhatikan wajah jejaka di hadapannya itu. Wajah Wanti yang sebegitu memang sudah menjadi kebiasaan si jejaka itu melihatnya dahulu ketika mereka mekar dalam arena cinta. Kegentaran mulai tercurah di balik lubuk rasa Wanti dan tidak ketinggalan juga lubuk rasa si jejaka itu yang kian hilang kesabaran untuk mendengar cerita sebenarnya.
“Kau teruskan saja hasratmu untuk meminta pandanganku. Mungkin ada fajar dalam cinta kau walau payah untuk kau meneka.”
“Aku... sebenarnya...”
“Sebenarnya apa Wan? Luruskan lidah kau seperti jujur hati kau.”
“Sebenarnya, suamiku bukanlah seorang suami.”
“Apa yang kau maksudkan, jelaskan Wan?”
“Aku takut kau tak percaya pada aku dengan apa yang hendak aku bukakan.” Kegentaran lebih kuat pula menyapa diri si jejaka itu berbanding Wanti yang kian yakin untuk menceritakan hal sebenarnya.
“Suamiku sejenis denganku. Suami aku seorang perempuan, dia bukan seorang lelaki. Dia kahwin dengan aku hanyalah untuk menutup aibnya yakni dengan alasan dia adalah seorang lelaki.”
“Apa Wan?”
Hingar bingar jeritan naluri si jejaka itu menyentuh kebingungan. Ternganga mulutnya dan mungkin sampai ke sudah ajalnya barulah hilang segala kekusutan itu. Pandangan Wanti kini, hanya menunggu kiamat yang bakal tiba.
TAMAT
AMNI JAGAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan