Sabtu, 17 Mac 2012

Mengenali perjuangan sebenar A. Samad Said di dekad 70an


Terus terang aku katakan buku novel ni aku berikan empat bintang. Memang menarik dan memang perangsang. Untuk menjadi seorang yang berani watak Lokmanlah sebagai hadamannya.
Pak Samad pernah berkata dengan aku "novel Hujan Pagi itu jahat." Aku menjawab "memang pun jahat seperti penulisnya." Arakian Pak Samad ketawa besar.
Ke hulu ke hilir aku menggenggam buku Hujan Pagi dicelahan jari ke dua tanganku sama ada tangan kiri atau tangan kanan sehingga satu hari aku bertemu dengan seseorang yang bernama Hassan Karim. Beliau seorang peguam.
Teguran Hassan Karim kepadaku adalah berkenaan buku Hujan Pagi yang tergenggam di jemariku. Ayat yang pertama keluar dari mulut Hassan Karim adalah 'novel tu berat.' Aku pun terus bertanya akan pandangannya terhadap novel tersebut. Arakian kami pun sama-sama membedah buku Hujan Pagi yang dimaksudkan.
Aku terasa seperti diriku bukan berada di Malaysia. Aku berasa diriku seperti berada di Perancis kerana budaya buku diperbahas di kedai kopi berdekatan dengan pejabat wartawan Johor di Taman Pelangi.
Akhirnya kami telah sebulat suara membuat konklusi di mana novel Hujan Pagi itu memang benar-benar berhaluan 'kiri'. Pak Samad begitu mengangkat martabat pejuang haluan kiri di zaman sebelum kemerdekaan dan zaman awal kemerdekaan.
* Manakan tidak, buku tersebut mempunyai plot-plot yang begitu bersepah sehingga membuatkan pembaca yang membacanya menjadi pening. Mungkin itulah sifat 'jahat dan berat' yang dimaksudkan oleh Pak Samad penulis dan Hassan Karim sebagai pembaca. Bagi aku buku itu tidak boleh dibaca dengan sekali imbas atau bacaan yang laju.
Dalam buku tersebut setiap bab mempunyai artifak sejarah yang begitu hebat. Pak Samad cuba mengangkat sejarah-sejarah yang telah lama padam di sisi masyarakat untuk diterjemahkan dan ditanam ke dalam minda manusia hari ini.
Novel Hujan Pagi adalah suara zaman yang menjadi penyimpan untuk khazanah hari ini mengenalinya. Ternyata Pak Samad berjaya menghidupkan suasana perjuangan dalam novel tersebut. Cuma awasi sifat 'jahat dan berat' yang dimaksudkan yakni plot-plot yang bersepah dari satu bab kepada bab yang lain.
Ada dua watak yang perlu diperhati 'watak Lokman dan watak Niram.' Kedua watak ini adalah simbolis kepada pemberontakan masyarakat terhadap serangan rohani yang berlaku di zaman kekalutan awal merdeka. Penulisan seperti ini mengingatkan penulis kepada seseorang yang bernama Pramoedya Ananta Toer dalam bukunya yang bertajuk 'Bukan Pasar Malam'.
Sesiapa yang ingin menjadi pejuang, carilah novel HUJAN PAGI karya A. Samad Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahad, 11 Mac 2012

PENDAMPING GEMA LAUTAN


‘Anak laut jika tidak tahu hukum laut adalah manusia yang penakut’. Kata-kata itulah yang sentiasa menghantui Kawas. Benar paling tulen, kata-kata itu tepat menuding ke arahnya. Lautan yang terbentang dan selaku anak laut, manusia semalang Kawas sentiasa bermain dengan kelemahan dirinya sendiri. Anak laut yang tidak pandai berenang serta takut dengan air. Maka sempurnalah kata-kata dari orang kampung di tepian laut itu mengelarkan Kawas sedemikian hina. Hinaan itu bukan saja datang dari pihak luar malah ia juga datang dari pihak dalam keluarganya sendiri terutama ayahnya yang juga seorang anak laut nelayan.
“Ada irama! Ada irama!” Pernah jerit Kawas sedemikian.
Dari kecil ketika berusia sembilan tahun lagi jerit itu selalu berkumandang.
“Kau bukan anak laut kau anak gila.”
“Ada irama! Ada irama!”
“Di mana?”
“Di depan laut ini.”
“Irama datang dari tengah laut yang terbentang?”
“Ada irama!”
“Kalau ada pulau, mungkin boleh aku percaya kata-kata kau.”
“Aku yakin ada irama.”
“Mana mungkin.”
“Irama itu selalu membuatkan aku gembira, tenang dan sedih.”
“Irama?”
“Ya, ya irama.”
“Memang kau bukan anak laut, kau anak gila.”
Bukan seorang dua yang berkata, tetapi satu kampung. Malah kata-kata itu juga keluar dari mulut ahli keluarganya. Benar-benar berat dugaan yang dialami Kawas.
Namun, tegak ikhtiarnya masih bertegah mengatakan ada irama di tengah lautan yang terdampar di hadapannya kini. Ini realiti. Irama itu benar. Benar, irama itu kuat mencemuh ke telinga Kawas. Sehingga waktu ini tatkala Kawas sedang bersendirian, irama itu teguh menemani malam dan lamunannya. Kuat dan kencang walau seyakin Kawas di hadapannya itu tidak ada pulau atau sesuatu perkara yang boleh menjelmakan bunyi sedemikian indah. Tapi irama itu adalah perkara yang benar. Terkadang irama itu seperti tenggelam kerana diseleti dek ombak yang menderu menghempas pantai.
‘Dari umurku menjejak sembilan tahun aku telah mendengar irama itu. Apatah lagi umurku kini sudah menjangkau dua puluh sembilan tahun. Manusia mana yang dapat menyanggah kata-kata yang terbina selama dua puluh tahun?’ Kawas masih teguh melirik sedalam lautan di hadapannya kini walau dapat dipastikan, suasana hanya kelam tanpa sebarang riak cahaya. Kali ini irama itu unik sekali. Tepat, memang tepat, irama itu hadir di tengah-tengah lautan yang kini bergelora.
“Kau dah gila, mana ada pulau di depan tu.” Kata Ayuhda.
“Tidak abah, persoalannya bukan pulau tapi irama.”
“Irama apa, kau jangan mengarut.”
“Kawas dengar setiap hari abah...”
“Yang kau dengar tu otak kau yang dah tak betul.”
“Kawas pasti abah.”
“Dah lebih tiga puluh tahun aku bermain dengan laut, sedetik pun aku tak dengar ada bunyi apatah lagi irama yang kau maksudkan tu.”
Makin asyik. Makin enak lembut melayari ke telinga Kawas. Benar memang benar ada irama. ‘Ada irama bergema!’ Tekad Kawas yang tidak pernah terkalah. Siapa pun yang hadir menyanggah pasti tidak akan dapat menggugat jiwa Kawas. Tekadnya memang teguh.
Mana tidaknya, setiap kali kemurungan pasti irama itu adalah peneman sambil lenggokannya memuncah bermain senandung yang asyik memujuk kemurungannya. Juga, setiap kali keceriaannya dibalas dengan panggilan irama suci dari tengah lautan itu. Benar, sehingga Kawas terpaksa berhenti dari kerja bersama alasan jarak di antara rumahnya dengan pekan terlalu jauh. Telah pun dinasihati oleh rakan-rakannya terutama Malik untuk Kawas menyewa rumah di sekitar pekan tersebut. Namun perkara itu ditolak mentah oleh Kawas. Maka tekad Kawas sekali lagi adalah berhenti dari kerja.
Ibu bapa mana yang tidak marah bila mendapat tahu anak mereka telah berhenti dari kerja hanya disebabkan alasan yang kecil. Maka sekali lagi ungkapan hina dihadiahkan kepada Kawas dari ayahnya yang begitu keras mendidik anak.
Tidak ramai pula yang tahu, apa sebenarnya yang diinginkan Kawas? Bukan alasan rumahnya. Bukan alasan kedua orang tuanya. Bukan juga soal jarak rumah dan tempat kerjanya. Semuanya dijawab dengan satu jawapan cuma yakni ‘irama’. Lautan di hadapannya adalah sebuah jawapan atas segala peristiwa. Tidak ramai yang tahu. Benar, hanya segelintir saja yang tahu tapi semuanya memberi ungkapan menarik kepada dirinya yakni ‘gila’. Kecuali Kiyai Masdom. Ya, ya hanya Kiyai Masdom sahaja yang mungkin lebih mengetahui kata-katanya dengan dalam.
“Irama?”
“Ya kiyai, irama. Ada irama di tengah lautan.”
“Bagaimana bunyinya?”
“Merdu sekali.”
“Habis kau mahu apa dariku?”
“Kiyai percaya atau tidak.”
“Ya, masakan aku tidak percaya.”
“Tapi ramai yang mengatakan saya gila kiyai.”
“Gila itu sifat tuhan, ya, ya sifat Allah.”
“Gila sifat tuhan, eh sifat Allah?”
“Ya, gila juga sifat Rasul.”
“Gila sifat Rasul?”
“Nabi Nuh bukankah ia digelar gila.”
“Tapi Allah...”
“Ya, Allah menciptakan manusia. Manusia gila juga dicipta Allah.”
“Jadi...”
“Aku percaya kata-kata kau.”
Perlahan Kiyai Masdom mengeluarkan sebuah kitab lama yang berhabuk tebal dari rak buruk di dalam surau kampungnya itu. Terkadang tangan Kiyai Masdom sengaja menyapu-yapu lembut habuk yang berselerak di atas kitab tersebut.
Seketika dapat diperhatikan Kawas, kitab lama itu diselak cermat oleh Kiyai Masdom. Kawas masih menunggu, apakah akan ada jawapan untuk irama yang didengarinya setiap hari itu. Segala perbuatan Kiyai Masdom itu diamati tepat, cermat serta padat oleh sepasang mata Kawas. Memang bagai ada jawapan mengenai irama yang didengari olehnya setiap hari itu. Perasaan Kawas mula membuah ceria. Pasti jawapan itu bakal menjadi hujahnya untuk menyakinkan seluruh manusia yang mengelarkan dirinya ‘gila’.
“Ya, benar.”
“Apa yang benar kiyai?”
“Kau ingin mencari irama atau suara itu bukan?”
“Ya, ya saya ingin benar mencari.”
“Sedalam lautan maka dalam lagi jiwa insan.”
“Hah?”
“Orangnya ada.”
“Siapa?”
“Ada.”
“Kiyai siapa orang yang ada itu?”
“Wahai anakku, kau benar-benarkah ingin mencari?”
“Jika saya tahu...”
“Ilmu laut?”
“Ya, ilmu laut.”
“Bukan itu.”
“Apa?”
“Bukan ilmu itu.”
“Habis ilmu apa kiyai?”
Kiyai Masdom hanya mampu tersenyum dihujung bibir kanannya. Senyuman itulah yang masih diingati oleh Kawas. Namun sayang, Kiyai Masdom meninggal dunia dua hari kemudiannya sambil jenazah Kiyai Masdom seperti seseorang yang sedang tidur tenang dan begitu cerah wajahnya. Maka tertangguhlah segala jawapan yang sepatutnya diucap oleh Kiyai Masdom kepadanya.
Memang tekad Kawas sudah sampai ke kemuncaknya. Tekad mencari dan sekaligus mendampingi irama itu. ‘Bukan ilmu laut’. Masih kuat bergema suara Kiyai Masdom. Ilmu apa lagi yang perlu dipelajari sebelum mencari irama itu. Sudahlah takut dengan lautan malah kelemahan Kawas adalah berenang. Dari kecil lagi sejak peristiwa mengorbankan adik kandungnya yang mati lemas, maka sejak dari itulah Kawas tidak sanggup dan berani untuk berhadapan dengan lautan.
Pernah tekad Kawas untuk mencuri kitab lama yang pernah dipegang serta dibaca oleh Kiyai Masdom. Tetapi alangkah malangnya, kitab tersebut ditulis dalam bahasa arab. Sehingga hari ini Kawas tidak mahu bertanya kepada sesiapa mengenai maksud dan isi kandung kitab tersebut. Bukan kerana malu tetapi kerana Kawas sendiri telah dipulau oleh orang kampungnya. Bukan itu saja, keluarganya sendiri juga telah memulaukannya.
“Wahai irama siapakah kau? Aku manusia yang tewas dengan kelembutanmu. Aku ingin mendampingimu. Aku rindu bila kau membisu. Aku ingin benar mendampingimu.”
Kampung itu indah. Di lereng pantai tersadai deretan rumah kayu yang gagah. Di kala pagi kampung itu sentiasa disambut dengan kehadiran sekawan burung lembut melebarkan sayapnya menyusuri awan menawan. Juga, di kala pagi deretan rumah di lereng pantai itu pasti akan disambut oleh jelingan matahari segar pagi yang terbit menelan malam yang kelam. Lautnya jernih, karangnya teguh, ombaknya kecoh dan sesekali apabila musim cuti pasti pantai itu akan dikunjungi oleh orang luar yang datang menikmati bersama keindahannya. Pasti keuntungan akan berlaba bagi mereka yang membuka gerai di kampung itu. Itulah kampung yang terselitnya wajah seorang manusia bernama Kawas.
Namun apalah gunanya bagi Kawas segala keindahan itu jika sanubarinya kosong. Sudahlah dipulaukan orang kampung malah Kawas juga dipulau oleh ahli keluarganya sendiri. Semua kesembilan adiknya turut bersetuju dengan orang tua mereka dengan mengatakan abangnya itu gila. Selaku anak sulung dari sebelas sebelum menjadi sepuluh beradik itu mana yang tidak terhiris dengan tindakan sedemikian. Perkara itu merebak sehingga Kawas diharamkan memijakkan kaki ke rumahnya. Lagi memeritkan, setiap malam Kawas hanya dibenarkan untuk tidur di anjung rumahnya cuma. Namun bagi Kawas hal itu tidak berjaya menumpaskan perasaan kasih dan sayangnya terhadap keluarganya. Apatah lagi ibu dan bapanya.
Maka di anjung yang menghadap laut itulah yang sentiasa menjadi peneman di waktu lelapan matanya berkunjung lesu. Dan benar irama yang datang dari tengah laut itu juga adalah peneman lelapan mata Kawas. ‘Pasti ada jawapan. Ya, pasti ada.’
“Abah, boleh tak Kawas ikut abah ke laut.”
“Apa buang tabiat kau nak ikut aku?”
“Abah Kawas tak bergurau.”
“Kau tu manusia yang penakut.”
“Tolonglah abah, kali ni Kawas betul-betul nak ikut abah.”
Dini hari itu dipecahkan dengan tekad seorang manusia ingin menongkah arus ketakutan yang selama ini terkandung dibenak jiwanya. Jawapannya hanya demi sebuah persada pencarian.
Segalanya telah tersedia. Persediaan itu juga disertakan dengan ejekan serta hinaan dari peraih-peraih yang turut bersama di atas bot pukat milik ayahnya itu. Ketawa usah dicerita. Senyuman sinis pastilah menjelma.
“Abah jauh lagi ke tempat yang abah selalu meraih tu?”
“Anak penakut apa kau tahu.”
Setakat ini, sudah lebih sepuluh kali Kawas muntah di atas bot tersebut. Bukan setakat muntah malah Kawas juga hanya duduk terkerekut di hulu pondok bot tanpa bangun serta berdiri.
“Dasar anak penakut.”
“Abah, ini pertama kali Kawas...”
“Dah diam. Kau memang penakut.”
Pencarian irama. Ya, hanya pencarian irama. Benar kali ini Kawas dalam senandung yang takut. Maka bergemalah di tengah-tengah lautan yang terbentang luas tanpa ada penghujung itu suatu irama merdu memercik menyemai ke telinga Kawas.
“Abah ada orang! Ada orang!” Jerit sekuat hati Kawas.
Ketujuh-tujuh anak kapal di atas bot itu terus menyerbu kuat jeritan Kawas. Masing-masing terpingga-pingga melihat tudingan Kawas betul-betul ke tengah hamparan lautan.
“Mana ada orang.” Lembut bicara Suirman memecah pencarian tujuh pasang mata.
“Memang kau ni menyusahkan. Aku dah kata jangan ikut.” Tegas Ayuhda.
“Tengah-tengah laut mana ada orang?” Sambut Minur pula.
“Tak mungkin.” Celah Puler.
“Kawas kau nampak dia tengah buat apa?” Tanya Kalor.
“Dia tengah berdiri.” Kagum Kawas.
“Berdiri?” Kalor.
“Ya, kakinya memijak air.” Kawas.
“Maksud kau terapung?” Balas Minur.
“Ya, terapung.” Yakin Kawas.
“Ayuhda, sah anak kau gila.” Sewar tegas menafsir.
“Gemanya kuat.” Sambung Kawas yang masih yakin.
“Gema apa?” Kalor.
“Irama! Irama! Merdunya. Sungguh merdu.” Kawas.
Seluruhnya hampa. Benar-benar hampa. Tangkapan mereka tidak seperti selalu. Sasaran mereka sembilan puluh peratus meleset.
“Ini angkara kau anak gila!” marah Ayuhda.
“Abah kenapa...”
“Kau diam bangsat.”
“Tapi...”
“Ini semua disebabkan aku bawa sial seperti kau ke laut.”
“Kawas...”
“Kau diam anak jahanam. Anak penakut. Dahlah penakut, gila pula tu. Kau jangan salahkan aku kalau kau balik nanti tak ada lauk atau makan malam kau.”
“Abah, Kawas beritahu apa yang...”
“Kau nampak? Bodoh, yang kau nampak tu gila kau.”
Hati anak mana yang tidak hancur bila kata-kata itu keluar dari mulut ayahnya. Pasti hancur dan pasti lebur.
Sudah tiga kali matahari menyingsing segar, namun irama yang diharapkan tidak bergema. Kali ini irama itu terlalu dirindui Kawas bagi menampal hati yang dihiris kecewa dan rajuk. Benar, kali ini Kawas terlalu merindui irama lautan itu. ‘Bergemalah lautan, bergemalah wahai lautan’. Lembut bibir hatinya bersuara memanggil gema irama itu. ‘Aku pendampingmu’. Jika ditukar ganti bumi ini pasti ia tidak ternilai dengan gemaan lautan yang diharapkan Kawas waktu ini.
Memang kali ini Kawas tekad. Segala risiko pasti akan ditempuhinya. Sasarannya adalah sampan milik ayahnya. Perlahan Kawas menaiki perlahan sampan tersebut yang kini diikat rapi di hujung jeti kampungnya itu. Benar malam ini adalah malam pesta nelayan. Jika ditafsirkan, pasti di jeti tersebut tidak ada orang yang menjaga. Segala perkara yang maksiat sedang berlaku. Semua peraih termasuk ayahnya adalah manusia yang terbabit sama dalam mengendalikan maksiat di pesta berkenaan. Tahun lalu, ayahnya tewas teruk dalam permainan judi di malam pesta nelayan sehingga ayahnya sanggup mengadaikan adik keempatnya untuk dijadikan sebagai taruhan.
Benar, sehingga hari ini usia anak luar nikah adiknya itu telah menjangkau dua bulan. Bukan seorang bapa kepada anak tersebut malah ramai. Pernah juga didengari sendaan rakannya yang menyebut salah seorang bapa kepada anak luar nikah adiknya itu adalah ayahnya sendiri. Segalanya perit untuk ditelan. Pasti kalau dikenang, suatu trajedi pilu yang pernah disaksikannya sendiri adalah tukaran isteri di antara satu sama lain termasuklah ibunya yang tercinta. Benar, memang benar, ayahnya pernah menukar ibunya itu dengan isteri seorang peraih yang lain bersama restu dari ibunya sendiri. Ah! Memang terlalu pilu dan sedih. Begitulah malam pesta nelayan yang berlangsung setiap tahun di hujung tahun di kampungnya itu.
Bukan itu. Bukan berkenaan pesta nelayan yang dicari Kawas kali ini. Sekarang pelayaran sedang bermula. Entah bagaimana, kali ini Kawas menjadi manusia yang ironi. Berani! Benar, Kawas terlalu berani demi mencari ukiran irama di tengah lautan. Kerinduan yang memuncak. Kerinduan mendengar ulikan irama. Sudah tiga hari berlalu semenjak dia balik dari mengikut ayahnya meraih, semenjak dari itu suara irama itu terus mati dan terpadam. Pasti rindu.
Kini laut tidak lagi bertepi. Hanya kelam tanpa haluan. Entah mengapa, kali ini Kawas gagah berdiri di atas sampan curi milik ayahnya. Memang betul-betul berani Kawas kali ini. Kini, terkaan Kawas seratus peratus tersasar. Pelayaran yang tidak dirancang rapi itu termati. Keletihan mendayung sampan tersebut mati ditengah-tengah pelayarannya. Tepat! Keletihan adalah sebab besar pelayaran itu terhenti. Kini Kawas menjadi buntu.
Pelayaran sudah jauh di tengah lautan. Gema masih sunyi dan tiada berirama. ‘Aku pendampingmu! Aku pendampingmu!’ Jerit kuat dari Kawas.
“Damping! Damping!”
Ada suara menghentak naluri jeritan Kawas. Kali ini benar, Kawas mendengarnya. Panggilan itu cukup keras. Secara tiba-tiba, malam yang begitu kelam itu mula disirami cahaya asyik dari dalam lautan. Perlahan cahaya itu membesar.
“Ya Allah!” Terpegun Kawas menafsir akan kepelikkan cahaya itu. Lembut lautan bergelora kecil. Percikannya dapat dirasakan Kawas yang masih lagi kaku terpegun. Berserta kehadiran cahaya itu kini adalah sebuah alunan irama. Memang benar, ya memang tepat irama itulah yang dirindui oleh Kawas tiga hari kebelakangan ini. Kawas masih terduduk terpegun menafsir akan sesuatu.
“Alang bintang akan bersatu dengan bumi. Ini gelora lautan yang rindu. Ini gelora suara yang padu. Akan terhapuslah segala derita dunia. Akan tenggelamlah segala bencana manusia.”
Kawas masih membisu walau suara itu bergema. Tidak ada jawapan dari suara itu. Perlahan airmata Kawas gugur setelah mendengar akan suara itu. “Siapakah...”
“Pendamping Allah dan Rasul.”
“Menjelmalah. Adakah kau realiti atau khayalanku?”
“Kau satukan realiti dan khayalanmu maka kau akan temui aku.”
Sekali lagi gemerlapan cahaya itu benar-benar memuncah garang. Cahaya itu kini sudah mulai timbul ke permukaan lautan. Memang cahaya itu berbentuk bulat. Benar seperti gelung yang mengisi sesuatu. Dan kini sempurnalah akan gelung itu. Benar-benar bulat seperti matahari dan terapung-apung di atas permukaan air. Secara perlahan cahaya itu seolah diserap oleh ‘perkara’ di dalam gelung itu. Kawas kesilauan. Kawas tidak dapat melihat akan wajah di sebalik gelung itu. Cahayanya terlalu menyilaukan. Lembut Kawas memejamkan matanya. Maka terburailah airmatanya dengan laju jatuh ke pipi.
“Siapa kau?” Kawas masih mampu bersuara dalam keadaan pejaman matanya.
“Aku. Kau bukalah matamu wahai anak manusia.”
Lembut mata Kawas dibukakan kecil sebelum sesempurna terang matanya. Maka dapat dilihat, seorang manusia suci berjubah putih teguh di hadapannya. Ya, benar dari segi sifatnya mahkluk itu seorang manusia. Di tangan mahkluk itu terselit sebatang kayu yang dapat dipastikan Kawas adalah nafiri.
“Pak cik kah yang selalu bermain irama itu?”
Wajah itu tidak bersuara hanya tersenyum indah di hadapan Kawas.
“Pak cik siapa?”
“Aku yang memanggilmu.”
“Pak cik, saya masih kurang percaya. Apakah saya bermimpi atau realiti?”
“Dunia itu segulung mimpi.”
“Siapa pak cik?”
“Aku utusan Ar-Rabbi.”
“Tapi kenapa pak cik kata pak cik memanggil saya?”
“Sebab kau yang terpilih.”
“Terpilih?”
“Aku saudagar lautan.”
“Saudagar lautan?”
“Lautan adalah cermin mengenal akan diriku.”
“Saya tak faham.”
“Aku terpilih menjejak serta menjaga lautan.”
Perlahan jejak terjejak menyambut buntu Kawas yang masih terpaku mengenang akan suatu peristiwa misteri yang berlaku. Acap benar wangian menyapa hiduan Kawas tatkala manusia misteri itu menghampirinya. Kini jejak manusia itu telah terhenti benar-benar di atas sampan yang sedari tadi buntu seperti pendayungnya jua.
“Ayuh.”
“Ke mana pak cik?”
“Balik ke kampungmu.”
“Tapi...”
“Akan ku buktikan kau yang terpilih.”
“Terpilih?”
Dengan tidak semena, sampan yang kini dinaiki kedua manusia itu bergerak dan terdayung secara sendiri. Memang tujuan kali ini adalah kampung kediaman Kawas. Memang Kawas masih buntu. Kawas tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan kali ini Kawas hanya mampu melihat akan segalanya. Kaku serta tidak berdaya lagi tubuh untuk menyangkal perkara yang berlaku. Perlahan manusia misteri itu mengangkat tangannya yang masih terselit nafiri kayu. Dengan lembut dan hemah, nafiri itu ditiupkan. Dan benarlah, iramanya bergema. Benarlah, iramanya sungguh mendayu. Irama itu peneman perjalanan. Irama itu penghembus kerisauan. Irama itu pembunuh kebuntuan azali yang dialami Kawas kali ini. Dan irama itu pemain bayu laut yang bergolak lembut menyemai kedua mereka.
Sekian lama perjalanan, namun Kawas masih meneliti. Benar kali ini laut tidak bertepi. Masih tidak kelihatan akan daratnya. Walau dalam gelap, walau dalam kelam tetapi jika ada darat pasti dapat kelihatan simbolnya. Namun kali ini tidak, Kawas masih tidak berjaya menonton suatu simbol sekalipun yang mengatakan bahawa adanya daratan. Memang tidak ada daratan itu setafsir Kawas. Sedari tadi, jauh perjalanan namun masih tidak bertemu tepian.
“Inilah kampungmu.”
“Apa?”
Kawas terhenti. Detak nadi Kawas begitu memuncak. ‘Mana mungkin, mana mungkin’ jeritan jiwa Kawas setelah melihat segalanya hanyalah lautan tanpa sebarang daratan.
“Tidak ada yang mustahil.”
“Apa maksud semua ini pak cik?”
“Ini kampungmu.”
“Apa...”
“Kita sekarang berdiri benar-benar di atas rumahmu.”
“Tapi pak cik...”
“Ya, orang kampungmu yang meminta bencana ini.”
“Apakah...”
“Jika kau ingin tahu, kampungmu telah terhapus dengan amarah lautan. Segala kemaksiatan akan dibalas dengan azab. Di dunia ada azabnya, di akhirat juga pasti akan ada azabnya. Di sini keluargamu dikebumikan bersalutkan azab lautan.”
“Astaugfirlah.”
“Usah kau kecewa, biarkan irama terus bergema.”
“Pak cik apakah irama itu?”
“Ia adalah zikir dan wirid rindu yang berkumandang di hatimu. Aku pemegang zikir dan wirid itu. Tatkala ku tiupkan nafiri ini maka akan bergemalah segala jiwa pendamping-pendamping irama rindu.”
“Tapi kenapa saya?”
“Kau yang terpilih.”
“Terpilih?”
“Kerana kau pendamping gema lautan.”
“Pak cik siapa?”
“Aku yang digelar Khidir”
Berserilah langit menyuburi pagi yang indah. Bersama kehijauan yang memuncak, seorang manusia sedang bersujud di atas sampan yang terus terkolek tanpa haluan. Disember 2004 adalah sebuah noktah yang menjadi suatu siulan kenangan kepada manusia bernama Kawas. Inilah sebuah lestari. Usah ditanya ‘siapa’ kepada Kawas. Kini gelarannya adalah Pendamping Gema Lautan. Irama itu sentiasa bergema. Irama itu sentiasa menjadi suara pengubat jiwa. Dan dengan irama itu manusia dikuburi. Al-Fatihah.

Khamis, 1 Mac 2012

Cerpen selepas 'Pendamping Gema Lautan'


Sudah lebih dua tahun meninggalkan cerpen berunsur cinta. Terasa kali ini cerpen yang bakal dinukilkan pasti akan dimadukan dengan kisah 'cinta'. Memang kenangan sengaja mengajak untuk aku merealisasikan penulisan karya cinta agung kali ini.
Pendamping gema lautan bakal menemui pembaca sama ada di blog ini mahupun di ruangan nota FB aku (Amni Jagat). Pendamping gema lautan adalah sebuah ekspresi kisah sebenar yang berlaku sewaktu peristiwa Tsunami melanda suatu ketika dulu.
Tapi kali ini, aku cuba untuk menulis semula kisah-kisah cinta yang lebih misteri. Huhuhu... Teringat suatu ketika dulu lebih sedekad yang lalu di mana di tahun 1999 aku mula menulis karya kreatif bergenre cerpen dalam unsur cinta yang misteri. Sengaja kali ini aku cuba-cuba menulis semula aliran penulisan seperti berikut.
Membongkar sebuah rahsia cinta antara makhluk ciptaan Illahi. Tajuk cerpennya sudah aku temui. Tajuknya berjudul 'RINDU PUTERI GUNUNG KORBU'. Penantian demi penantian memanggil dan terus memanggil sebuah kerinduan yang harus dijelmakan dengan zahiriah kecintaan.
Tangan aku tidak sabar menulis cerpen tersebut. Namun watak dan nama watak perlu disusun terlebih dahulu. Matlamat penulisan juga adalah perkara pokok yang perlu diunsurkan dalam penulisan kali ini. Ayat-ayat JIWANG KARAT pasti akan terlahir di dalam cerpen ini. Sesiapa yang cuba untuk mengorat Isteri mahupun Kekasih masing-masing bolehlah dapatkan dalam cerpen ini nanti.
Sediakan kamus kalau boleh, kerana kali ini aku cuba untuk menggunakan seberapa banyak bahasa klasik yang menjadi tiang bicara dalam cerpen ini. NANTIKAN - RINDU PUTERI GUNUNG KORBU -
Gunung Korbu adalah adaptasi dari seorang wanita yang banyak menjadi ilham dalam perjalanan penulisanku.