Rabu, 29 Julai 2009

Sajak dari aku

Malam tiada cahaya, siang ku menduga

Kemana,
tumpahnya rinduku ini
sudah lama ku memuja
dalam murka atau cinta

Benarkah,
tiada lagi untukku
liang buatku bermanja
dalam jaga atau lena
hening mimpiku...

Hapuskanlah derita
yang datang meracuni jiwa
pada malam ku berkata
tiada cahaya
pada siang ku menduga

Ku berikan,
diri untuk Kau perhitungkan
dari aku kesempatan
dalam sepi penuh duri

Mengapa,
tiada kata dibibirku
mengundang kata cinta
padaMu yang ku sayangi
selamanya...

Bukakanlah pintuMu
supaya aku berteduh
di bawah kasih nan indah
di bawah rindu yang mesra

Masihkah,
ada harapan dariMu
untuk aku menghiasi
laman kasih yang insani

Ataukah,
Engkau terus membiarkan
diriku keseorangan
meniti laluan hidup ini
demi cinta...

Sekian
Amni Jagat

- Ilham kali ini cukup mencabar jiwa. Aku yang dilahirkan sebagai seorang hamba kerap meluahkan kasih dan sayang pada sesama hamba. Apakan daya sememangnya Tuhan itu lebih menyayangi aku. Agak biadap untuk aku melupakan Allah yang telah banyak menonjolkan kasih dan sayangNya pada diri aku yang insani. Aku agak rasa kecewa dengan dunia...


Selasa, 21 Julai 2009

Bersama A. Samad Said

Pertama salam kemaafan kerna lama sudah tidak aku dahulukan 'Blog' ini. Suluh intim dari mendung ke terangnya siang. Antara perkara sebenarnya yang berlaku adalah perkara yang membuatkan aku asyik dan sibuk dalam melayari perjuangan seni budaya. Aku terlalu letih untuk menulis dalam 'Blog' ini bukan -Bosan- tapi letih.
Banyak aku memikirkan perkara yang akan berlaku dan sudah berlaku untuk aku berlajar dan diajar olehnya. Untuk pengetahuan semua, penulisan aku juga mungkin mencorot sebentar atas dasar aku lebih letih menstabilkan diri. Inilah yang diistilahkan oleh ahli sastera atau budaya sebagai 'peram'. Sekali peram sekali sabar, sekali menetas sekali kasar.
Barusan sudah dalam hari Ahad lalu aku bersama mentor sastera Malaysia yakni A. Samad Said. Aku diberikan penghormatan oleh Allah SWT untuk aku bersajak bersama-sama beliau. Ini adalah sebuah pengalaman yang benar-benar adalah cita-cita aku semasa awalan dahulu dalam penulisan. Seorang pejuang dengan seorang pemandang.
Orang yang aku maksudkan itu memang bagiku terlalu zuhud dari pandangan mataku. Dengan tutur bahasanya yang lembut terkadang menyentuh kalbu, aku menjadikan dia sebagai guru dalam sistem pembelajaran bahasa aku. Ahli bahasa sememangnya menjaga tutur bahasanya. Namun aku lebih terharu untuk bersajak dengan beliau. Dengan Izin Allah 25 Julai ini sekali lagi aku dengan dia bersajak di Semerah Batu Pahat.

Hari ini aku lebih santai menonton filem pertama lakonan abang Khalid Salleh di kaca televisyen. Aku memang meminati abang Khalid Salleh dalam dunia budayanya. Dia adalah salah seorang sahabat Amni Jagat/Pak Jagat. Filem tersebut berjudul 'Penghujung Malam'. Sesiapa ingin menonton boleh melayarinya di YOUTUBE dengan menaip nama tajuk filem tersebut. Aku suka pendeklamator bernama Khalid Salleh...

Aku nak menyambung semula penulisan Novel Anca Dayanti yang tertangguh sekian lamanya...

Selasa, 14 Julai 2009

Jinbara - Patri

Puitisnya sesebuah lirik. Patri adalah sebuah lagi nurkilan yang begitu kreatif dalam menjana kekuatan dalam kembara seni. Jangan lupa mengundi di sebelah mengenai LAGU-LAGU MANA YANG PUITIS. Semua boleh mendapatkan lagu itu di saluran YOUTUBE. Semoga berjaya mengundi. Salam rindu untuk perindu. Semoga terhibur.

Aku ada cerita mengenai malam yang pernah aku capai terlalu misteri...

Gurindam jiwa

Seni penulisannya memang cukup tajam itulah hasil nurkilan Allahyarham Zubir Said.

Jumaat, 10 Julai 2009

Falsafah

'Perpisahan itu akan menceritakan sesuatu, pertemuan itu akan menyembunyikan sesuatu, perpisahan akan menceritakan tentang suatu pertemuan itu dan pertemuan akan menyembunyikan tentang suatu perpisahan itu.'

Amni Jagat

Warkah Kreatif (Sajak)

Puteri arjuna

Andai kau mengerti
menyimpul tari mimpi
pastinya bayu rindu
membisik manja namamu

Andai kau mengerti
perit alunan ilusi
pasti kenyataannya
kau tangisi bersama

Biarkan sang arjuna
memintal andeka cinta
membaluti suci hati sang puteri

Biarkan karam airmata
menakung jemala bumi
insani arjuna tetap buat puteri

Andai kau mengerti
mengisa karma kasih
pastinya purnama setia
akan teguh menyinari

Andai kau mengerti
tulus nan pelangi
pasti perjalanannya
kau warnai bersama

Biarkan sang arjuna
bermukim cerana kesuma
melangsi sahmura jiwa puteri

Biarkan prarasa syurga
dimiliki jejak arjuna
purwakanti puteri digenggam noktahnya

Amni Jagat
Sekian...

Cinta An-Nass


Ada jiwa di tengah maya

tiada nyawa di sudut rela

titian waktu aku sapukan

dalam hati aku serikan...


Sebuah karangan yang menjadi rintihan antara uda dan dara. Suatu ketika dahulu aku pernah dibisikan dek suatu falsafah yang menyuntik sedikit atau sekualiti ilham sehingga hari ini. Kalau anda semua pernah membaca sajak 'Jelitawan' di bawah ini pasti ada yang tertanya mengapa aku begitu seolah memuja wanita? Mohon maaf andai aku mengajak anda memuja wanita. Namun, realitinya bukanlah pemujaan itu diberikan pada wanita tetapi telah aku berikan kepada Yang Maha Pencipta.

Pernah aku dibangunkan dengan suara-suara yang lembut mengajakku berlari mengejar pelangi dan kerap kali juga pelangi yang aku ingin capai itu direbahkan dan dirobohkan juga dengan suara-suara yang lembut. Apa sebenarnya semua ini? Adakah cinta di antara sesama manusia ini palsu?


Andai kau mengerti
menyimpul tari mimpi
pastinya bayu rindu
membisik manja namamu...


Sajak di atas telahku namainya dengan tajuk 'Puteri arjuna'. Keberkesanan sajak ini memang dalam dan menyentuh. Andai anda semua membaca dengan penuh suara hati pasti ia akan dapat menyentuh perasaan anda(mungkin bagi yang faham). Mengapa manusia hari ini lebih mengagungkan cinta antara Romeo dan Julie atau cinta gila Shakespeare? Adakah percintaan yang mereka ada-adakan itu murni? Mata lenguh kakiku tetap teguh.

Purata di Malaysia, hanya di Felda sahaja setiap sehari berjaya melahirkan 6 orang anak luar nikah. Purata besarnya saja lapan puluh sembilan peratus adalah dari golongan manusia yang ber'BIN' dan ber'BINTI'. Jangan salahkan Shakespeare... jangan salahkan Romeo dan Julie...

Memanglah benar si perosak-perosak cinta seperti Shakespeare adalah punca segala kerosakan cinta pada hari ini tapi, kita harus ingat Shakespeare hanya menulis melalui ilusi atau imaginasi bertujuan untuk menghasilkan karya kreatif. Namun ramai di antara orang-orang Islam kita lebih fokus kepada imaginasinya Shakespeare. Menggilai sesuatu karya itu baik tetapi bukan mengikut. Mengikut tanpa kajian seumpama berkata tanpa mengerti apa yang dikatakannya sendiri.

Telah kita didedahkan dengan kemunculan suatu cinta yang agung di antara manusia sesama manusia seperti riwayat cinta Adam dan Hawa, riwayat cinta Balqis Ratu Sabak dan Sulaiman Raja Bentara dan berbagai-bagai lagi. Namun sepertinya menjadi ikut-ikutan pemikiran manusia terutamanya di Malaysia ini yang menuduh percintaan Adam dan Hawa itu seumpama percintaan rosak seperti yang diajari Shakespeare. Cuba anda lihat di kaca televisyen kita, berapa banyak cereka-cereka yang mengisarkan kononnya percintaan Adam dan Hawa? Hasilnya jurusan itu terus menerus menghukum percintaan yang kononnya percintaan Adam dan Hawa itu terhumban ke dalam lautan pengaruh cinta gila cetakkan nafsu manusia. Mengapa argh...?


Biarkan sang arjuna
memintal andeka cinta
membaluti suci hati sang puteri...


Aku semakin hairan, manusia senang mengatakan sesuatu tanpa disedarinya itu akan menghukum kembali dirinya. Apakah cinta yang sekelumit ini hanya diberikan seluruhnya kepada manusia semata? Usahlah kita terlalu hanyut dengan wajah yang indah, dengan nafsu yang ghairah. Andai anda berkesempatan anda hayatilah sebuah lagu yang menjadi lagu tema filem Kembara Seniman Jalanan yakni Rupa Tanpa Wajah lagu ini telah dinyanyikan oleh kumpulan Kembara.

Andai kau mengerti
tulus nan pelangi
pasti perjalanannya
kau warnai bersama

Biarkan sang arjuna
bermukim cerana kesuma
melangsi sahmura jiwa puteri...

Bukan aku memuja wanita tapi, aku diwajibkan menghormati wanita kerna dari wanitalah lahirnya aku Amni Jagat. Biar siapa pun wanita itu aku tetap akan mengatakan lindunganku pada mereka. Bukan aku memuja cuma aku memuji akan kewujudan yang cantik seperti wajah si jelitawan yakni wanita. Kepujian yang aku berikan hanyalah berdasarkan pujian kepada Yang Maha Esa.
Bunuhlah cinta yang sesat dalam kehidupan kita. Bukan cinta itu buta tapi kita yang buta akan cinta...

Isnin, 6 Julai 2009

Makalah kreatif (Sajak)

Airmata seorang bapak
(Dituju khas buat Bapak HAMKA)


Dari selendang katamu
suara tua menjengah jendela
bapak, kau sudah lama berasmara
dalam langkah sufi yang halus
walau airmatamu gugur ke pangku

Halaman sujudmu
terdengar senduan mesra
kau berkata menghujah rindu
nama itu 'Satu'
dan airmatamu menumpahi pipimu

Hening mata saljumu
melihat langkah rembulan
cahayanya melambai ceria padamu
sasteramu tinggi di balik pelita
andainya tinta itu adalah airmatamu

Kau menadah embun
yang kotor dalam tohor dunia
matamu tetap menakung cinta
antara hamba dan azali
pernah berkali katamu nama itu 'Satu'

- airmatamu tidak akan terhenti... -

Amni Jagat

Prof. Dr. HAMKA



Salam sastera buat sarwa wangsa nusa. Hari ini aku terlalu asyik ingin menterjemahkan bahawasanya inilah idola aku dalam penulisan berbentuk piagam nusantara. Allahyarham HAMKA banyak mengajar padaku tentang keikhlasan dalam penulisan yang memperjuangkan akidah, iman, ilmu dan ihsan manusia di seluruh dunia umumnya dan khususnya di nusantara ini. Penulisan Bapak HAMKA terlalu halus dalam setiap halusinasinya di setiap karya-karyanya. Dan bolehlah di sini aku sendiri mangatakan yang di mana Bapak HAMKA mempunyai lembaga penulisan yang berpandukan kepada ketauhidan. Kehidupan Bapak HAMKA terlalu mencabar sehinggakan Bapak HAMKA digelar dengan berbagai-bagai gelaran yang menyakiti telingaku dari suara-suara yang berkumandang melalui halwa tekak pemerintah durjana. Sekian kalinya aku kerap terkenang akan Bapak HAMKA dalam imaginasiku. Salam Al-Fatihah kepada Bapak HAMKA.

Bapak HAMKA adalah warna dalam setiap monokrom hayatku.

Sabtu, 4 Julai 2009

Sajak untuk puteri Hawa

Seikhlas pantai dan lautan

Merbak langkahmu
Menyepak harum
Diselokakan oleh angin
Buai kelopak mawar
Semekar nama
Garis hayatmu

Biarkan nyiur gemalai
Memanggil senja
Indah gelaranmu

Andai wajahmu itulah
Sebuah anugerah
Tiadalah bintang berteman sunyi
Mengejar ilusi
Dalam mimpi
Lantas terkening
Pada dahi suci

Karang pantai tersenyum
Sejujur kiambang
Hanyalah menemani sendiri

Kau pesona
Dunia bertudung durja
Lembut langkahmu
Mengalun bayu
Menghening siang
Belukar laraku
Disentuh lena kasihmu
Pepohonan berlagu girang
Melayari lunak suaramu
Seikhlas pantai pada lautan

Sekian
Amni Jagat

...sajak ini aku tulis sewaktu aku di Sungai Rambah Pontian. Ditulis pada tarikh 13 Oktober tahun 2008. Inilah sajak pertama selepas zaman hitam kejatuhan penulisanku tahun lepas. Aku sendiri meluahkannya dalam aliran berbentuk sajak.

Guntaian mesej cerpen Sue Fee

Aku sememangnya tidak mahu menulis mengenai mesej yang ada dalam cerpen ini tapi, serasa hari ini mungkin turunnya kata-kata ini sekadar menselimuti kalbu yang terkadang bertanya.
Sebenarnya 'Sue Fee' sebuah cerpen yang epik penuh dengan kemisterian dunia ini. Konsep kehidupan Sue Fee adalah lakaran dunia ini yang cepat menjadikan kekecewaan itu sebagai Tuhan atas dasar ketuhanan pada diri sendiri atau lebih tepatnya ketaksuban pada diri sendiri. Watak utama(Zaid) dalam cerita ini lebih berunsurkan ketauhidan kepada tauhid yang 'sebenar'. Perbalahan ini andai diamati dapat kita lihat ianya begitu tenang dengan masing-masing menghormati antara satu sama lain.(Aku rasa 'Sue Fee' lebih bebas untuk dihuraikan oleh individu-individu yang membaca).

SUE FEE DIJADIKAN NOVEL...?
Aku mungkin mempertimbangkan. Boleh dipertimbangkan. Serasa aku waktu ini biarlah ia sekadar cerpen. Memang benar ramai di antara rakan-rakan aku menyuarakan pada aku agar cerpen ini disambung atau diepisodkan tapi, bagi aku biarlah ia sekadar di situ dulu. Bagi penulis seperti aku, aku berpuas hati dengan suara-suara yang mengatakan seolah 'tidak cukup'. Bagi keperibadian diri aku inilah yang dikatakan kejayaan dalam penulisan. Aku dapat menarik imaginasi manusia untuk menyentuh lebih lanjut kehidupan dunia. Mungkin ini da'wah...
Macam mana andai aku terbitkan cerpen Sue Fee tu dekat blog ni?

Jumaat, 3 Julai 2009

Tahun 2000 dan ....


Waktu dulu, langkah aku tidak segagah hari ini. Namun di waktu ini juga aku tidak mengatakan yang aku sudah gagah untuk menentang arus dunia yang dikejar-kejar manusia. Hari ini aku masih tersungkur dalam kekeliruan yang cepat menginjakkan kaki di atas jemala kerinduanku. Memang ramai suka berkata yang aku ini manusia yang suka berilusi tapi, satu pertanyaan di benak aku ingin berkata 'adakah dunia ini kenyaatannya?'
Pada tahun 2000 atau awal tahun itu, aku sering mencari akan kesesuaian untuk hidup di dunia ini tetapi, akhirnya aku tumpas dalam kancah peperangan yang terkadang ingin menarik aku ke lubuk kezaliman pada dunia. Waktu itu mengapa tidak ada manusia yang ramai tadi bercerita-cerita mengenai ilusi yang aku adakan waktu itu? Aku terkadang keliru. Mungkin benar apa yang pernah diFirmankan di dalam Kitab Suci peganganku yang menyebut '...sesungguhnya ramai di antara manusia itu adalah fasik dan hanya segelintir sahaja yang bertaqwa kepadaKu.'
Suatu tahun 2000 serta awalan abad baru, aku dikejutkan dengan budaya melayu yang seumpama orang Futeh. Adakah melayu sedar tentang penjajahan orang Futeh dahulu? Kita hari ini sering menyalahkan Komunis yang kejam membunuh dan menakluki bumi melayu tetapi kita selalu lupa atau sememangnya lupa akan kekejaman orang Futeh yang lebih kejam dari Komunis. Tahun 2000 aku cukup agresif merenung nasib melayu. Hanya suatu kata-kata yang ingin aku perkenalkan pada seluruh melayu di Malaysia khususnya dan amnya seluruh dunia bahawasanya melayu akan bersatu di bawah satu naungan yang dipanggil ISLAM.
Tahun 2000 dulu aku cepat merasakan mata-mata manusia yang ramai ini mempunyai seni-seni kebangkitan dalam akidah rupanya aku tersilap, lebih baik aku memandang mata-mata yang hanya segelintir itu. Tidak semua manusia itu fasik namun ianya ramai, tidak semua manusia itu bertaqwa namun ianya segelintir.
Carilah falsafah orang Futeh yang membina naqli dan aqli
bukan meniru membabi buta tanpa naqli dan aqli
tidak salah mengikut perbuatan yang baik
tetapi adakah baik mengikut tanpa berfikir?
Nanti kita sambung lagi...
(Aku ada ilham untuk keluarkan cerpen di blog ini sila komen jika berminat)

Suara tahun 2000

Warna warni sebuah kenangan

Mata ini pernah menjadi saksi akan dunia,
hati ini diam dalam sempadan hakikat sebuah impian,
terkadang kaku batin dan zahir menitiskan lautan seagung bima sakti
dan pelayaran ini tetap menjadi kejujuran

Sepi di tanjung

Permulaan aku menulis pada tahun 2000 dahulu memang cukup mencabar pada semua daya. Antara pihak yang menjadi pada waktu itu adalah 'mata' dan 'hati'. Pengembaraan aku dalam mencari diri sendiri untuk berdiri adalah sengit bermain dengan segala yang aneh. Kebenarannya mungkin itu adalah proses kematangan. (Sama seperti rambut aku, tahun 2000 rambut aku pendek sekarang 2009 panjang)
Terik bukan sekadar melayar di wajah malah juga melayari pedih ke dalam jiwa. Tahun 2000 dulu adalah suatu pembaharuan dalam hidupku ini di waktu itu juga aku mengenal akan kepalsuan dunia dan kebenarannya. Tetapi pada waktu itu pena aku lebih tertarik kepada sokongan penulisan mengenai cerita-certita aneh(mungkin disebabkan itu aku pernah berdiri dalam keanehan agaknya). Di jiwa aku penuh dengan irama-irama Rock Kapak. Memang nostalgia.
Waktu itu(tahun 2000) aku Tingkatan 4. Aku mula memberanikan diri untuk menulis dalam aliran penulisan kreatif cerpen(nak baca cerpen terbaru aku tunggu keluaran majalah MANDALA atau emel aku). Cerpen-cerpen tu penuh dengan unsur-unsur mistik -itu yang aku katakan 'aneh'-. Memang kegemaran aku dulu mengenali budaya melayu yang terlalu mistik dan aneh. Peliknya nanti kita sambung lagi...

Untai jari dengan tapak
semalam usah dikenang-kenangkan
Intai aku biarlah nampak
jangan hari ini kau rindu-rindukan

Khamis, 2 Julai 2009

Bacaan sajak


Sajak - Mimpi bisa dan lumpuh
Oleh - Amni Jagat
Lokasi - Johor Bahru Johor
(Sajak ini telah dibawa oleh Dr. Boo Cheng Hau Ketua Pembangkang DUN Johor ke dalam sidang DUN Johor pada 23 Jun 2009)

Karangan 'pejuang'



Entah mengapa atau kenapa, hari ini aku terkenangkan Omar Mukhtar Rahmattullah. Mungkin semangatnya pada hari ini menjadi hadaman pada diriku.

Omar Mukhtar Rahmattullah pejuang yang banyak mendidik diri aku untuk mengenal puisi-puisi yang berselerak di dunia ini untuk aku kutip.

Akan datang kisah mengenai seorang 'filosuf' bakal dilahirkan dalam eksistensi di majalah Mandala.

Mungkin Omar Mukhtar juga seorang filosuf...

Rabu, 1 Julai 2009

Melihat dusta

Mata aku terlalu mengantuk tiada yang mengetuk. Biar aku terlena dalam tidur yang diizinkan janganlah aku terlena di balik rembang kelabu dunia.
Bukan aku membenci dunia, tapi dunia itu seni...

Mungkin sedikit kritik

Satu berita lagi

Ooobama orang Islam lupa Osama
Ooobama orang Islam lupa semua
Ooobama orang Islam lupa dunia
Ooo...

Ooorang melayu lupa agama
Ooorang melayu lupa sejarah
Ooorang melayu lupa akhirat
Ooo...

Oootak lupa melayu
Oootak lupa diri
Oootak lupa Tuhan
Ooo...

Ooorang putih bunuh melayu
Ooorang putih melayu agungkan
Ooorang putih melayu junjung
Ooo...

Ooorang Islam
Ooorang Melayu
Ooorang Malaysia
Ooo...

Ada,
Ada,
Ada dajal
Ooo... fitnah

Mengapa bintang yang aku kejar?

Hari ini sungguh asyik melihat birunya awan, mendengar riuhnya hamparan jagat namun aku terus menyusur menusuk ke dalam seluruh perusuk hati dunia. Aku berasa diri ini sangat beruntung kerana pernah dihidangkan pada aku sekeping potret keindahan dari wajah hamba abdi Tuhan. Terkadang pula, aku sesekali merasakan diri ini terlalu merugikan. Ini disebabkan aku sendiri yang jarang menilai akan ukuran baju dibadanku sendiri. Aku suka melihat wajah hamba abdi yang terjauh menyayangi dunia dari Pencipta mereka. Aku sendiri tidak tahu 'mengapa?' Mungkin inilah yang aku katakan mata yang ingin membantu. Nama yang pernah hadir itu dinamaiku dengan panggilan Nia Ariana. Mengapa aku bercerita mengenai kisah ini? Kerana ini adalah suatu pengalaman yang perlu semua manusia tanggung. Bukan dunia itu kejam tetapi kita yang terkadang kejam pada hati kita yang sedaya upaya menjaga kita. Mengapa aku kata sedemikian? Jawapannya cukuplah dengan aku menyebut 'Iman.' Sebuah purnama tidak akan berhenti menyinar walau ada yang membenci, walau ada yang mengeji, walau ada yang tidak peduli. Siapa pula sang purnama? Mengapa purnama? Jawapnya hanya dengan kita menghayati selawat S.A.W. Itu perjalanan aku hari ini