Isnin, 24 Ogos 2009

CERPEN

FAJAR CINTA ABSTRAK (Episod 1)

“AH, mengapa? Kenapa?”
Jejak terhenti dibela langit malam, dibelenggu memori kelam dan di bawah suci lampu malap neon jalanan. Luahan hati tetap terbelit menyelinap kusut memintal lubuk perit sejarah citranya. Ianya disebabkan cinta. Perkaranya adalah fitrah cinta seorang manusia ke atas individu yang lain. Tewas dalam percintaan adalah azab bagi seseorang yang dinamakan pencinta. Kini dia kesunyian suntuk menghitung masa.
Hasil dari buah kehampaan, dia terus menjadi kacau. Lima tahun dahulu perpisahannya disuntik semula oleh karisma ilmu agama yang dipelajarinya di sebuah sekolah pondok dengan tujuan untuk menyalurkan segala cintanya kepada Yang Maha Satu selamanya. Namun tidak pada saat, waktu dan ketika ini, apabila munculnya semula wajah yang pernah dicintainya itu mengharapkan belas ihsan darinya.
“Rumah tangga yang aku bina tidak seindah yang aku andaikan.”
“Aaa...kkku...”
“Tolonglah aku.”
Memang kusut untuk terhurai. Jejak kakinya tergantung untuk menjawab penagihan airmata kekasihnya itu yang muncul semula dalam hidupnya. Persoalannya adalah rumah tangga. Perkara atau soal itu tidak boleh dibawa remeh bagi dirinya apatah lagi wanita yang menagih itu adalah bekas kekasihnya yang dipisahkan secara zalim suatu ketika dahulu.
“Kau anak sial. Aku tidak mahu kau berkawan dengan anak aku.”
“Tapi, pak cik saya cuma... apa... mengapa...?”
“Wanti sudah ada pilihan dan tarafnya.”
“Benarkah Wanti?”
“Ya, memang benar.” Wanti.
Allah SWT saja yang tahu betapa hancurnya hati seorang jejaka tatkala kekasih yang disayanginya itu mengatakan sedemikian rupa. Bumi tidak terjejak, langit tak terlihat, alam tak bernyawa dan segalanya bagaikan kiamat. Persandingan di puncak syurga diimpikan menjadi punah. Airmata sudah menjadi lautan yang sangat dalam. Karam, tenggelam dalam suram.
“Tolonglah aku. Kau ingat tak janji kau padaku?”
“Aku tak faham.”
“Kau tak ingat. Bukankah kau pernah berkata yang aku ini adalah bidadarimu. Kau berjanji akan melindungi aku buat selamanya.”
“Apa yang kau mahu sebenarnya?”
Kian gila dibuatnya. Rayuan dan harapan diletakan kepadanya. Airmata menjadi bukti kesungguhan pengharapan seorang kekasih kepada dirinya. Namun apa yang dipandang olehnya hanyalah sebuah syurga yang dibina dari Rahmat suci Sang Izzati. Tidak mungkin sebuah istana suci menjadi ranap hasil daripada pandangannya yang cukup sensitif andai dicurahkan pada waktu yang kian menjerat nalurinya. Kebingungan kian memuncak bagai deru suara jeritan ‘ahlul nar’ yang kehausan kasih dan sayang.
Kelam makin meliak bersatu dengan dirinya. Acap kali nyanyian suara-suara kenangan kian mengganggu. Kenangan dan realiti kini menjadi satu.
“Aku bertekad untuk bercerai.”
“Apa? Kau, ah.”
“Ini pilihan aku.”
“Tapi kenapa? Mengapa?”
“Kau tak akan faham perasaan aku.”
Ria malam di persada meja makan malam itu cukup gamat apabila sekali lagi hayunan kata-kata hikmat cermat membuka hemat rentapan keduanya. Termenung lagi seketika berketika.
Taman impian yang penuh dengan bungaannya menjadi pilihan pasangan yang kian menghampiri zaman kemuncak kemenangan. Ke mana saja mentari tetap menyinari perhubungan itu. Makin unik, makin suci, makin gemirap bila di antara mereka diselitkan dengan irama-irama nyanyian hati sebuah kejujuran. Purnama, matahari, bintang atau pelita sudah kebiasaan menyuluh sinar bagi selembar tasik asmara cinta mereka berdua.
“Kau ibarat pungguk yang merindukan bulan.”
“Kau pula bulan yang senangtiasa dirinduiku. Andai hilang kau pada malam itu, akan ku puja kau di balik langsir awan malam.”
“Hai, apalah gunanya purnama tanpa pungguk yang selalu merinduinya. Pasti kesunyian itu menjadi jawapannya.”
“Usahlah kau khuatir wahai purnama, aku akan tetap merinduimu walau kita berpisah langkah.”
“Berpisah langkah, mungkin siang yang menjadi mainan pengaduan kita.”
“Pincang langkah si Adam tanpa Hawa.”
“Hawalah syurga si Adam.”


Bersambung...

Jumaat, 21 Ogos 2009

Membaca cerpen di Blog

InsyaAllah esok yakni 2 Ramadhan 1430/23 Ogos 2009 akan datang sedutan baru di Blog ini. Blog ini akan menyiarkan cerpen nurkilan Amni Jagat untuk bacaan semua yang melawati blog ini sebagai daripada bahagian kecil buah fikiran untuk direnungkan mengenai dunia dalam bulan Ramadhan ini. Cerpen ini akan disiarkan bersiri yakni selama 3 hari satu episod.
Cerpen yang akan datang itu bertajuk FAJAR CINTA ABSTRAK.
Sebuah cerpen yang berkisarkan perihal rumahtangga yang bergolak. Pergolakkan itu menimbulkan pertanyaan yang bermacam yang digelar 'abstrak'. Kehadiran watak utama(bekas kekasih Wanti) telah membongkarkan segala rahsia rumahtangga yang telah diimpikan Wanti. Namun Wanti terus bertekad di hadapan bekas kekasihnya itu untuk bertindak luar dari batasan yakni dengan cara Wanti tetap akan memohon cerai. Adakah bekas kekasihnya itu yang menjadi punca segala keretakan perkahwinan Wanti. InsyaAllah kita tunggu pada tarikh yang telah dijanjikan.
Dengan Izin Allah, kita sekali lagi bertemu Ramadhan Al Mubarak.

Ke mana hilangnya roh Bahasa Ibunda Melayu

'TINDAKAN KE ATAS GURU YANG MENGGUNAKAN BM SEPENUHNYA SEMASA PEGAJARAN.'

Allah Hu Akbar... aku begitu marah dan gundah bila disebutkan tajuk sebegini rupa dalam akhbar tabloid KOSMO. Aku di negara mana ni? Adakah aku di negara yang mengamalkan bahasa selain daripada Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia.
Pada tahun 1972 satu akta telah dikeluarkan yang menegaskan bahawasanya perlu untuk menggunakan bahasa ibunda melayu sebagai bahasa rasmi. Akta itu juga telah dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak(Bapak kepada Perdana Menteri Malaysia ke-6). Akta ini telah diwajibkan dengan sekeras-kerasnya.
Adakah ini hadiah untuk aku sebagai penyarung kebudayaan bahasa ibunda aku dalam menyambut erti kemerdekaan yang ke 52 Malaysia. Satu Malaysia atau Satu sia-sia?
Binatang mana yang merosakkan bahasa ibunda ini? Perkataannya bukanlah Bahasa Ibunda tapi BM yakni Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia. Andai kalau ada guru yang menggunakan bahasa cina atau bahasa india adakah guru itu akan diambil tindakan. Bukan aku mempertikaikan bahasa lain tapi mengapa Bahasa Melayu, kenapa Bahasa Melayu? Mungkin zaman ini kita akan lebih mudah untuk mengenali siapa 'PENGKHIANAT BANGSA'. Sayangnya orang itu senegeri dengan aku.
Sudah lama aku memerhati dengan penuh perhatian. Namun dari sudut dan hal ini aku perlu bertindak untuk mengumumkan bahawasanya Binatang ini cukup bahaya untuk kita simpan dan terus menjadikannya sebagai pusaka. Bangsa akan mati tanpa Bahasa. Bahasa melambangkan bangsa. Ayuh bangsaku... ayuh bangsaku... ayuh bangsaku...
Sayangnya terkadang pepatah melayu lama agak kurang tepat. 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Bapak perjuang Bahasa anak penghancur bahasa, timbalan PENGKHIANAT BANGSA.
Selalu aku melihat airmata Pak Samad mengalir mengenangkan nasib Bahasa Ibunda Melayu hancur di tangan Binatang perosak ni. Merdeka... Merdeka... Merdeka... di bawah kaki siapa?

Isnin, 10 Ogos 2009

Pemergian WS Rendra



Salam takziah buat Bapak Rendra(74). Pemergian adalah suatu kewajiban.

Pinjamkan aku senimu,
pinjamkan aku penamu,
pinjamkan aku notamu,
pinjamkan aku falsafahmu...

Doa Qunut(Sempena menjelang Ramadhan)


Doa Qunut yang cukup menyentuh hati. Imam ini telah mengambarkan bagaimana keadaan dunia yang semakin kejam menindas Umat Islam di dunia ini.

Terima kasih Dhamah Syifflah yang memberi komen. Suatu nasihat yang baik dari anda. Anda juga seorang 'kawan'

Khamis, 6 Ogos 2009

Ramadhan yang bakal lahir

Ramadhan yang akan datang kali ini cukup-cukup untuk kita semuanya bersedia menghadapinya. Kelahirannya kali ini cukup membawa kesan yang hebat pada diriku. Kelahirannya menceritakan seribu satu makna kejayaan pada diriku untuk terus bergerak dalam perjuangan yang meletakkan Syahadah itu sebagai mahkota ataupun tajul yang mekar dan mangkin berdiri di atas jemalaku. Perjuangan yang aku tempuhi kali ini lebih jauh berbanding di tahun-tahun yang lepas. Mungkin bagiku ini adalah Rahmat dalam usaha aku untuk membantu seluruh pejuang-pejuang Islam yang lain.
Namun tidak dapat aku nafikan pada Ramadhan kali ini yang akan lahir adalah berkenaan dengan diriku yang kuat diancam. Makin kuat aku bersuara makin lemah manusia disekelilingku yang aku temui. Gerakan untuk meruntuhkan kezaliman ke atas Islam terkadang begitu mencabar masalahnya bukan datang dari musuh tetapi ia lebih menyakitkan apabila ia datang daripada kawan-kawan yang kononnya ingin kuat bersama Islam. Pada permulaan dulu yakni pada tahun-tahun yang sebelum ini, aku agak lemah di mana andai mereka-mereka yang katanya ingin kuat bersama Islam itu lari meninggalkan ku tapi, pada hari ini mungkin aku tidak lagi lemah atau mungkin aku sudah ada sedikit kekuatan yang Allah SWT telah peturunkan dalam diriku.
Aku bersama seorang kawan aku yang aku benar-benar rapat yang bernama Shukri bin Nordin cukup untuk menguatkan aku sendiri walaupun hanya dia seorang saja yang bersama dalam susah dan senangku. Selama ini aku melihat dalam skop yang kecil untuk menghadapi Ramadhan pada setiap tahun tetapi, pada kali ini aku seolah bagai diapung oleh berbagai-bagai pihak yang kuat bersama dalam perjuangan Islam untuk bersama membantu aku dalam menjayakan lagi perjuanganku. Aku terlalu terharu dan bersyukur.
Seperti mana sajak aku yang lepas(malam tiada cahya, kala siangku menduga) cukup mengangkat aku untuk aku secara seratus peratusnya menyerahkan perasaan, nyawa, jiwa dan segalanya pada Allah. Aku menjadi semangat bila mendengar lagu yang didendang oleh abang Ramli Sarip yang bertajuk Ramadhan. Ketuhanan menjadi lebih kental bila aku dalam keadaan terduga. Sememangnya wajiblah setiap manusia yang beriman kepada Allah SWT itu terduga. Itulah rasanya yang aku iringkan menjelang Ramadhan yang suci.
Aku agak marah dua tiga hari lepas bila saat-saat akhir kawan-kawan aku menarik diri dari berjuang mempertahankan kesucian Islam yang suci. Namun setelah ditimbang aku hanyalah terkilan bukan kecewa. Marah pada mulanya itulah yang dipanggil nafsu. Pada satu sejarah dahulu seorang sahabat Baginda SAW yang bernama Ka'ab bin Abdul Malik telah ditegah oleh Rasulullah supaya jangan berpaling menghadap Baginda SAW. Kesalahan Ka'ab adalah hanya lari dan terkhayal sejenak dengan dunia sehingga meninggalkan seruan Sabilillah. Cetera ini boleh kita tonton di pentas teater 'Menunggu kata dari Tuhan' yang diarah oleh Dinsman.

Mungkin juga lari pada perjuangan ini adalah pengajaran untuk aku sebelum terbitnya matahari Ramadhan. Terima kasih Allah SWT.
Salam maaf dari aku kepada semua kawan-kawan aku yang terasa. Aku berkata atas dasar Al-Quran dan Islam semata. Salam rindu kepada Rajawang, hari Sabtu ni kita jumpa...