Ahad, 13 September 2009

CERPEN


FAJAR CINTA ABSTRAK (Episod 3 akhir)

Airmata si jejaka itu cepat dan lekas menyentuh bumi. Garang dan gagah pergerakan airmatanya menjamah pipi si jejaka itu. Keras perasaannya menerima berita duka dari bibir yang kini menjadi dendam baginya.
Si suami kebingungan, rumah tangga yang dibina selama dua puluh empat jam ingin diranapkan dengan begitu saja. Mengapa malamnya itu cinta, namun pagi berubah menjadi dusta?
“Tidak cukupkah dengan harta yang saya berikan pada awak selama ni?”
“Bukan harta yang saya pertikaikan, tapi abang sedar tak siapa abang sebenarnya.”
“Baik, awak tengok sendiri surat nikah kahwin kita. Apa bezanya dengan orang lain? Kita sah menjadi suami isteri.”
“Sah awak kata. Kadi tidak kenal awak. Awak tolonglah lepaskan saya.”
“Saya tidak akan lepaskan awak.”
“Awak memang seorang yang gila.”
“Kalau awak nak tahu bukan saya yang gila, tapi awak dengan orang tua yang terlalu gilakan harta saya. Awak tengok hari ni, berapa ramai manusia kahwin bukan kerana cinta. Dunia hari ni semuanya disebabkan duit sebagai tuhan.” Perlahan menyapu lembut peluh yang mulai muncul di permukaan dahinya.
“Siapa sebenarnya suami kau tu?”
“Aku malu nak cerita.”
“Aku tak menyokong untuk kau memutuskan hubungan kau dengan suami kau hanya kerana cinta kita dulu. Kita ada agama Wan. Ingat Allah untuk kau membuat keputusan. Janganlah kerana nafsu kau memutuskan hubungan yang indah terbina. Perkahwinan itu adalah kewajiban Wan. Kau kena ingat itu.”
“Kerana agamalah aku membuat keputusan aku sebegini.”
“Wan aku bukanlah seorang ahli seni yang boleh meneka tepat akan sebuah lukisan abstrak. Aku tidak boleh meneka apa yang tersirat di balik wajah kau.”
Mata Wanti kian mengecil memerhatikan wajah jejaka di hadapannya itu. Wajah Wanti yang sebegitu memang sudah menjadi kebiasaan si jejaka itu melihatnya dahulu ketika mereka mekar dalam arena cinta. Kegentaran mulai tercurah di balik lubuk rasa Wanti dan tidak ketinggalan juga lubuk rasa si jejaka itu yang kian hilang kesabaran untuk mendengar cerita sebenarnya.
“Kau teruskan saja hasratmu untuk meminta pandanganku. Mungkin ada fajar dalam cinta kau walau payah untuk kau meneka.”
“Aku... sebenarnya...”
“Sebenarnya apa Wan? Luruskan lidah kau seperti jujur hati kau.”
“Sebenarnya, suamiku bukanlah seorang suami.”
“Apa yang kau maksudkan, jelaskan Wan?”
“Aku takut kau tak percaya pada aku dengan apa yang hendak aku bukakan.” Kegentaran lebih kuat pula menyapa diri si jejaka itu berbanding Wanti yang kian yakin untuk menceritakan hal sebenarnya.
“Suamiku sejenis denganku. Suami aku seorang perempuan, dia bukan seorang lelaki. Dia kahwin dengan aku hanyalah untuk menutup aibnya yakni dengan alasan dia adalah seorang lelaki.”
“Apa Wan?”
Hingar bingar jeritan naluri si jejaka itu menyentuh kebingungan. Ternganga mulutnya dan mungkin sampai ke sudah ajalnya barulah hilang segala kekusutan itu. Pandangan Wanti kini, hanya menunggu kiamat yang bakal tiba.

TAMAT

AMNI JAGAT

Selasa, 8 September 2009

Ulasan Lirik Lagu

Mari kita cuba ulaskan pemikiran Azida NS mengenai lirik lagu 'Sejiwa' ini. Andai ada yang ingin kita bincangkan bolehlah kita sama-sama menceritakan pandangan masing-masing di ruangan ulasan.

Bagi Amni Jagat, lagu ini cukup mencengkam minda pada permulaan pengenalan Amni Jagat pada lagu ini. Lagu ini lebih berat untuk Amni Jagat katakan ia berbentuk puitis yang banyak menggunakan bait-bait berbunga yang andai dihayati ia jauh lebih mendalam dari dasar yang kita ketahui pada asal lirik ini.
Lirik ini dapat juga kita olahkan ia dalam bentuk yang mistik -mungkin pada waktu itu lirik berbentuk mistik lebih laris-. Satu di antara lain adalah berkaitan liriknya yang terlalu hampir dengan suasana malam. Justeru kalau kita cuba menyelami lerengan baitnya pasti kita temui di mana wanita atau watak sang kekasih itu hadir pada waktu malam semena. Kalau kita dapat lihat di mana lirik itu menyebut 'usahlah cinta dibawa bersama, ditenggelami mentari di timur...' bahagian ini cukup menggambarkan bahawa cinta mereka bersemi sebelum terbitnya mentari di timur. Ia Sememangnya cukup menggatakan itu adalah waktu malam.
'Ku ingin selalu di sampingmu, tiap waktu siang melambai malam...' kata-kata ini lebih menggambarkan lagi bahawa hadirnya watak sang kekasih itu juga pada waktu malam. Bait yang berbunyi 'siang melambai malam' itu memberitahu kepada kita mengenai ketidak sabarannya sang penunggu cinta menunggu waktu malam itu hadir bagi ia meluahkan lagi cintanya terhadap sang kekasihnya itu.
Mengenai mistiknya yang cuba digarapkan dan diteka oleh Amni Jagat adalah mengenai bunga kemboja. Di sini penulis(Azida NS) cuba menggambarkan mengenai keharuman cinta mereka yang mekar mewangi sewangi kemboja. Apa yang kita tahu mengenai kemboja? Kemboja boleh dikaitkan dengan suatu perkara yang mistik. Ini berkenaan di mana bagi fahaman orang-orang melayu pada waktu lampau mereka menganggapkan kemboja adalah bunga bagi sang Pontianak. Salah satu lainnya juga kita umum mengetahui bahawa bunga kemboja adalah bunga 'kuburan' yang terlalu hampir ditaburkan di atas pusara. Fahaman ini mungkin sudah tidak relevan pada zaman kita hari ini namun boleh juga untuk kita sekadar mengkaji seketika mengenai kewujudan-kewujudan alam selain kita seperti alam Jin. Mungkin agak sempit bagi fahaman Amni Jagat bila saja dikaitkan dengan Bunga Kemboja, Amni Jagat terus menerus menerka bahawasanya lirik ini secara menyeluruhnya mengenai Pontianak atau mistikal bercinta. Mistikal ini boleh kita tambahkan lagi dengan alasan kewujudan watak sang kekasih itu sendiri yang hadirnya pada waktu malam semata.
Mengenai tajuknya 'Sejiwa'. Boleh juga Amni Jagat cuba menerka yang mana itu adalah berbentuk manusiawi dan Jin boleh mempunyai jiwa yang sama dalam halimunan pencintaan. Sememangnya watak keduanya harus mempunyai gerak yang sejiwa.
Dari pengalaman Amni Jagat mengenal lirik lagu ini sejak berdekad-dekad lamanya, Amni Jagat dapat merasakan lagu ini cukup untuk menghasilkan spiritualnya tersendiri.
Hal ini terpulang kepada sesiapa saja yang membaca di laman 'Khazanah' ini. Justeru kita sama-samalah memberi pandangan yang lebih lagi bagi kita sama-sama berkongsi menafsir ayat-ayat yang terselindung di balik bait-bait ini.
Tabik untuk Azida NS...

Lirik Pilihan

Sejiwa - Kumpulan Spring

Pada irama ku berpesan
lagu ini ditujukan
padanya yang tersayang
Kasihku kau pernah dipersia
lalu ku bawa cintaku
sebagai penawarnya
biar lukamu masih terasa

Sesaat engkau tidak kutemu
bulan seakan pilu
tiada dapat beradu
Begitu jika engkau membisu
bagai jauh di lautan
tiada ketepian
sebegitu cintaku padamu

Usahlah cinta dibawa bersama
ditenggelami mentari di timur
gelap gelita tiada bercahaya
ku tiada berdaya

Ku ingin selalu di sampingmu
tiap waktu siang melambai malam
bagaikan senja denyutan cinta kita
penyambung hadirnya

Akanku bina istana bahgia
menjadi lambang kasih berpanjangan
hentikan airmata pedih kenangan
yang mencakar perasaan
mekarlah bunga cinta
seharum wangi kemboja
mekarlah bunga cinta di taman kita
sejiwa...

Lirik : Azida NS

Khamis, 3 September 2009

CERPEN


FAJAR CINTA ABSTRAK (Episod 2)


Sejenak kian, si suami melangkah perlahan jejak memasuki rumah dalam keadaan keletihan. Mendung di raut wajah si suami jelas terpandang dalam mata isteri yang setia menunggu namun kesetiaannya kali ini membawa berita pemberontakan.
“Tak tidur lagi, Yang?”
“Bukan itu jawapannya.”
“Saya penat ni. Sudahlah awak pergi tidur.”
“Macam mana saya nak lelapkan mata saya andai awak itu bukanlah seorang suami?”
“Apa yang awak merepek ni?” Wajah si suami tetap tenang.
“Saya dah tak tahan lagi. Cukuplah selama ini saya menanggung dosa. Keputusan yang saya pilih ini adalah tepat. Awak mesti ceraikan saya.”
“Tak boleh.”
“Kenapa tak boleh?”
Wajah kedua ibubapa tergambar gagah dengan senyuman mesra kepuasan. Di hari yang bahagia dengan pasangan pilihan mereka, kedua mereka terlalu gembira. Tiada yang dapat digemparkan lagi di hati Wanti sejurus melangkah menaiki pelamin yang serba mewah itu. ‘Wanti dikahwinkan dengan orang kaya’ itulah perbualan yang menyirami subur pada bibir-bibir warga yang turut terjemput untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.
Tiada cinta di hati mereka, tiada bahagia yang dapat dicapai namun Wanti lebih selesa untuk memandang harta sebagai pilihan untuk bersatu ataupun Wanti sudah penat untuk menidakkan kata-kata ibubapanya yang menolak mentah-mentah pilihan hatinya.
“Ayah tak boleh buat macam ini.”
“Kau jangan nak mengarah aku.”
“Wanti bukan nak mengarah ayah.”
“Aku taburkan benih, sehingga kau dapat melanjutkan pelajaran kau lebih jauh ke universiti, hasilnya kau nak melawan cakap aku.”
“Bukan begitu ayah.”
“Habis kalau bukan itu, apa dia?”
“Ayah tak faham.”
“Kau yang tak faham, keluarga Dato’ Sallehlah yang membantu kau melanjutkan pelajaran ke universiti. Anak dia anak yatim piatu, segala warisan harta bapaknya termaktub di bawah nama anaknya yang tunggal itu. Kau kenalah faham. Ayah dulu drebar Dato’ Salleh. Anaknya baru balik dari Australia menguruskan syarikat ayahnya. Dari kecil lagi selepas Dato’ Salleh cerai dengan isterinya, anaknya itu dijaga oleh isterinya di Australia sehingga Dato’ Salleh membuka sebuah syarikat di sana. Ayah kenal bakal suami kau tu. Ayah tak mahu kau sia-siakan hidup kau berkahwin dengan orang yang tak tentu hala hidupnya.”
Angin meniup kencang, sekian lima tahun namun angin kencang itu tidak berjaya reda walau apa sekalipun yang cuba dilakukan. Wajah si suami tetap menjadi tatapan benci dan dendam. Kehidupan rumah tangga itu semakin kucar kacir. Nafiri damai tiada lagi dapat didengari melainkan buat Wanti hanyalah dengan memanggil orang luar untuk mendengar keluhan dan luahan yang terbuku rapi, keras dan jitu dalam halus lubuk hatinya.
“Mengucap Wanti, Istighfar.”
“Bukan aku yang harus mengucap dan Istighfar, tapi suami aku.”
Selembut wajah mendayu, sekilas warna biru lautan menjadi tanda tanya pasangan yang sedang menudungi asmara gagah membara di hati. Kamar pengantin malam itu cukup berseri tatkala pengantin perempuan sedang menanti saat kemuncak setiap sudut perkahwinan. Wajah si suami gagah menyusuri perlahan kamar itu. Walaupun pernah dikatakan pada kekasihnya bahawa cinta yang asli itu tidak akan mati walau ditelan buana neraka sekalipun namun Wanti seolah lupa akan kata-katanya itu. Si suami di hadapannya kini adalah cinta baru baginya. Cinta kekasihnya telah pun terkubur pada malam itu. Tidak lama sedemikian waktu, maka terpadamlah lampu kamar tersebut. Langit menjadi gerun alam menjadi riuh dan hati seorang jejaka menjadi korban. Kamar perkahwinan itu menjadi saksi akan sebuah cinta yang baru berputik.
“Aku tak boleh meneruskan rumah tangga aku lagi.”
“Wanti aku lihat, waktu malam pertama kau menjadi isteri. Aku dibelakang kamarmu.”
“Kau tahu segalanya?”
“Tidak, aku hanya dari jauh.”
“Tidak, aku masih dan tetap mengenang cinta kita.”
“Wanti, cinta kita sudah mati Wanti.”
“Cinta kita tidak akan mati.”
“Kau sendiri mengatakannya pada malam terakhir kita...”
Suram malam itu berteman airmata jernih jatuh menitis dari pipi seseorang yang tewas dalam matlamat mempertahankan cintanya. Seorang pendayung cinta kini kian terhanyut di bawa dek arus deras gelora cinta. Dari mula sehingga sewaktu-waktu airmata tetap menemani penantian si jejaka itu menanti kemunculan kekasihnya dalam pertemuan yang begitu kemuncak sebagai jawapan bagi cinta mereka.
Jelmaan yang dinanti muncul kelak di kala pernantian sedang dirangkul kuat oleh hati yang kian berdebar. Reaksi Wanti kali ini tetap dengan senyuman sekuntum di bibir. Senyuman itu menjadi tanda tanya akan pengakhiran sebuah cinta ataupun permulaan sebuah cinta.
“Dah lama tunggu?”
“Tidaklah terlalu lama.”
Pasangan itu sediakala memilih tempat bertenggek masing-masing. Bulan, bintang, langit dan awan yang agak suram menjadi saksi segala cerita. Debaran hati jejaka itu semakin membuak membunuh segenap kesucian malam. Keinginan mengetahui jawapan dari mulut yang selama ini dipuji dan dipuja olehnya itu menjadi sasaran yang sebenar dan utama.
“Abang, sayangkan bukan kita yang mengakhiri segalanya.”
“Apa, ah! Abang tak faham Wan, Wan terangkan pada abang.”
“Terangkan apa bang?”
“Wan, apakah kata-kata Wan ini adalah pengakhirannya?”
“Baguslah kalau abang dah tahu.”
“Wan, kenapa... ish.?
“Abang kenapa menangis? Bukankah abang juga yang kata, cinta itu harus didatangi dengan pengorbanan. Abang ingat lagi tak? Itukan mercu tanda cinta kita.”
“Wan, kenapa Wan cakap macam tu? Wan terlalu tenang Wan. Adakah Wan setuju dengan apa yang orang tua Wan rencanakan?”
“Setuju pun tidak, menyokong pun tidak. Wan cuma mahukan suatu kebahagian.”
“Wan kenapa dari awal lagi Wan tidak memberitahu kepada abang yang Wan tidak bahagia di sisi abang.”
“Bukan tak bahagia bang, cuma terkadang apa yang orang tua Wan kata ada benarnya. Zaman sekarang harta menjadi kepentingan. Cuba abang fikir jika kita mewah, apa saja yang kita hajati tetap dan pasti kita dapat. Abang lupakanlah segalanya bang. Anggaplah saja kita tidak ada jodoh.”



Bersambung...