Khamis, 19 April 2012

Foto kreatif

Kali ni, memang aku sengaja nak mencuba satu benda yang baru berkenaan dengan kemahiran bermain dengan kamera. Seseorang yang pernah lepak dengan aku dan mengajak untuk aku mencuba sesuatu pengujian minda ternyata perkara itu telah aku pratikkan hari ini.
Sebuah buku kronologi dalam perjuangan hidup manusia di abad baru kini cuba aku coretkan dengan nurkilan wajah-wajah zaman. Buku itu diberi nama 'LUKISAN WAJAH ZAMAN'. Ia adalah koleksi peribadi yang akan aku kongsikan bersama semua...

Selasa, 10 April 2012

Seni perlu bersama manusia


Sejarah kenabian dan kerasulan pernah membuktikan bahawa para nabi dan rasul adalah manusia-manusia yang sebenarnya digelar orang-orang seni. Lihat sahaja bagaimana Nabi Idris A.S. sendiri adalah manusia seni. Baginda adalah seorang yang suka menjahit.
Begitu juga dengan Nabi Sulaiman A.S. baginda juga seorang ahli seni yang tekun membina semula istana Balqis sehinggakan keseniannya sentiasa disebut pada seluruh zaman. Nabi Noh A.S. juga tidak ketinggalan hebatnya, baginda seorang pengukir yang hebat sehingga berjaya membina sebuah bahtera yang tidak tenggelam dek bah yang begitu besar.
Nabi Junjungan Muhammad S.A.W. juga adalah manusia seni yang berperanan melukis dan menjadi arkitek sewaktu perstrukturan masjid di zaman baginda. Baginda juga seorang ahli seni yang mahir dalam bidang bahasa.
Kalau dilihat pada zaman keagungan Islam di Andalus, umat-umat Islam kebanyakkannya tergolong dari golongan manusia seni. Seperti Al-Farabi, beliau adalah manusia pencetus mengenai seni muzik di dunia ini. Ramai golongan seni yang wujud di kalangan umat Islam termasuklah Ar-Raniri, Ibnu Sina, Tun Seri Lanang dan juga tidak ketinggalan Hamzah Fansuri.
Tetapi ramai yang tidak mengetahui apakah peranan seorang ahli seni di sisi dunia ini? Ahli seni sebenarnya diwujudkan oleh Allah untuk menjadi penyelamat kepada keruntuhan moral di kalangan manusia. Justeru ahli seni perlu memanfaatkan setiap amanah yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka untuk jalan kebenaran mengenalkan manusia kepada kebenaran.
Ahli seni harus menjadi manusia penyusun zaman. Kalau dilihat dari nama-nama besar yang disebutkan di atas, dapatlah kita ketahui di mana ahli-ahli seni itu adalah manusia yang berperanan besar dalam pergolakkan di zamannya.
Kalau dilihat dalam struktur seni barat seperti Leonardo Da Vinci, Karl Marx, Cahrles Darwin, Helen Keller dan sebagainya, mereka adalah rujukan zaman yang tidak pernah putus di barat bagi tujuan untuk membangkitkan rasa kesedaran masyarakat mengenai kebenaran dalam tafsiran mereka.
Contoh seperti Helen Keller, wanita ini adalah seorang yang pekak dan bisu tetapi Helen boleh mengadakan satu revolusi yang hebat hanya dengan mengadakan sebuah karya penulisan yang besar pada waktu itu. Samalah seperti Karl Marx, umum mengetahui Marx boleh mengegarkan dunia mengenai teori 'Das Capital'nya.
Manusia-manusia seni di barat sentiasa menjadi rujukan pada setiap zaman untuk pembangunan manusia di sana. Tetapi berbeza di Malaysia, kebanyakkan seni hanya dijadikan sebagai tontonan. Ahli seni seharusnya menjadi berani dalam menegaskan soal kebenaran. Justeru seni perlu bersama dengan manusia.
Dalam perbincangan bersama A. Samad Said, aku memutuskan bahawa seni untuk seni adalah milik individu tetapi seni untuk rakyat adalah jatidiri yang perlu. Seni seharusnya disalurkan kepada manusia.
Maka dengan itu, aku harapkan seluruh ahli seni di Malaysia ini perlu menjadi manusia yang memerhati setiap zamannya. Kembalikan semula kelebihan yang diberikan Allah kepada kita untuk membangunkan keimanan di hati manusia. Ternyata itulah tujuan Allah memilih kita sebagai ahli seni. Seni perlu berani...

Sabtu, 17 Mac 2012

Mengenali perjuangan sebenar A. Samad Said di dekad 70an


Terus terang aku katakan buku novel ni aku berikan empat bintang. Memang menarik dan memang perangsang. Untuk menjadi seorang yang berani watak Lokmanlah sebagai hadamannya.
Pak Samad pernah berkata dengan aku "novel Hujan Pagi itu jahat." Aku menjawab "memang pun jahat seperti penulisnya." Arakian Pak Samad ketawa besar.
Ke hulu ke hilir aku menggenggam buku Hujan Pagi dicelahan jari ke dua tanganku sama ada tangan kiri atau tangan kanan sehingga satu hari aku bertemu dengan seseorang yang bernama Hassan Karim. Beliau seorang peguam.
Teguran Hassan Karim kepadaku adalah berkenaan buku Hujan Pagi yang tergenggam di jemariku. Ayat yang pertama keluar dari mulut Hassan Karim adalah 'novel tu berat.' Aku pun terus bertanya akan pandangannya terhadap novel tersebut. Arakian kami pun sama-sama membedah buku Hujan Pagi yang dimaksudkan.
Aku terasa seperti diriku bukan berada di Malaysia. Aku berasa diriku seperti berada di Perancis kerana budaya buku diperbahas di kedai kopi berdekatan dengan pejabat wartawan Johor di Taman Pelangi.
Akhirnya kami telah sebulat suara membuat konklusi di mana novel Hujan Pagi itu memang benar-benar berhaluan 'kiri'. Pak Samad begitu mengangkat martabat pejuang haluan kiri di zaman sebelum kemerdekaan dan zaman awal kemerdekaan.
* Manakan tidak, buku tersebut mempunyai plot-plot yang begitu bersepah sehingga membuatkan pembaca yang membacanya menjadi pening. Mungkin itulah sifat 'jahat dan berat' yang dimaksudkan oleh Pak Samad penulis dan Hassan Karim sebagai pembaca. Bagi aku buku itu tidak boleh dibaca dengan sekali imbas atau bacaan yang laju.
Dalam buku tersebut setiap bab mempunyai artifak sejarah yang begitu hebat. Pak Samad cuba mengangkat sejarah-sejarah yang telah lama padam di sisi masyarakat untuk diterjemahkan dan ditanam ke dalam minda manusia hari ini.
Novel Hujan Pagi adalah suara zaman yang menjadi penyimpan untuk khazanah hari ini mengenalinya. Ternyata Pak Samad berjaya menghidupkan suasana perjuangan dalam novel tersebut. Cuma awasi sifat 'jahat dan berat' yang dimaksudkan yakni plot-plot yang bersepah dari satu bab kepada bab yang lain.
Ada dua watak yang perlu diperhati 'watak Lokman dan watak Niram.' Kedua watak ini adalah simbolis kepada pemberontakan masyarakat terhadap serangan rohani yang berlaku di zaman kekalutan awal merdeka. Penulisan seperti ini mengingatkan penulis kepada seseorang yang bernama Pramoedya Ananta Toer dalam bukunya yang bertajuk 'Bukan Pasar Malam'.
Sesiapa yang ingin menjadi pejuang, carilah novel HUJAN PAGI karya A. Samad Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahad, 11 Mac 2012

PENDAMPING GEMA LAUTAN


‘Anak laut jika tidak tahu hukum laut adalah manusia yang penakut’. Kata-kata itulah yang sentiasa menghantui Kawas. Benar paling tulen, kata-kata itu tepat menuding ke arahnya. Lautan yang terbentang dan selaku anak laut, manusia semalang Kawas sentiasa bermain dengan kelemahan dirinya sendiri. Anak laut yang tidak pandai berenang serta takut dengan air. Maka sempurnalah kata-kata dari orang kampung di tepian laut itu mengelarkan Kawas sedemikian hina. Hinaan itu bukan saja datang dari pihak luar malah ia juga datang dari pihak dalam keluarganya sendiri terutama ayahnya yang juga seorang anak laut nelayan.
“Ada irama! Ada irama!” Pernah jerit Kawas sedemikian.
Dari kecil ketika berusia sembilan tahun lagi jerit itu selalu berkumandang.
“Kau bukan anak laut kau anak gila.”
“Ada irama! Ada irama!”
“Di mana?”
“Di depan laut ini.”
“Irama datang dari tengah laut yang terbentang?”
“Ada irama!”
“Kalau ada pulau, mungkin boleh aku percaya kata-kata kau.”
“Aku yakin ada irama.”
“Mana mungkin.”
“Irama itu selalu membuatkan aku gembira, tenang dan sedih.”
“Irama?”
“Ya, ya irama.”
“Memang kau bukan anak laut, kau anak gila.”
Bukan seorang dua yang berkata, tetapi satu kampung. Malah kata-kata itu juga keluar dari mulut ahli keluarganya. Benar-benar berat dugaan yang dialami Kawas.
Namun, tegak ikhtiarnya masih bertegah mengatakan ada irama di tengah lautan yang terdampar di hadapannya kini. Ini realiti. Irama itu benar. Benar, irama itu kuat mencemuh ke telinga Kawas. Sehingga waktu ini tatkala Kawas sedang bersendirian, irama itu teguh menemani malam dan lamunannya. Kuat dan kencang walau seyakin Kawas di hadapannya itu tidak ada pulau atau sesuatu perkara yang boleh menjelmakan bunyi sedemikian indah. Tapi irama itu adalah perkara yang benar. Terkadang irama itu seperti tenggelam kerana diseleti dek ombak yang menderu menghempas pantai.
‘Dari umurku menjejak sembilan tahun aku telah mendengar irama itu. Apatah lagi umurku kini sudah menjangkau dua puluh sembilan tahun. Manusia mana yang dapat menyanggah kata-kata yang terbina selama dua puluh tahun?’ Kawas masih teguh melirik sedalam lautan di hadapannya kini walau dapat dipastikan, suasana hanya kelam tanpa sebarang riak cahaya. Kali ini irama itu unik sekali. Tepat, memang tepat, irama itu hadir di tengah-tengah lautan yang kini bergelora.
“Kau dah gila, mana ada pulau di depan tu.” Kata Ayuhda.
“Tidak abah, persoalannya bukan pulau tapi irama.”
“Irama apa, kau jangan mengarut.”
“Kawas dengar setiap hari abah...”
“Yang kau dengar tu otak kau yang dah tak betul.”
“Kawas pasti abah.”
“Dah lebih tiga puluh tahun aku bermain dengan laut, sedetik pun aku tak dengar ada bunyi apatah lagi irama yang kau maksudkan tu.”
Makin asyik. Makin enak lembut melayari ke telinga Kawas. Benar memang benar ada irama. ‘Ada irama bergema!’ Tekad Kawas yang tidak pernah terkalah. Siapa pun yang hadir menyanggah pasti tidak akan dapat menggugat jiwa Kawas. Tekadnya memang teguh.
Mana tidaknya, setiap kali kemurungan pasti irama itu adalah peneman sambil lenggokannya memuncah bermain senandung yang asyik memujuk kemurungannya. Juga, setiap kali keceriaannya dibalas dengan panggilan irama suci dari tengah lautan itu. Benar, sehingga Kawas terpaksa berhenti dari kerja bersama alasan jarak di antara rumahnya dengan pekan terlalu jauh. Telah pun dinasihati oleh rakan-rakannya terutama Malik untuk Kawas menyewa rumah di sekitar pekan tersebut. Namun perkara itu ditolak mentah oleh Kawas. Maka tekad Kawas sekali lagi adalah berhenti dari kerja.
Ibu bapa mana yang tidak marah bila mendapat tahu anak mereka telah berhenti dari kerja hanya disebabkan alasan yang kecil. Maka sekali lagi ungkapan hina dihadiahkan kepada Kawas dari ayahnya yang begitu keras mendidik anak.
Tidak ramai pula yang tahu, apa sebenarnya yang diinginkan Kawas? Bukan alasan rumahnya. Bukan alasan kedua orang tuanya. Bukan juga soal jarak rumah dan tempat kerjanya. Semuanya dijawab dengan satu jawapan cuma yakni ‘irama’. Lautan di hadapannya adalah sebuah jawapan atas segala peristiwa. Tidak ramai yang tahu. Benar, hanya segelintir saja yang tahu tapi semuanya memberi ungkapan menarik kepada dirinya yakni ‘gila’. Kecuali Kiyai Masdom. Ya, ya hanya Kiyai Masdom sahaja yang mungkin lebih mengetahui kata-katanya dengan dalam.
“Irama?”
“Ya kiyai, irama. Ada irama di tengah lautan.”
“Bagaimana bunyinya?”
“Merdu sekali.”
“Habis kau mahu apa dariku?”
“Kiyai percaya atau tidak.”
“Ya, masakan aku tidak percaya.”
“Tapi ramai yang mengatakan saya gila kiyai.”
“Gila itu sifat tuhan, ya, ya sifat Allah.”
“Gila sifat tuhan, eh sifat Allah?”
“Ya, gila juga sifat Rasul.”
“Gila sifat Rasul?”
“Nabi Nuh bukankah ia digelar gila.”
“Tapi Allah...”
“Ya, Allah menciptakan manusia. Manusia gila juga dicipta Allah.”
“Jadi...”
“Aku percaya kata-kata kau.”
Perlahan Kiyai Masdom mengeluarkan sebuah kitab lama yang berhabuk tebal dari rak buruk di dalam surau kampungnya itu. Terkadang tangan Kiyai Masdom sengaja menyapu-yapu lembut habuk yang berselerak di atas kitab tersebut.
Seketika dapat diperhatikan Kawas, kitab lama itu diselak cermat oleh Kiyai Masdom. Kawas masih menunggu, apakah akan ada jawapan untuk irama yang didengarinya setiap hari itu. Segala perbuatan Kiyai Masdom itu diamati tepat, cermat serta padat oleh sepasang mata Kawas. Memang bagai ada jawapan mengenai irama yang didengari olehnya setiap hari itu. Perasaan Kawas mula membuah ceria. Pasti jawapan itu bakal menjadi hujahnya untuk menyakinkan seluruh manusia yang mengelarkan dirinya ‘gila’.
“Ya, benar.”
“Apa yang benar kiyai?”
“Kau ingin mencari irama atau suara itu bukan?”
“Ya, ya saya ingin benar mencari.”
“Sedalam lautan maka dalam lagi jiwa insan.”
“Hah?”
“Orangnya ada.”
“Siapa?”
“Ada.”
“Kiyai siapa orang yang ada itu?”
“Wahai anakku, kau benar-benarkah ingin mencari?”
“Jika saya tahu...”
“Ilmu laut?”
“Ya, ilmu laut.”
“Bukan itu.”
“Apa?”
“Bukan ilmu itu.”
“Habis ilmu apa kiyai?”
Kiyai Masdom hanya mampu tersenyum dihujung bibir kanannya. Senyuman itulah yang masih diingati oleh Kawas. Namun sayang, Kiyai Masdom meninggal dunia dua hari kemudiannya sambil jenazah Kiyai Masdom seperti seseorang yang sedang tidur tenang dan begitu cerah wajahnya. Maka tertangguhlah segala jawapan yang sepatutnya diucap oleh Kiyai Masdom kepadanya.
Memang tekad Kawas sudah sampai ke kemuncaknya. Tekad mencari dan sekaligus mendampingi irama itu. ‘Bukan ilmu laut’. Masih kuat bergema suara Kiyai Masdom. Ilmu apa lagi yang perlu dipelajari sebelum mencari irama itu. Sudahlah takut dengan lautan malah kelemahan Kawas adalah berenang. Dari kecil lagi sejak peristiwa mengorbankan adik kandungnya yang mati lemas, maka sejak dari itulah Kawas tidak sanggup dan berani untuk berhadapan dengan lautan.
Pernah tekad Kawas untuk mencuri kitab lama yang pernah dipegang serta dibaca oleh Kiyai Masdom. Tetapi alangkah malangnya, kitab tersebut ditulis dalam bahasa arab. Sehingga hari ini Kawas tidak mahu bertanya kepada sesiapa mengenai maksud dan isi kandung kitab tersebut. Bukan kerana malu tetapi kerana Kawas sendiri telah dipulau oleh orang kampungnya. Bukan itu saja, keluarganya sendiri juga telah memulaukannya.
“Wahai irama siapakah kau? Aku manusia yang tewas dengan kelembutanmu. Aku ingin mendampingimu. Aku rindu bila kau membisu. Aku ingin benar mendampingimu.”
Kampung itu indah. Di lereng pantai tersadai deretan rumah kayu yang gagah. Di kala pagi kampung itu sentiasa disambut dengan kehadiran sekawan burung lembut melebarkan sayapnya menyusuri awan menawan. Juga, di kala pagi deretan rumah di lereng pantai itu pasti akan disambut oleh jelingan matahari segar pagi yang terbit menelan malam yang kelam. Lautnya jernih, karangnya teguh, ombaknya kecoh dan sesekali apabila musim cuti pasti pantai itu akan dikunjungi oleh orang luar yang datang menikmati bersama keindahannya. Pasti keuntungan akan berlaba bagi mereka yang membuka gerai di kampung itu. Itulah kampung yang terselitnya wajah seorang manusia bernama Kawas.
Namun apalah gunanya bagi Kawas segala keindahan itu jika sanubarinya kosong. Sudahlah dipulaukan orang kampung malah Kawas juga dipulau oleh ahli keluarganya sendiri. Semua kesembilan adiknya turut bersetuju dengan orang tua mereka dengan mengatakan abangnya itu gila. Selaku anak sulung dari sebelas sebelum menjadi sepuluh beradik itu mana yang tidak terhiris dengan tindakan sedemikian. Perkara itu merebak sehingga Kawas diharamkan memijakkan kaki ke rumahnya. Lagi memeritkan, setiap malam Kawas hanya dibenarkan untuk tidur di anjung rumahnya cuma. Namun bagi Kawas hal itu tidak berjaya menumpaskan perasaan kasih dan sayangnya terhadap keluarganya. Apatah lagi ibu dan bapanya.
Maka di anjung yang menghadap laut itulah yang sentiasa menjadi peneman di waktu lelapan matanya berkunjung lesu. Dan benar irama yang datang dari tengah laut itu juga adalah peneman lelapan mata Kawas. ‘Pasti ada jawapan. Ya, pasti ada.’
“Abah, boleh tak Kawas ikut abah ke laut.”
“Apa buang tabiat kau nak ikut aku?”
“Abah Kawas tak bergurau.”
“Kau tu manusia yang penakut.”
“Tolonglah abah, kali ni Kawas betul-betul nak ikut abah.”
Dini hari itu dipecahkan dengan tekad seorang manusia ingin menongkah arus ketakutan yang selama ini terkandung dibenak jiwanya. Jawapannya hanya demi sebuah persada pencarian.
Segalanya telah tersedia. Persediaan itu juga disertakan dengan ejekan serta hinaan dari peraih-peraih yang turut bersama di atas bot pukat milik ayahnya itu. Ketawa usah dicerita. Senyuman sinis pastilah menjelma.
“Abah jauh lagi ke tempat yang abah selalu meraih tu?”
“Anak penakut apa kau tahu.”
Setakat ini, sudah lebih sepuluh kali Kawas muntah di atas bot tersebut. Bukan setakat muntah malah Kawas juga hanya duduk terkerekut di hulu pondok bot tanpa bangun serta berdiri.
“Dasar anak penakut.”
“Abah, ini pertama kali Kawas...”
“Dah diam. Kau memang penakut.”
Pencarian irama. Ya, hanya pencarian irama. Benar kali ini Kawas dalam senandung yang takut. Maka bergemalah di tengah-tengah lautan yang terbentang luas tanpa ada penghujung itu suatu irama merdu memercik menyemai ke telinga Kawas.
“Abah ada orang! Ada orang!” Jerit sekuat hati Kawas.
Ketujuh-tujuh anak kapal di atas bot itu terus menyerbu kuat jeritan Kawas. Masing-masing terpingga-pingga melihat tudingan Kawas betul-betul ke tengah hamparan lautan.
“Mana ada orang.” Lembut bicara Suirman memecah pencarian tujuh pasang mata.
“Memang kau ni menyusahkan. Aku dah kata jangan ikut.” Tegas Ayuhda.
“Tengah-tengah laut mana ada orang?” Sambut Minur pula.
“Tak mungkin.” Celah Puler.
“Kawas kau nampak dia tengah buat apa?” Tanya Kalor.
“Dia tengah berdiri.” Kagum Kawas.
“Berdiri?” Kalor.
“Ya, kakinya memijak air.” Kawas.
“Maksud kau terapung?” Balas Minur.
“Ya, terapung.” Yakin Kawas.
“Ayuhda, sah anak kau gila.” Sewar tegas menafsir.
“Gemanya kuat.” Sambung Kawas yang masih yakin.
“Gema apa?” Kalor.
“Irama! Irama! Merdunya. Sungguh merdu.” Kawas.
Seluruhnya hampa. Benar-benar hampa. Tangkapan mereka tidak seperti selalu. Sasaran mereka sembilan puluh peratus meleset.
“Ini angkara kau anak gila!” marah Ayuhda.
“Abah kenapa...”
“Kau diam bangsat.”
“Tapi...”
“Ini semua disebabkan aku bawa sial seperti kau ke laut.”
“Kawas...”
“Kau diam anak jahanam. Anak penakut. Dahlah penakut, gila pula tu. Kau jangan salahkan aku kalau kau balik nanti tak ada lauk atau makan malam kau.”
“Abah, Kawas beritahu apa yang...”
“Kau nampak? Bodoh, yang kau nampak tu gila kau.”
Hati anak mana yang tidak hancur bila kata-kata itu keluar dari mulut ayahnya. Pasti hancur dan pasti lebur.
Sudah tiga kali matahari menyingsing segar, namun irama yang diharapkan tidak bergema. Kali ini irama itu terlalu dirindui Kawas bagi menampal hati yang dihiris kecewa dan rajuk. Benar, kali ini Kawas terlalu merindui irama lautan itu. ‘Bergemalah lautan, bergemalah wahai lautan’. Lembut bibir hatinya bersuara memanggil gema irama itu. ‘Aku pendampingmu’. Jika ditukar ganti bumi ini pasti ia tidak ternilai dengan gemaan lautan yang diharapkan Kawas waktu ini.
Memang kali ini Kawas tekad. Segala risiko pasti akan ditempuhinya. Sasarannya adalah sampan milik ayahnya. Perlahan Kawas menaiki perlahan sampan tersebut yang kini diikat rapi di hujung jeti kampungnya itu. Benar malam ini adalah malam pesta nelayan. Jika ditafsirkan, pasti di jeti tersebut tidak ada orang yang menjaga. Segala perkara yang maksiat sedang berlaku. Semua peraih termasuk ayahnya adalah manusia yang terbabit sama dalam mengendalikan maksiat di pesta berkenaan. Tahun lalu, ayahnya tewas teruk dalam permainan judi di malam pesta nelayan sehingga ayahnya sanggup mengadaikan adik keempatnya untuk dijadikan sebagai taruhan.
Benar, sehingga hari ini usia anak luar nikah adiknya itu telah menjangkau dua bulan. Bukan seorang bapa kepada anak tersebut malah ramai. Pernah juga didengari sendaan rakannya yang menyebut salah seorang bapa kepada anak luar nikah adiknya itu adalah ayahnya sendiri. Segalanya perit untuk ditelan. Pasti kalau dikenang, suatu trajedi pilu yang pernah disaksikannya sendiri adalah tukaran isteri di antara satu sama lain termasuklah ibunya yang tercinta. Benar, memang benar, ayahnya pernah menukar ibunya itu dengan isteri seorang peraih yang lain bersama restu dari ibunya sendiri. Ah! Memang terlalu pilu dan sedih. Begitulah malam pesta nelayan yang berlangsung setiap tahun di hujung tahun di kampungnya itu.
Bukan itu. Bukan berkenaan pesta nelayan yang dicari Kawas kali ini. Sekarang pelayaran sedang bermula. Entah bagaimana, kali ini Kawas menjadi manusia yang ironi. Berani! Benar, Kawas terlalu berani demi mencari ukiran irama di tengah lautan. Kerinduan yang memuncak. Kerinduan mendengar ulikan irama. Sudah tiga hari berlalu semenjak dia balik dari mengikut ayahnya meraih, semenjak dari itu suara irama itu terus mati dan terpadam. Pasti rindu.
Kini laut tidak lagi bertepi. Hanya kelam tanpa haluan. Entah mengapa, kali ini Kawas gagah berdiri di atas sampan curi milik ayahnya. Memang betul-betul berani Kawas kali ini. Kini, terkaan Kawas seratus peratus tersasar. Pelayaran yang tidak dirancang rapi itu termati. Keletihan mendayung sampan tersebut mati ditengah-tengah pelayarannya. Tepat! Keletihan adalah sebab besar pelayaran itu terhenti. Kini Kawas menjadi buntu.
Pelayaran sudah jauh di tengah lautan. Gema masih sunyi dan tiada berirama. ‘Aku pendampingmu! Aku pendampingmu!’ Jerit kuat dari Kawas.
“Damping! Damping!”
Ada suara menghentak naluri jeritan Kawas. Kali ini benar, Kawas mendengarnya. Panggilan itu cukup keras. Secara tiba-tiba, malam yang begitu kelam itu mula disirami cahaya asyik dari dalam lautan. Perlahan cahaya itu membesar.
“Ya Allah!” Terpegun Kawas menafsir akan kepelikkan cahaya itu. Lembut lautan bergelora kecil. Percikannya dapat dirasakan Kawas yang masih lagi kaku terpegun. Berserta kehadiran cahaya itu kini adalah sebuah alunan irama. Memang benar, ya memang tepat irama itulah yang dirindui oleh Kawas tiga hari kebelakangan ini. Kawas masih terduduk terpegun menafsir akan sesuatu.
“Alang bintang akan bersatu dengan bumi. Ini gelora lautan yang rindu. Ini gelora suara yang padu. Akan terhapuslah segala derita dunia. Akan tenggelamlah segala bencana manusia.”
Kawas masih membisu walau suara itu bergema. Tidak ada jawapan dari suara itu. Perlahan airmata Kawas gugur setelah mendengar akan suara itu. “Siapakah...”
“Pendamping Allah dan Rasul.”
“Menjelmalah. Adakah kau realiti atau khayalanku?”
“Kau satukan realiti dan khayalanmu maka kau akan temui aku.”
Sekali lagi gemerlapan cahaya itu benar-benar memuncah garang. Cahaya itu kini sudah mulai timbul ke permukaan lautan. Memang cahaya itu berbentuk bulat. Benar seperti gelung yang mengisi sesuatu. Dan kini sempurnalah akan gelung itu. Benar-benar bulat seperti matahari dan terapung-apung di atas permukaan air. Secara perlahan cahaya itu seolah diserap oleh ‘perkara’ di dalam gelung itu. Kawas kesilauan. Kawas tidak dapat melihat akan wajah di sebalik gelung itu. Cahayanya terlalu menyilaukan. Lembut Kawas memejamkan matanya. Maka terburailah airmatanya dengan laju jatuh ke pipi.
“Siapa kau?” Kawas masih mampu bersuara dalam keadaan pejaman matanya.
“Aku. Kau bukalah matamu wahai anak manusia.”
Lembut mata Kawas dibukakan kecil sebelum sesempurna terang matanya. Maka dapat dilihat, seorang manusia suci berjubah putih teguh di hadapannya. Ya, benar dari segi sifatnya mahkluk itu seorang manusia. Di tangan mahkluk itu terselit sebatang kayu yang dapat dipastikan Kawas adalah nafiri.
“Pak cik kah yang selalu bermain irama itu?”
Wajah itu tidak bersuara hanya tersenyum indah di hadapan Kawas.
“Pak cik siapa?”
“Aku yang memanggilmu.”
“Pak cik, saya masih kurang percaya. Apakah saya bermimpi atau realiti?”
“Dunia itu segulung mimpi.”
“Siapa pak cik?”
“Aku utusan Ar-Rabbi.”
“Tapi kenapa pak cik kata pak cik memanggil saya?”
“Sebab kau yang terpilih.”
“Terpilih?”
“Aku saudagar lautan.”
“Saudagar lautan?”
“Lautan adalah cermin mengenal akan diriku.”
“Saya tak faham.”
“Aku terpilih menjejak serta menjaga lautan.”
Perlahan jejak terjejak menyambut buntu Kawas yang masih terpaku mengenang akan suatu peristiwa misteri yang berlaku. Acap benar wangian menyapa hiduan Kawas tatkala manusia misteri itu menghampirinya. Kini jejak manusia itu telah terhenti benar-benar di atas sampan yang sedari tadi buntu seperti pendayungnya jua.
“Ayuh.”
“Ke mana pak cik?”
“Balik ke kampungmu.”
“Tapi...”
“Akan ku buktikan kau yang terpilih.”
“Terpilih?”
Dengan tidak semena, sampan yang kini dinaiki kedua manusia itu bergerak dan terdayung secara sendiri. Memang tujuan kali ini adalah kampung kediaman Kawas. Memang Kawas masih buntu. Kawas tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan kali ini Kawas hanya mampu melihat akan segalanya. Kaku serta tidak berdaya lagi tubuh untuk menyangkal perkara yang berlaku. Perlahan manusia misteri itu mengangkat tangannya yang masih terselit nafiri kayu. Dengan lembut dan hemah, nafiri itu ditiupkan. Dan benarlah, iramanya bergema. Benarlah, iramanya sungguh mendayu. Irama itu peneman perjalanan. Irama itu penghembus kerisauan. Irama itu pembunuh kebuntuan azali yang dialami Kawas kali ini. Dan irama itu pemain bayu laut yang bergolak lembut menyemai kedua mereka.
Sekian lama perjalanan, namun Kawas masih meneliti. Benar kali ini laut tidak bertepi. Masih tidak kelihatan akan daratnya. Walau dalam gelap, walau dalam kelam tetapi jika ada darat pasti dapat kelihatan simbolnya. Namun kali ini tidak, Kawas masih tidak berjaya menonton suatu simbol sekalipun yang mengatakan bahawa adanya daratan. Memang tidak ada daratan itu setafsir Kawas. Sedari tadi, jauh perjalanan namun masih tidak bertemu tepian.
“Inilah kampungmu.”
“Apa?”
Kawas terhenti. Detak nadi Kawas begitu memuncak. ‘Mana mungkin, mana mungkin’ jeritan jiwa Kawas setelah melihat segalanya hanyalah lautan tanpa sebarang daratan.
“Tidak ada yang mustahil.”
“Apa maksud semua ini pak cik?”
“Ini kampungmu.”
“Apa...”
“Kita sekarang berdiri benar-benar di atas rumahmu.”
“Tapi pak cik...”
“Ya, orang kampungmu yang meminta bencana ini.”
“Apakah...”
“Jika kau ingin tahu, kampungmu telah terhapus dengan amarah lautan. Segala kemaksiatan akan dibalas dengan azab. Di dunia ada azabnya, di akhirat juga pasti akan ada azabnya. Di sini keluargamu dikebumikan bersalutkan azab lautan.”
“Astaugfirlah.”
“Usah kau kecewa, biarkan irama terus bergema.”
“Pak cik apakah irama itu?”
“Ia adalah zikir dan wirid rindu yang berkumandang di hatimu. Aku pemegang zikir dan wirid itu. Tatkala ku tiupkan nafiri ini maka akan bergemalah segala jiwa pendamping-pendamping irama rindu.”
“Tapi kenapa saya?”
“Kau yang terpilih.”
“Terpilih?”
“Kerana kau pendamping gema lautan.”
“Pak cik siapa?”
“Aku yang digelar Khidir”
Berserilah langit menyuburi pagi yang indah. Bersama kehijauan yang memuncak, seorang manusia sedang bersujud di atas sampan yang terus terkolek tanpa haluan. Disember 2004 adalah sebuah noktah yang menjadi suatu siulan kenangan kepada manusia bernama Kawas. Inilah sebuah lestari. Usah ditanya ‘siapa’ kepada Kawas. Kini gelarannya adalah Pendamping Gema Lautan. Irama itu sentiasa bergema. Irama itu sentiasa menjadi suara pengubat jiwa. Dan dengan irama itu manusia dikuburi. Al-Fatihah.

Khamis, 1 Mac 2012

Cerpen selepas 'Pendamping Gema Lautan'


Sudah lebih dua tahun meninggalkan cerpen berunsur cinta. Terasa kali ini cerpen yang bakal dinukilkan pasti akan dimadukan dengan kisah 'cinta'. Memang kenangan sengaja mengajak untuk aku merealisasikan penulisan karya cinta agung kali ini.
Pendamping gema lautan bakal menemui pembaca sama ada di blog ini mahupun di ruangan nota FB aku (Amni Jagat). Pendamping gema lautan adalah sebuah ekspresi kisah sebenar yang berlaku sewaktu peristiwa Tsunami melanda suatu ketika dulu.
Tapi kali ini, aku cuba untuk menulis semula kisah-kisah cinta yang lebih misteri. Huhuhu... Teringat suatu ketika dulu lebih sedekad yang lalu di mana di tahun 1999 aku mula menulis karya kreatif bergenre cerpen dalam unsur cinta yang misteri. Sengaja kali ini aku cuba-cuba menulis semula aliran penulisan seperti berikut.
Membongkar sebuah rahsia cinta antara makhluk ciptaan Illahi. Tajuk cerpennya sudah aku temui. Tajuknya berjudul 'RINDU PUTERI GUNUNG KORBU'. Penantian demi penantian memanggil dan terus memanggil sebuah kerinduan yang harus dijelmakan dengan zahiriah kecintaan.
Tangan aku tidak sabar menulis cerpen tersebut. Namun watak dan nama watak perlu disusun terlebih dahulu. Matlamat penulisan juga adalah perkara pokok yang perlu diunsurkan dalam penulisan kali ini. Ayat-ayat JIWANG KARAT pasti akan terlahir di dalam cerpen ini. Sesiapa yang cuba untuk mengorat Isteri mahupun Kekasih masing-masing bolehlah dapatkan dalam cerpen ini nanti.
Sediakan kamus kalau boleh, kerana kali ini aku cuba untuk menggunakan seberapa banyak bahasa klasik yang menjadi tiang bicara dalam cerpen ini. NANTIKAN - RINDU PUTERI GUNUNG KORBU -
Gunung Korbu adalah adaptasi dari seorang wanita yang banyak menjadi ilham dalam perjalanan penulisanku.

Rabu, 29 Februari 2012

Gelombang Cinta


Al-Fatihah untuk Aan Heavy Machine. Ramai yang tidak mengenali beliau. Karya kumpulan Heavy Machine begitu menusuk. Sayangnya aku tidak begitu 'hidup' diwaktu tu.

Setahun telah berlalu
sewaktu kau meninggalkanku
hatiku pedih ditusuk sembilu

Pemergianmu tanpa relaku
setiap saatku mengenangmu
di manakah janji-janjimu dulu

Apakan daya
sudah suratan nasib ku ini
menghadapi gelombang cinta yang menghampakan
tiada lagi cahaya
yang menyinari hidupku
mungkinkah aku yang bersalah
ataupun kau yang berpura

Cinta
apakah ertinya cinta
jika hanya kau berdusta
tipu dayamu yang menggoda
Cinta
apakah ertinya cinta
hidup merana hati terluka derita

Lirik dari lagu Gelombang Cinta yang betul-betul menusuk jiwa. Sesiapa yang mengenali Heavy Machine pasti mengenali karya agung Gelombang Cinta. Ternyata manusia seperti Aan sentiasa hilang dalam dunia seni muzik tanah air. Semuanya tanpa disedari. Namun perjuangan dalam menjayakan seni bukan tertakluk kepada individu tetapi tertakluk kepada matlamat murni memperjuangkan budaya seni untuk manusia.
Tahniah kepada Aan Heavy Machine kerana berjaya lahir sebagai manusia yang legenda dalam perjuangan seni tanah air. Semoga akan ada yang mengenang jasa beliau sebagai pembawa juang seni tanah air...

Selasa, 14 Februari 2012

Saranan menonton filem 'Hafalan Shalat Delisa'


Seorang sahabat telah memberi saranan untuk menonton filem Hafalan Shalat Delisa. Ternyata kata-kata sahabat tersebut pasti dituruti dengan angkatan ibu jari dengan yakin.
Memang tradisi perfileman hari ini dilihat seperti banyak terpengaruh untuk menghasilkan filem dari novel-novel laris yang terjual. Maka salah satunya adalah filem Hafalan Shalat Delisa ini.
Aku agak pelik dengan saranan sahabat aku yang seorang ni. Dia jarang menyaran sesebuah filem kepadaku untuk ditonton. Tetapi kali ini berbeza. Bersungguh-sungguh dia menyarankan pada aku untuk menonton filem Hafalan Shalat Delisa. Maka pencarian cd filem ini pun bermula. Akhirnya aku pun tontonlah filem yang dimaksudkan.
Bagiku filem ini layak dan sepatutnya ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Filem ini berkisarkan tentang kasih sayang sebuah keluarga yang begitu menyentuh. Kekuatan jati diri dari seorang anak yang bernama Delisa dalam mengharungi kehidupan hari tanpa ibu tercinta dan kakak-kakaknya yang meninggal dalam bencana Tsunami di Acheh.
Bagi mereka yang belum menonton filem ini, aku sarankan pula untuk turut menonton filem ini. Penuh sifat keIslaman yang tinggi selain dakwah yang begitu menusuk kalbu. Islam memerlukan kekuatan dalam mengharungi setiap liku dugaan yang datang maka watak Delisa adalah watak di mana kekuatan itu menjelma di jiwanya.
Pandangan peribadi aku, filem ini adalah sebuah filem yang TERBAIK. Terima kasih kepada sahabatku yang menyarankan aku untuk menonton filem ini. Jika ditanya padaku tentang gred bintang, aku berikan tiga bintang setengah dari lima bintang. Lakonan mantap dipamerkan oleh pelakon-pelakon dalam filem ini. Ternyata filem ini menarik.
LAYAN FILEM 'HAFALAN SHALAT DELISA'

Rabu, 8 Februari 2012

Ulasan Buku - Beza Ustaz Abdul Hadi Awang dengan Sun Tzu



Memang ternyata kedua-duanya hebat. Untuk buku 'Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin' aku bagi empat bintang setengah, untuk buku 'Art Of War' aku bagi tiga bintang setengah (bukan bintang tiga ya...).
Aku tak sangka pembawaan penulisan Ustaz Abdul Hadi Awang memang begitu mengasyikkan serta mudah difahami. Segala gambaran jelas memang terang tidak perlu lagi untuk disuluh huhuhu...
Gaya keimanan yang teguh di kalangan sahabat baginda S.A.W begitu memukau pembaca termasuk aku. Iman adalah tiang sejati dalam mengejar erti kemenangan. Sesiapa yang pernah baca buku Ustaz Hadi tersebut pasti dapat melihat bagaimana gambaran strategi perang para sahabat yang begitu tersusun dalam menentang musuh baik yang dalam selimut mahupun yang di luar selimut.
Fokus seorang insan yang bernama Khalid Al-Walid juga begitu mencengkam. Ternyata buku ini harus dimiliki oleh semua lapisan masyarakat umum tidak kira agama, bangsa dan negara.
Ramai mungkin pernah melihat atau mendengar akan keagungan karya Sun Tzu 'Art Of War'. Karya ini selalu dibangkit-bangkitkan oleh golongan oreintialis barat dan timur. Tetapi aku akui buku ini masih ada sifat kekurangannya berbanding dengan buku 'Taktik & Startegi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin'.
Walaupun dasar tajuknya tidak begitu menonjol akan peperangan itu, namun buku tulisan Ustaz Hadi ini jauh lebih bermuhasabah berbanding buku tulisan asal Sun Tzu. Tidak dinafikan buku Sun Tzu itu menarik, tetapi jika hendak dibandingkan dengan buku tulisan Ustaz Hadi ternyata agak kekurangan dari segi faktor utama peperangan.
Semangat dan strategi disatukan menjadi sebuah karya perang yang terlalu hebat. Fakta dan maklumat dalam buku Ustaz Hadi ternyata menjawab segala pertanyaan mengenai perang di zaman sahabat yang penuh dengan strategi dan gerak saraf yang mantap.
Bagi sesiapa yang berminat dengan buku yang berkonsep peperangan, pastikan anda memiliki buku 'Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin (Ustaz Abdul Hadi Awang)' keluaran PTS. Jangan lupa juga untuk memiliki buku 'Art Of War (Sun Tzu)' bagi sesiapa yang belum memilikinya.
SELAMAT MEMBACA

Khamis, 5 Januari 2012

Produk selepas 'ANCA DAYANTI'


'Gabungan dua seni' itulah namanya. Hasil berkawan dengan sahabat-sahabat Filosufi maka terlahirlah suatu ilham untuk mengabungkan dua seni di dalam satu produk. Seni puisi bersama seni foto. Setakat malam ini, aku berjaya menyiapkan dua dari sepuluh (untuk bulan Januari). Memang suatu pengalaman yang unik.
Maklumat dan gambar akan dimuat naik di blog ini tak lama lagi. Nantikan dan pastikan anda memilikinya. Jangan khuatir harga SEMURAH yang boleh untuk satu produk tersebut. Nantikan bersama...

Rabu, 4 Januari 2012

Mengenang kembali kisah hampa


Entah kenapa biasan hampa mulai terasa. Dulu hampa ini pernah hadir. Tetapi sudah lama ia menghilang. Sengaja! Sekali lagi SENGAJA! Aku membiarkan perasaan aku hampa. Sudah lama tidak merasainya. Lara, hampa dan dilema. Memang sudah lama tidak merasakannya. Kali terakhir adalah sekitar tahun 2008.
Mungkin ramai yang tertanya kenapa aku membiarkan perasaan hampa ini bergelumang dalam sanubari jiwaku. Sebenarnya disebalik hampa itu dapat aku ketahui adanya sebuah persada keindahan. Jiwa hampa itu unik. Dari hampa itu maka lahirnya berbagai abstrak minda yang berlainan seninya. Jiwa melankolik, jiwa balada, jiwa sentimental, jiwa monolog epilog dan sebagainya bercampur dan ia pasti melahirkan warna-warna abstrak yang menarik. Benar ia terlalu menarik.
Justeru itu, aku hanya membiarkan jiwa hampa terus menaungi sanubari sambil diperhatikan iman yang sentiasa membisikkan ketenangan.
Memandang hampa dengan ketenangan...
Dari hampa itulah yang melahirkan penulisan novel 'ANCA DAYANTI' yang bakal terbit tidak lama lagi Insya Allah...

Khamis, 22 Disember 2011

Menonton filem 'The legend of 1900'


Ramai yang tidak mengetahui filem 'The legend of 1900'. Mungkin bagi peminat filem barat, filem tersebut pasti pernah ditontoni oleh mereka. Entah macam mana, semalam aku boleh melayani jiwa dengan menonton filem tersebit di astro. Air yang tenang jangan disangka tak ada buaya. Lumpur yang keruh jangan disangka tak ada permata.
Filem ini dibina khas oleh seorang pengarah kelahiran Itali. Susunan plot dan jalan ceritanya begitu menarik dan menusuk jiwa pengamat drama berbentuk monolog. Aku boleh berikan empat bintang dari lima bintang (kalau dalam SPM kira A1 lah).
Filem ini berkisahkan mengenai seorang manusia yang lahir di atas sebuah kapal. Ibu dan bapanya berkerja sebagai kelasi kapal. Sejak lahir 1900 tidak pernah turun atau memijak permukaan darat. Sepanjang usianya dilangsaikan di atas kapal semata. 1900 adalah nama watak yang dibina di dalam filem ini.
1900 gemar mendengar serta mendalami setiap sifat yang wujud di muka bumi ini. Dari tangisan seseorang hinggalah kepada riang tawa. Apatah lagi, 1900 suka pula mendengar suara-suara laut yang baginya mempunyai nyanyian tersendiri. Sehinggalah suatu hari ketika usia kanak-kanak, 1900 secara tidak sengaja telah bermain piano yang tersedia di atas kapal mewah tempat kerjanya pada hening malam. Mainan piano itu telah mendapat sambutan di kalangan pelancong yang menaiki kapal tersebut.
Di Akhir cerita ini, dapat dipastikan, 1900 rupanya manusia misteri yang memandang sudut dunia gelap dengan kehancuran dari kerana itu 1900 membuat keputusan untuk tidak mahu memijak darat kerana darat pada hari ini telah menjadi 'hutan batu'.
Dapatlah disaksikan, mengapa barat berjaya membuat filem yang begitu menarik berbanding dengan filem melayu. Mesej yang ingin disampaikan begitu seni dan memang menusuk jiwa pemikir. Daripada seni filem 'The legend of 1900' telah membawa penonton menghayati suatu lumrah di mana alam ini sebenarnya penting untuk seluruh kehidupan.
Suatu fakta yang menarik dalam filem ini, 1900 mengakui bahawa alam ini sebenarnya berirama dan menyanyi. - Itulah kajian aku hari ini -.

Selasa, 20 Disember 2011

Menulis blog semula

Sudah lama meninggalkan arena blog ini. Khazanah Kekasih Adikara Insya Allah sekali lagi akan digerakkan semula. Insya Allah akan dapat dipastikan blog ini akan terus digerakkan demi seni Allah dan RasulNYA.
Aku agak sibuk menyiapkan beberapa coretan untuk dihadamkan di dalam karya novel sulungku yang bertajuk 'ANCA DAYANTI'. Maka masa yang berbaki sebelum ini telah dihabiskan dengan mendalami penulisan novel tersebut.

'Sedang aku berkelana
pahit manis aku rindu
hingga aku diasyikkan sejuta mimpi
sebuah mahligai impian
akan ku turuti walaupun aku
tak tahu lagi ke mana arahnya
tak ingin aku hancur sendiri di makan waktu'
- Keratan lagu HENTIAN INI (XPDC) -

Ahad, 25 Julai 2010

Fokus Sajak


Assalamualaikum... Sajak dari Allahyarham Usman Awang atau Tongkat Warrant. Memang jenaka tapi jangan direnung sangat jenakanya tapi lihatlah sinisnya Allahyarham Tongkat mengolahkan bahasanya untuk bangsanya...

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
kecut takut kerana benar
janji simpan di perut
selalu pecah di mulut
biar mati adat
jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
malah mua'alaf bertakrif Melayu
(setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
melorongkan jalur sejarah zaman
begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
kias kata bidal pusaka
akar budi bersulamkan daya
gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
terlalu ghairah pesta temasya
sedangkan kampung telah tergadai
sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
tangan masih memegang tali
sedang orang mencapai timba
berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
masih berdagang di rumah sendiri
berkelahi cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyum
marahnya dengan diam
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
setia dan sabar tiada sempadan
tapi jika marah tak nampak telinga
musuh dicari ke lubang cacing
tak dapat tanduk telinga dijinjing
maruah dan agama dihina jangan
hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
silaturrahim hati yang murni
maaf diungkap senantiasa bersahut
tangan diulur sentiasa bersambut
luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
selaga yang ada sanggup diberikan
sehingga tercipta sebuah kiasan
'Dagang lalu nasi ditanakkan
suami pulang lapar tak makan
kera di hutan disusu-susukan
anak di pangkuan mati kebuluran'

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
jika pantang menghalang kemajuan
jangan segan menentang larangan
jika yakin kepada kebenaran
jangan malu mengucapkan keyakinan
jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
memegang tali memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
menjadi tuan di negara Merdeka

Belangsungkawa Usman Awang
Al-Fatihah...


Isnin, 17 Mei 2010

Mengarang Teater


Mungkin ramai yang tidak pernah dengar nama atau wajah tersohor Pak Khalid Salleh, tetapi jangan anda semua terkejut bila melihat telatahnya di pentas teater dan keilmuannya yang dasar dalam bidang agama. Pada satu masa dulu waktu aku tingkatan 1, aku dipromosikan oleh seorang cikgu(cikgu Bahasa Melayu) pada dua nama tersohor dalam bidang seni melayu. Nama pertama yang disebut oleh cikgu aku adalah Allahyarham Pak Usman Awang dan yang kedua Pak Khalid Salleh. Maka dari situlah namanya sentiasa melekat di bibir telingaku. Seluruh filem lakonan Pak Khalid dapat aku ikut dari Penghujung Malam hinggalah ke Buai Laju-laju. Sedar tak sedar aku hari ini mulai mengikut jejak langkah saudagar seni dari Johor itu dalam teater. Teater 'Jual Ubat' seperti gambar di atas adalah lakonan, arahan, dan skrip dari Pak Khalid sendiri. Monodrama ini berjaya merangkul anugerah Monodrama Terbaik Asia yang dipertandingkan di Jepun. Aku sendiri sudah dua kali menonton teater tersebut. Bagiku sesiapa yang tidak menonton lagi teater itu amatlah rugi kerana sesiapa yang menonton teater tersebut akan merasa bahawa diri mereka hina dan terlalu hina. Sehinggakan andai seseorang itu berada di tempat yang tinggi sesungguhnya dia itu sepatutnya lebih terasa hina dengan adat dunia yang mudah percaya akan pendustaan syirik semata.
Untuk pengetahuan umum, teater 'Jual Ubat' berjaya mengajak aku untuk mengadakan teater dalam aliran yang sama yakni monodrama. Aku akan melahirkan sebuah teater yang bertajuk 'Suara Kiamat' tidak lama lagi. Minggu depan adalah minggu pengkajian skrip untuk aku jadikan panduan dalam teater tersebut. Ada dua tiga orang yang bertemu dari segi nyata mahu pun maya menyatakan hasrat untuk berlakon kerana setakat ini, pelakonnya adalah aku sendiri. Oleh kerana itu, aku tidak mahu berfikiran sempit dengan menyempitkan peluang pada sesiapa yang berhasrat. Aku akan mengajak sesiapa yang ingin berlakon dalam teater tersebut dan aku akan adakan ujibakat mencari pelakon.
Minta maaf pada semua, aku bukan nak tamak untuk berlakon, tapi seperti yang sebelum ni, aku nak karyakan sebuah teater 'setinggan', tapi bila aku nak cari pelakon ramai yang bertanyakan yang pertama sekali bayaran, aku cukup angin dan berang bila soal benda tu diungkit buat kali awalan. Perkara yang ingin aku lakukan ini adalah sebuah cabang dakwah mengapa soalan yang pertama itu adalah bayaran? Susahlah aku nak menguruskan macam pelakon handalan dunia pula tanya bayaran dulu. Justeru aku mengambil tindakan dengan melantik diriku sendiri secara rela hati untuk menjadi pelakonnya, tapi ramai pula yang ingin berlakon dalam teater(Suara Kiamat) tu huhuhu... Ya Allah, Kau sajalah yang tahu pancarobanya. Namun aku suka dan gembira bila ramai yang membalas untuk bertanyakan andai ada kekosongan watak dalam teater Suara Kiamat itu... Bagiku itu adalah satu balasan yang positif. Untuk pengetahuan umum, Pak Khalid berapa kali berkata padaku dalam perbualan kami, dia menegaskan bahawa tidak akan kaya seorang seniman itu dengan duitnya tetapi ia akan kaya dengan kemahirannya... Maka lakukanlah perkara itu kerana Allah dan kebenaran itu datang dari Allah...

Jumaat, 14 Mei 2010

Persoalan

Tempoh hari ada yang bertanya padaku kenapa tak teruskan penulisan di blog dan ada pula yang bertanya kenapa blog warna hitam... Sememangnya hidup ini banyak persoalan. Aku terkadang suka bertanya kenapa Marikh semakin hampir ke bumi? Semalam aku bertemu guru aku(tanpa aku sedari hari ini adalah hari guru), dia juga berkata padaku 'Mengapa aku terlalu banyak berikan persoalan sejak akhir-akhir ini...?' Aku bertanya pada guru aku apa hukum andai tidak berkahwin? Huhuhu memang unik...
Jawapan untuk sahabat yang bertanya kepadaku mengenai blog ini mengapa ia seolah mati... Terkadang manusia sampai pada satu masa dia akan membisu bagi mendengar denyut nadi bumi. Macam mana nak dengar denyut nadi bumi, dengarlah menggunakkan telinga dalam hati.
Jawapan kepada persoalan mengapa blog ini latar belakangnya hitam... Lama dahulu aku pernah berkawan dengan seorang manusia rabun kronik. Kira senang kata butalah kerana diselapauti oleh selaput mata. Dia memang pakar sejarah. Boleh dikatakan genius manusia Melayu walau pelajarannya tak setinggi mana. Dia pernah kata pada aku, dia suka blog yang berlatar belakangkan 'hitam'. Hitam dan tulisan putih akan menimbulkan tona yang jelas untuk orang macam dia boleh membaca blog aku. Jadi wahai sahabatku yang bertanya, kawan aku yang buta tu memang banyak ilmiahnya justeru aku berikan ruang pada dia untuk dia membaca blog aku.
Soalan yang lain itu semuanya datang dari aku... Jadi tolong jawab sendiri huhuhu... InsyaAllah pagi tadi aku berkenalan dengan seorang kawan baru, entah kenapa aku rasa bersemangat semula bila berkenalan dengan dia. Dan dia ni pula adalah di kalangan 'puteri' Adam... Nanti aku akan bikin sajak untuk dia...

Rabu, 10 Mac 2010

Wacana karut


(Akbhar Berita Harian 10 Mac 2010)

Hebatkan bagai nak menitis airmata ke bumi melihat seorang pemimpin UMNO memegang buku yang tertera nama sebuah perjuang NATRAH. Hebat sungguh perjuangan orang melayu pada waktu itukan... Tapi aku agak pelik mengapa UMNO?
Baik sejarahnya begini, apabila saja Natrah dihadapkan ke mahkamah buat kali ketiga, kita dapat saksikan rusuhan orang Melayu Islam keluar mempertahankan akidah seorang remaja kecil bernama Natrah. Tapi yang aku persoalkan sekarang, di mana UMNO pada waktu itu? Sejak dari perbicaraan pertama hingga ketiga UMNO tidak memainkan peranan yang penting dalam memperjuangkan isu akidah Natrah sehinggakan alasan yang diberikan oleh Tunku pada waktu perbicaraan ketiga(kes rusuhan Natrah) hanya berkenaan soal kewangan. Pelik juga, bagaimana orang-orang lain yang hadir pada waktu itu punya wang dan kemampuan untuk hadir di Kota Singa pada waktu itu walau mereka tahu mereka akan terpaksa menghadapi pertarungan dengan maut. UMNO kata hero melayu, mana mungkin logik untuk memberi alasan tidak ada wang dan dana untuk pergi. Kenapa UMNO perlukan kapal terbangkah pada waktu itu untuk ke Kota Singa. Wahai sekelian yang membaca, ketahuilah para hadirin yang datang menghadiri rusuhan Natrah itu ada di antaranya yang berjalan kaki sejauh Terengganu ke Kota Singa. Mengapa payah sangat untuk datang ke Kota Singa pada waktu itu?
Soalan kedua yang bermain dalam minda aku sekarang, bukankah UMNO hanya perlu mengisytiharkan sahaja untuk orang melayu turun beramai-ramai termasuk ahli UMNO ke Kota Singa. Kata hero melayu. Isytihar tidak perlukan wang atau dana. Takkan sekarang ni ahli UMNO nak salahkan Tunku dan UMNO lama pada waktu itu atau sememangnya UMNO sengaja membiarkan nasib orang melayu pada waktu itu dibunuh, dipukul dan ditangkap oleh penjajah. Emm... Kenapa ya...?
Hari ini kita lihat PERKEMBAR atau UMNO seolah mengangkat diri sebagai batu yang melonjak menyatukan umat Melayu di mata sejarah. Alamak mampuih kalau macam ni... Selamat membaca buku Natrah yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden UMNO semalam.
Sejarah membina tamadun tolonglah jangan hancurkan sejarah. Kalau anda bukan seorang pejuang janganlah mengaku yang anda itu perjuang. Jika anda tak mahu berjuang jangan sibuknak berjuang bagi orang lain untuk berjuang. Jika anda kenal seorang pejuang katakanlah kenalan anda itu seorang pejuang. Kasihan Allahyarham Ahmad Boestamam, Allahyarham Pak Sako dan Allahyarham Burhanuddin Al-Helmy mereka difitnah dengan mengatakan mereka Komunis sedangkan dalam isu Rusuhan Natrah merekalah pejuang-pejuang yang bangkit untuk membakar semangat Umat Islam untuk mempertahankan akidah seorang remaja yang bernama NATRAH...
Carilah buku sejarah Malaysia di Indonesia, England dan di Belanda untuk kita mendapat matlumat lebih telus tentang negara Malaysia yang tercinta ini. Selamat meyambut bulan membaca bulan depan...

Selasa, 2 Mac 2010

Berita gempar!

(Gambar - Nostradamus)

Ayuh kita sejenak berbicara soal suatu khabar, yakni khabar gempar! Dalam Februari lalu, presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad telah mengeluarkan satu kenyataan di mana musuhnya Israel Laknatullah akan menyerang negara dalam waktu musim panas ini atau sebelum musim panas tahun ini. Kenyataan Mahmoud Ahmadinejad dirujuk dari risikan ketenteraan Iran yang telah mendengar kesungguhan Israel Laknatullah untuk menyerang Iran pada tahun ini dan memberi isyarat yang kuat dengan menyatakan bahawasanya penduduk negara Iran akan berlapar sebelum Ramadhan menjelang pada tahun 2010(Tahun ini).
Apakah impak sebenarnya yang akan berlaku pada dunia? Apakah ini permulaan untuk kemunculan perang dunia ketiga? Apakah pula impak pada Palestina?
Hari ini kita dapat saksikan begitu giatnya Israel dan sekutunya Amerika untuk melobi negara-negara berhaluan kiri seperti Pyong Yang dan Moscow untuk menyokong mereka bagi tindakan menghentikan program Nurklear Iran. Setakat semua negara-negara dunia telah pun bersetuju untuk campurtangan PBB dan Amerika bagi menghentikan segera program Nurklear Iran(Malaysia juga antara salah satu negara yang menyokong tindakan PBB dan Amerika). Kenapa sekatan ini seolah disegerakan? Apa yang menyebabkan ia disegerakan? cuba renungkan...
Semalam aku ke kedai buku untuk meninjau buku-buku yang bakal aku jajahi ilmunya. Alangkah agak sedikit terperanjatnya aku bila aku melihat banyak timbunan buku mengenai 'KIAMAT'. Antara yang paling popular adalah buku 'Dajjal sudah pun muncul di Khurasan Iran'. Dan antara penulis yang popular dan menghitung soal kemunculan Dajjal adalah Muhammad Isa Dawud(ahli pengkaji agama-agama dunia). Mengapa aku seolah ubah tajuk antara perang di Iran kepada berita 'KIAMAT'? Emmm... Perasan tak ianya ada persamaan. Khurasan di Iran kan...
Dalam satu buku yang ditulis oleh Muhammad Isa Dawud, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya Imam Mahadi dijangka muncul pada tahun 1420-1439 Hijrah(Rujukan buku Imam Mahadi di ambang pintu). Adus... Sekarang 1431, wah apa sudah jadi dengan bumi. Dajjalnya mana? Memang itu cuma ramalan. Namun lebih baik kita bersedia dalam menghadapi kemunculan itu. Dan untuk pengetahuan kita juga Israel bukan memberi ramalan seperti ramalan kaji cuaca, Israel akan tetap menyerang Iran dalam masa terdekat ini itu janji mereka. Mengapa dan kenapa dalam masa terdekat ini?
Baik mungkin semua pernah mendengar tentang Freemason atau Pembebasan Tukang Batu. Nostradamus pernah membuat suatu ramalan di mana dia mengatakan bahawasanya bumi akan mengalami kerosakan dan kebinasaan yang dahsyat pada tahun 2012. Ramai di antara manusia di bumi ini seolah percaya dengan ramalan itu apatah lagi ianya ditambah dengan dakwaan suatu kaum di selatan Mexico yang bernama kaum Maya atau The Mayan(Kaum yang dikatakan peramal falak hebat). Dari ramalan yang tersembuyi menjadi suatu ramalan kepercayaan. Bagi umat Islam kita diwajibkan beriman kepada Hari Kiamat tapi tidaklah bermaksud kita harus menetapkan tarikh kiamat seperti yang diwar-warkan oleh Nostradamus dan Kaum Mayan dari rumusan kata-kata mereka. Namun mengapa aku memetik kata-kata mereka terutamanya Nostradamus? Tujuan aku dalam hal ini adalah bertujuan untuk menyatakan mengenai perancangan puak-puak Freemason mengenai tarikh tersebut yang ada berkaitan dengan penyerang terhadap negara Iran. Freemason adalah ejen haram yang bertujuan menghancurkan Islam di dunia dengan cara menyebarkan fitnah dan memporak perandakan akidah umat Islam(akan dikupas dalam bab yang lain nanti). Namun apa kaitan ramalan Nostradamus dengan Freemason ini? Mengikut kajian yang telah dibuat, secara rumusannya bolehlah dikatakan bahawasanya Nostradamus itu adalah perancang bagi pertubuhan Freemason di dunia ini. Seperti dapat disaksikan oleh kita, Nostradamus telah meramalkan bahawa akan ada kewujudan seorang diktator yang akan membunuh Yahudi secara berleluasa dan terang-terangan. Mengikut sejarah diktator tersebut adalah Adolf Hitler. Hitler adalah seorang yang berbangsa Yahudi namun perjuangan yang menentang Paksi Bersekutu adalah penentang secara terbuka terhadap Yahudi dalam perang dunia kedua. Untuk pengetahuan kita semua, Adolf Hitlet dan budaya Nazi di Jerman secara langsungnya juga berkaitan dengan Freemason. Adolf Hitler adalah ejen Freemason yang kuat.
Andai jika kita melihat dari sudut ramalan Nostradamus, banyak yang menceritakan mengenai kewujudan seorang diktator unggul dunia yang sekaligus merujuk kepada Adolf Hitler. Tujuan watak Hitler ini muncul adalah bertujuan untuk menagih simpati penduduk dunia mengenai keikhlasan Yahudi dalam perjuangan menjaga keamanan dunia sedangkan sebalik mereka tidak bertindak demikian. Akhirnya kita dapat melihat kejatuhan pemerintahan Uthamaniah dan Jerussalem. Agenda Freemason ini berjaya dimainkan dengan secara hemat dan tersusun sekali. Adakah benar kewujudan Hitler itu sebuah ramalan atau rancangan? Banyak lagi ramalan penguasaan dunia yang berlaku mengikut ramalan Nostradamus seperti pembunuhan John F Kennedy, runtuhnya WTC, kemunculan AntiChrist Saddam Hussien dan juga salah satunya adalah penaklukan ke atas Iran untuk tujuan mengepung Mekah dan Madinah. Adakah semua ini suatu ramalan atau suatu perancangan? Bagi aku ini suatu perancangan.
Sejauh mana kita berlayar kembali juga kita pada daratan, sejauh mana kita belajar kembalilah kita kepada Al-Quran. Kembalilah kita segera pada Al-Quran dan Sunnah, pertahankanlah Islam dan Perjuangkanlah. Allah telah berfirman yang bermaksud, sebaik-baik perancang manusia maka ketahuilah perancangan Aku itu adalah lebih baik, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. Aku sedang menunggu bahawasanya apakah yang akan berlaku dalam masa terdekat ini? Bersediakah kita menghadapi KIAMAT

INFO : Negara yang menyokong untuk menghentikan program Nurklear Iran dalam PBB ataupun yang selainnya adalah ranting-ranting dari pergerakan ejen Freemason.


Selasa, 23 Februari 2010

Melihat rebahnya malam


Dua tiga hari ni, aku sengaja melayan jiwa dengan mendengar lagu-lagu lama(Rock Kapak). Aku agak meminati lagu-lagu lama tersebut oleh kerana lirik-lirik mereka yang mencabar pemikiran. Entah macam mana kali ni aku sengaja mendengar sebuah lagu yang sememangnya sudah lama aku tak layan tapi kali ni ia seolah mencengkam semula ke lubuk sanubariku. Lagu tersebut bertajuk 'Wajah Seribu Erti' nyanyian kumpulan Alfa. Aku dah dengar lagu ni lama dah. Aku buat tak endah saja. Kenapa ya kali ni aku mula merasakan macam ada sesuatu pada lagu ni?

Aku melihat rebahya malam di pangkuan barat sedang di timur mula ghairah menggenggam seloreng cahaya memecahkan kelam semalam. embun perlahan menitis bagai menangis meninggalkan kelam. Aduh saujana, siapakah gerangan yang memberi rasa sebegini rupa. Pada permulaan aku agak terpengaruh dengan tajuk pada lagu tersebut yang membaitkan tentang sesebuah perkara rahsia yakni pengertian dari selarik wajah. Lagu tersebut mengisahkan tentang pemergian kekasihnya yang meninggalkan wajah seribu pengertian. Namun bait liriknya bagiku agak menarik kerana ia seolah mengingatkan aku kepada kiamat kecil pada diriku.

Melihat rebahnya malam begitulah yang aku cuba imaginasikan untuk novel aku yang sudah lama dalam pembinaan yang bertajuk 'Anca Dayanti'. Sebenarnya kerana kesibukan aku terkadang lupa untuk melihat pagi dini dan malam hening. Namun lagu tersebut telah mendorong aku semula untuk mengambil sedikit masa bagi melayari perasaan bersama-sama alam. Ternyata dalam melayani perasaan tersebut, aku mula mendapat suntikan semangat untuk terus menyiapkan penulisan seterusnya dalam novel remajaku.
Khazanah Kekasih Adikara sekarang sudah sampai ke peringkat akhir penerbitannya. Mungkin ada yang mengejutkan sedikit.

Khamis, 18 Februari 2010

Dari dada buku

Sufi-Sufi Teladan

Peristiwa di zaman seorang guru sufi yang bernama Ibrahim bin Adham. Di suatu ketika tatkala Ibrahim bin Adham sedang beristirehat, datang seorang pemuda yang kelihatan kusam dan lesu lantas dalam perjalanan menuju ke arah beliau(Ibrahim bin Adham). Setibanya pemuda itu di hadapan Ibrahim bin Adham, ia terus mengadu tentang perkara yang menjadi kerunsingannya selama ini.
"Wahai guru yang fatanah, aku ingin bertanya adakah seseorang yang banyak membuat maksiat akan mendapat keampunan dari Allah kelak?"
"Ketahuilah wahai anak muda, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun selagi kau ingin dan merindui taubat itu." Ibrahim bin Adham menjawab.
"Apakah ada ruang untuk melakukan sejengkal maksiat?" Tanya pemuda itu lagi.
"Sesungguhnya ketahuilah olehmu wahai anak muda, ada enam perkara untuk kau ketahui sebelum kau melakukan sesuatu maksiat."
"Apa perkaranya wahai guru yang arif? Saya sudi mendengar."
"Perkara pertama, jika kau melakukan maksiat janganlah kau makan atau minum malah mengambil dari hasil rezeki Allah."
"Tapi bagaimana wahai guru? Di timur di barat, di utara di selatan, di darat di laut malah siang dan malam aku tidak dapat hindari dari segala rezeki yang datangnya dari Allah."
"Cuba kau fikiran, adakah patut kau mengambil rezeki dari seseorang yang telah kau dustai. Wahai anak muda sanggupkah kau mengambil rezeki Allah sedangkan kau melanggar peraturanNya?"
"Baiklah, wahai guru apakah perkara yang kedua?"
"Perkara kedua, jika kau melakukan maksiat janganlah kau menetap di bumi Allah, keluarlah kau dari bumiNya."
"Ini juga adalah berat bagiku, mana mungkin aku dapat lakukannya semuanya ini adalah bumiNya, ke mana lagi hendak aku pergi?"
"Muliakah dikau untuk terus mendiami bumi Allah ini sedangkan kau melakukan sesuatu yang di benci oleh Tuannya."
"Wahai guru teruskan dengan perkara seterusnya."
"Perkara ketiga, di waktu kau melakukan maksiat ingatlah bahawasanya Allah tidak melihat dan tidak mengetahui tentang apa yang kau lakukan."
"Perkara ini mustahil bagiku ya guru, Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui sedangkan apa yang terselindung di balik hati kecil nurani pun Dia boleh mengetahuinya dan sedangkan apa yang terlintas pun Dia juga ketahui akan itu."
"Layakkah dikau untuk dipertontonkan dan diambil berat dalam keadaanmu melakukan maksiat itu kepada Allah."
"Wahai guru yang budiman apakah perkara seterusnya?"
"Perkara keempat, jika datang kepadamu Izrael ingin mencabut nyawa mintalah tangguh padanya dan katakan padanya aku belum bertaubat."
"Apakah bisa aku lakukan begitu?"
"Makanya segeralah bertaubat sebelum ajalmu datang menjemput."
"Perkara seterusnya wahai guru?"
"Perkara kelima, jika kelak datang mungkar dan nankir berlawanlah kau sedaya upaya sekeringat yang ada pada dirimu."
"Baiklah, apakah perkara yang terakhir?"
"Perkara keenam, tatkala kelak kau di sisi Allah dan Allah memerintahkanmu untuk masuk ke dalam neraka maka jawablah kau bahawasanya aku belum bersedia untuk memasukinya."
"Baiklah terima kasih wahai guru."
Maka berlalulah anak muda itu dengan hati yang tenang dan lapang setelah kekusutannya itu terjawab oleh perkara-perkara yang diterangkan sejelasnya oleh gurunya Ibrahim bin Adham. Maka dari sejak itu anak muda tadi bertekad menjadi manusia yang paling mulia di sisi Allah Azza Wa Jalla.

Rujukan buku, kisah-kisah sufi teladan

Ahad, 14 Februari 2010

CERPEN - BADI -



Episod 3 (Akhir)

“Ya, mereka juga mencari, pencarian itu suatu pembelajaran dan pembelajaran itu suatu pencarian. Musa juga mencari akan siapa dirinya, Muhammad juga mencari siapa dirinya.”
“Bagaimana dengan Sulaiman?”
“Sulaiman mencari cinta yang digambarkan padanya seindah istana Balqis begitu jugalah dengan puterinya. Maka sebelum kau mengenal cinta, carilah kau akan istananya.”
“Di mana istana cinta itu?”
“Ia adalah dirimu sendiri.”
Termenung sejenak suaka lakunya memikirkan dan mendalami lebih unik kedalaman filsafat tersebut. Luasa akalnya tertumpu pada kabur iradat yang mulus dalam tebaran sejadahnya. Tiada pengenalan lagi dalam tafsiran sujudnya. Pincang sebutan bait-baitnya sewaktu mendorong bibirnya menyebut sebutir-sebutir permata ayatullah abadi. Kelu, lesu dan terkadang datang juga malu pada serangan musuh yang sudah semestinya menunggu ruang untuk memimpin jauh dengan kesesatan yang didukungnya(Iblis) sejak zaman percintaan syurga dan dunia, Adam dan Hawa lagi. Nyaman menyapa bibir keningnya dan lemah merekah hatinya. Airmatanya kini pula yang mendapat tempat satu cerita sedih atau duka yang datang bersiaran di malam kelam.
Langit kian menyapa tajam kehangatan membara gagah subur menumbuhkan kelu tudingan pada lakunya yang bodoh. Solat, ngajian, tauhid dan segalanya bagaikan mati terkubur dek tanah ketaksuban pada mata anugerah yang indah. Matanya mula tersipu pejam. Tiada pengertian lagi yang tersemai waktu ini pada dirinya. Kesannya memang memuncak kali ini. Puncaknya mungkin setinggi gunung Sinai hijrahan Musa atau bukit Rahmah pengeratan kasih antara Adam dan Hawa atau mungkin kali ini lebih tepatnya adalah gunung Uhud kenangan sebuah peperangan.
“Uhud hendak mengikuti Baginda. Hamzah yang kembali.”
Terbuka terang suluhan matanya menyahut langgam suara yang muncul dari bibir saudagar itu tadi. Namun, kali ini pembukaan matanya jernih bertemankan selubung airmata yang lembut menjalur di balik pipinya.
“Rugilah manusia itu andai mereka mengungkit-gungkit kenangan dengan kosong. Bodoh.”
“Ungkit?”
“Ada akal namun bodoh.”
“Bodoh?”
“Bukan disoal, tapi jawabnya dirimu itulah gelaranmu.”
Kini iramanya lebih sentimental. Tiada lagi kekuatan yang mekar tersemai. Tiada lagi tudung kata-katanya.
Kisahnya, ada sebuah perahu emas di lantai pantaian dan ada seorang pelimbang yang kian dekat menyapa untuk melihatnya. Si pelimbang tersebut terlalu asyik melihat kecantikkan dan keunikkan perahu itu dengan warnanya emas, kayunya berukir khazanah di raja dan sempurna gubahannya. Tanpa berlengah, si pelimbang tersebut kian ghairah ingin mencuba perahu emas itu. Disorongnya ke gigi air perlahan-lahan terhanyutlah si pelimbang mendayung perahu emas kegilaannya. Dalam perlayaran di atas perahu emas itu, si pelimbang dibukakan pandangannya pada sebuah pulau yang pohonnya berdaun emas dan batuannya bukanlah batu sebarangan, batuannya itu adalah baiduri ukiran asli tulus. Si pelimbang terus menjadi lebih ghairah untuk mendayung dengan lebih laju bertujuan dapatlah sedikit sebanyak mengambil khazanah pulau itu untuk di bawa pulang. Dalam sukma yang kian menepuk gila, si pelimbang dapat mengenal pasti akan lantai perahu itu kebocoran. Si pelimbang keluh kekeliruan dan kehampaan mula menconteng langit ketenangannya. ‘Bagaimana perahu secantik ini boleh kebocoran? Sayangnya.’ Si pelimbang mula membuat kerja gila tatkala jemalanya mengkhabarkan bahawa pelayarannya harus diteruskan walau apa terjadi demi suatu suara kerelaan dan keihklasan. Namun perjuangan si pelimbang dalam pelayaran kali ini lebih mengigit seluruh unak duri hidupnya. Tatkala melepasi separuh perlayarannya, laluan ombak ganas menerjah laju lantas menyapu kasar perahu dan si pelimbang. Terkapai-kapai kecelaruan. Dengan tiba-tiba, sejenak selepas kata kerelaan dan keikhlasan dihembuskan. Mengapa, kenapa, bagaimana ombak yang deras itu menguburi hasrat, jasad dan juga sebuah kerelaan yang ikhlas. Tersungkurlah bersama derasnya ombak laut yang datang dari seruan perahu itu sendiri.
Kini perahu itu terdampar lagi di tepian pantai menunggu manusia senasib si pelimbang tadi. Penuh sempurna dan terpuja melihatnya...
Kerut dahinya semakin berlagu keruh, tangannya mula tergerak seinci demi seinci, segala akar urat badannya terkeluar kejang dan ditemani peluh jantan malam. Terbeliak biji matanya deras mencari kiri dan kanan mencari dan terus mencari. ‘Ke mana perginya saudagar tadi?’ Bingung menjajah kencang. Wadah malam itu penuh dengan tertinta sebuah buku misteri alam nyata. ‘Siapa dia?’
“Usahlah kau pertanyakan, andai kau tahu itu, maka gila gelaranmu”
Suara tanpa wajah. Ternganga dan terbeliak sehinggalah dia bermimpi bertemu Jibril atau Muhammad. Begitu kuat pengorbanannya untuk menggenggam cita namun karam di tengah lautan. Mungkin akan datang kelak suatu kelahiran pelimbang yang baru dan lebih tahu.

-Tamat-

Karya : Amni Jagat
Tarikh : 9 September 2008