Selasa, 23 Februari 2010

Melihat rebahnya malam


Dua tiga hari ni, aku sengaja melayan jiwa dengan mendengar lagu-lagu lama(Rock Kapak). Aku agak meminati lagu-lagu lama tersebut oleh kerana lirik-lirik mereka yang mencabar pemikiran. Entah macam mana kali ni aku sengaja mendengar sebuah lagu yang sememangnya sudah lama aku tak layan tapi kali ni ia seolah mencengkam semula ke lubuk sanubariku. Lagu tersebut bertajuk 'Wajah Seribu Erti' nyanyian kumpulan Alfa. Aku dah dengar lagu ni lama dah. Aku buat tak endah saja. Kenapa ya kali ni aku mula merasakan macam ada sesuatu pada lagu ni?

Aku melihat rebahya malam di pangkuan barat sedang di timur mula ghairah menggenggam seloreng cahaya memecahkan kelam semalam. embun perlahan menitis bagai menangis meninggalkan kelam. Aduh saujana, siapakah gerangan yang memberi rasa sebegini rupa. Pada permulaan aku agak terpengaruh dengan tajuk pada lagu tersebut yang membaitkan tentang sesebuah perkara rahsia yakni pengertian dari selarik wajah. Lagu tersebut mengisahkan tentang pemergian kekasihnya yang meninggalkan wajah seribu pengertian. Namun bait liriknya bagiku agak menarik kerana ia seolah mengingatkan aku kepada kiamat kecil pada diriku.

Melihat rebahnya malam begitulah yang aku cuba imaginasikan untuk novel aku yang sudah lama dalam pembinaan yang bertajuk 'Anca Dayanti'. Sebenarnya kerana kesibukan aku terkadang lupa untuk melihat pagi dini dan malam hening. Namun lagu tersebut telah mendorong aku semula untuk mengambil sedikit masa bagi melayari perasaan bersama-sama alam. Ternyata dalam melayani perasaan tersebut, aku mula mendapat suntikan semangat untuk terus menyiapkan penulisan seterusnya dalam novel remajaku.
Khazanah Kekasih Adikara sekarang sudah sampai ke peringkat akhir penerbitannya. Mungkin ada yang mengejutkan sedikit.

Khamis, 18 Februari 2010

Dari dada buku

Sufi-Sufi Teladan

Peristiwa di zaman seorang guru sufi yang bernama Ibrahim bin Adham. Di suatu ketika tatkala Ibrahim bin Adham sedang beristirehat, datang seorang pemuda yang kelihatan kusam dan lesu lantas dalam perjalanan menuju ke arah beliau(Ibrahim bin Adham). Setibanya pemuda itu di hadapan Ibrahim bin Adham, ia terus mengadu tentang perkara yang menjadi kerunsingannya selama ini.
"Wahai guru yang fatanah, aku ingin bertanya adakah seseorang yang banyak membuat maksiat akan mendapat keampunan dari Allah kelak?"
"Ketahuilah wahai anak muda, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun selagi kau ingin dan merindui taubat itu." Ibrahim bin Adham menjawab.
"Apakah ada ruang untuk melakukan sejengkal maksiat?" Tanya pemuda itu lagi.
"Sesungguhnya ketahuilah olehmu wahai anak muda, ada enam perkara untuk kau ketahui sebelum kau melakukan sesuatu maksiat."
"Apa perkaranya wahai guru yang arif? Saya sudi mendengar."
"Perkara pertama, jika kau melakukan maksiat janganlah kau makan atau minum malah mengambil dari hasil rezeki Allah."
"Tapi bagaimana wahai guru? Di timur di barat, di utara di selatan, di darat di laut malah siang dan malam aku tidak dapat hindari dari segala rezeki yang datangnya dari Allah."
"Cuba kau fikiran, adakah patut kau mengambil rezeki dari seseorang yang telah kau dustai. Wahai anak muda sanggupkah kau mengambil rezeki Allah sedangkan kau melanggar peraturanNya?"
"Baiklah, wahai guru apakah perkara yang kedua?"
"Perkara kedua, jika kau melakukan maksiat janganlah kau menetap di bumi Allah, keluarlah kau dari bumiNya."
"Ini juga adalah berat bagiku, mana mungkin aku dapat lakukannya semuanya ini adalah bumiNya, ke mana lagi hendak aku pergi?"
"Muliakah dikau untuk terus mendiami bumi Allah ini sedangkan kau melakukan sesuatu yang di benci oleh Tuannya."
"Wahai guru teruskan dengan perkara seterusnya."
"Perkara ketiga, di waktu kau melakukan maksiat ingatlah bahawasanya Allah tidak melihat dan tidak mengetahui tentang apa yang kau lakukan."
"Perkara ini mustahil bagiku ya guru, Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui sedangkan apa yang terselindung di balik hati kecil nurani pun Dia boleh mengetahuinya dan sedangkan apa yang terlintas pun Dia juga ketahui akan itu."
"Layakkah dikau untuk dipertontonkan dan diambil berat dalam keadaanmu melakukan maksiat itu kepada Allah."
"Wahai guru yang budiman apakah perkara seterusnya?"
"Perkara keempat, jika datang kepadamu Izrael ingin mencabut nyawa mintalah tangguh padanya dan katakan padanya aku belum bertaubat."
"Apakah bisa aku lakukan begitu?"
"Makanya segeralah bertaubat sebelum ajalmu datang menjemput."
"Perkara seterusnya wahai guru?"
"Perkara kelima, jika kelak datang mungkar dan nankir berlawanlah kau sedaya upaya sekeringat yang ada pada dirimu."
"Baiklah, apakah perkara yang terakhir?"
"Perkara keenam, tatkala kelak kau di sisi Allah dan Allah memerintahkanmu untuk masuk ke dalam neraka maka jawablah kau bahawasanya aku belum bersedia untuk memasukinya."
"Baiklah terima kasih wahai guru."
Maka berlalulah anak muda itu dengan hati yang tenang dan lapang setelah kekusutannya itu terjawab oleh perkara-perkara yang diterangkan sejelasnya oleh gurunya Ibrahim bin Adham. Maka dari sejak itu anak muda tadi bertekad menjadi manusia yang paling mulia di sisi Allah Azza Wa Jalla.

Rujukan buku, kisah-kisah sufi teladan

Ahad, 14 Februari 2010

CERPEN - BADI -



Episod 3 (Akhir)

“Ya, mereka juga mencari, pencarian itu suatu pembelajaran dan pembelajaran itu suatu pencarian. Musa juga mencari akan siapa dirinya, Muhammad juga mencari siapa dirinya.”
“Bagaimana dengan Sulaiman?”
“Sulaiman mencari cinta yang digambarkan padanya seindah istana Balqis begitu jugalah dengan puterinya. Maka sebelum kau mengenal cinta, carilah kau akan istananya.”
“Di mana istana cinta itu?”
“Ia adalah dirimu sendiri.”
Termenung sejenak suaka lakunya memikirkan dan mendalami lebih unik kedalaman filsafat tersebut. Luasa akalnya tertumpu pada kabur iradat yang mulus dalam tebaran sejadahnya. Tiada pengenalan lagi dalam tafsiran sujudnya. Pincang sebutan bait-baitnya sewaktu mendorong bibirnya menyebut sebutir-sebutir permata ayatullah abadi. Kelu, lesu dan terkadang datang juga malu pada serangan musuh yang sudah semestinya menunggu ruang untuk memimpin jauh dengan kesesatan yang didukungnya(Iblis) sejak zaman percintaan syurga dan dunia, Adam dan Hawa lagi. Nyaman menyapa bibir keningnya dan lemah merekah hatinya. Airmatanya kini pula yang mendapat tempat satu cerita sedih atau duka yang datang bersiaran di malam kelam.
Langit kian menyapa tajam kehangatan membara gagah subur menumbuhkan kelu tudingan pada lakunya yang bodoh. Solat, ngajian, tauhid dan segalanya bagaikan mati terkubur dek tanah ketaksuban pada mata anugerah yang indah. Matanya mula tersipu pejam. Tiada pengertian lagi yang tersemai waktu ini pada dirinya. Kesannya memang memuncak kali ini. Puncaknya mungkin setinggi gunung Sinai hijrahan Musa atau bukit Rahmah pengeratan kasih antara Adam dan Hawa atau mungkin kali ini lebih tepatnya adalah gunung Uhud kenangan sebuah peperangan.
“Uhud hendak mengikuti Baginda. Hamzah yang kembali.”
Terbuka terang suluhan matanya menyahut langgam suara yang muncul dari bibir saudagar itu tadi. Namun, kali ini pembukaan matanya jernih bertemankan selubung airmata yang lembut menjalur di balik pipinya.
“Rugilah manusia itu andai mereka mengungkit-gungkit kenangan dengan kosong. Bodoh.”
“Ungkit?”
“Ada akal namun bodoh.”
“Bodoh?”
“Bukan disoal, tapi jawabnya dirimu itulah gelaranmu.”
Kini iramanya lebih sentimental. Tiada lagi kekuatan yang mekar tersemai. Tiada lagi tudung kata-katanya.
Kisahnya, ada sebuah perahu emas di lantai pantaian dan ada seorang pelimbang yang kian dekat menyapa untuk melihatnya. Si pelimbang tersebut terlalu asyik melihat kecantikkan dan keunikkan perahu itu dengan warnanya emas, kayunya berukir khazanah di raja dan sempurna gubahannya. Tanpa berlengah, si pelimbang tersebut kian ghairah ingin mencuba perahu emas itu. Disorongnya ke gigi air perlahan-lahan terhanyutlah si pelimbang mendayung perahu emas kegilaannya. Dalam perlayaran di atas perahu emas itu, si pelimbang dibukakan pandangannya pada sebuah pulau yang pohonnya berdaun emas dan batuannya bukanlah batu sebarangan, batuannya itu adalah baiduri ukiran asli tulus. Si pelimbang terus menjadi lebih ghairah untuk mendayung dengan lebih laju bertujuan dapatlah sedikit sebanyak mengambil khazanah pulau itu untuk di bawa pulang. Dalam sukma yang kian menepuk gila, si pelimbang dapat mengenal pasti akan lantai perahu itu kebocoran. Si pelimbang keluh kekeliruan dan kehampaan mula menconteng langit ketenangannya. ‘Bagaimana perahu secantik ini boleh kebocoran? Sayangnya.’ Si pelimbang mula membuat kerja gila tatkala jemalanya mengkhabarkan bahawa pelayarannya harus diteruskan walau apa terjadi demi suatu suara kerelaan dan keihklasan. Namun perjuangan si pelimbang dalam pelayaran kali ini lebih mengigit seluruh unak duri hidupnya. Tatkala melepasi separuh perlayarannya, laluan ombak ganas menerjah laju lantas menyapu kasar perahu dan si pelimbang. Terkapai-kapai kecelaruan. Dengan tiba-tiba, sejenak selepas kata kerelaan dan keikhlasan dihembuskan. Mengapa, kenapa, bagaimana ombak yang deras itu menguburi hasrat, jasad dan juga sebuah kerelaan yang ikhlas. Tersungkurlah bersama derasnya ombak laut yang datang dari seruan perahu itu sendiri.
Kini perahu itu terdampar lagi di tepian pantai menunggu manusia senasib si pelimbang tadi. Penuh sempurna dan terpuja melihatnya...
Kerut dahinya semakin berlagu keruh, tangannya mula tergerak seinci demi seinci, segala akar urat badannya terkeluar kejang dan ditemani peluh jantan malam. Terbeliak biji matanya deras mencari kiri dan kanan mencari dan terus mencari. ‘Ke mana perginya saudagar tadi?’ Bingung menjajah kencang. Wadah malam itu penuh dengan tertinta sebuah buku misteri alam nyata. ‘Siapa dia?’
“Usahlah kau pertanyakan, andai kau tahu itu, maka gila gelaranmu”
Suara tanpa wajah. Ternganga dan terbeliak sehinggalah dia bermimpi bertemu Jibril atau Muhammad. Begitu kuat pengorbanannya untuk menggenggam cita namun karam di tengah lautan. Mungkin akan datang kelak suatu kelahiran pelimbang yang baru dan lebih tahu.

-Tamat-

Karya : Amni Jagat
Tarikh : 9 September 2008

Isnin, 8 Februari 2010

Berita dari cakrawala


Pagi tadi pukul 2.45 pagi hingga ke dini subuh, bintang yang julung kalinya kelihatan telah muncul di cakrawala kita. Peristiwa ini dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar(andai cuaca tanpa berawan). Maafkan aku kerana tak maklumkan awal kepada kalian semuanya. Aku agak kesibukan dan untuk pengetahuan semua sepanjang warkah aku yang terakhir di blog ini, aku agak sibuk dengan menguruskan beberapa perkara mengenai kegiatan seni. Aku baru pulang dari Kuala Lumpur dalam menghadiri bengkel bersama Pak Samad.
Berbalik kepada bintang pagi tadi. Bintang itu berukuran 800 kali jejari matahari. Bintang itu diberi nama Antares. Bintang ini pagi tadi dapat dilihat dengan berwarna merah pekat sambil berkelip-kelip diselang warna perak. Terlalu takjub keilmuan Maha Suci Allah.
Untuk pengetahuan semua pada 12 Februari ini kita dapat diperlihatkan satu lagi keajaiban langit di mana Planet Utarid akan dapat dilihat dengan mata kasar pada pagi hari tersebut. Utarid adalah planet yang paling hampir dengan matahari. Fenomena ini berlaku sewaktu subuh pagi tersebut. Sama-samalah sesiapa yang berminat menyaksikannya. Akan datang Marikh akan dapat kelihatan di langit dengan mata kasar. Tunggu tarikhnya...
Terima kasih kawan-kawanku dan abangku. Abangku Shamsul, Sahabatku Saiful, kawanku Fauzi(Papua New Jui Nii) kerana menemani aku dalam mengkaji ilmu cakrawala pagi tadi.
Khazanah Kekasih Adikara.

Khamis, 4 Februari 2010

Wasiat di langit




Pada tarikh 1 Februari malam 2 Februari 2010, aku telah dikejutkan dengan panggilan talifon dari kawan abangku yang menalifon abang. Sewaktu itu aku sedang duduk di sebelah abang di dalam kereta. Kawan abangku menyampaikan pesan kepadaku kerana mungkin dia tahu aku agak berminat dalam pengkajian tentang alam untuk aku mendonggak seketika ke langit bagi manyaksikan bulan pada waktu itu. Jam di dalam kereta menunjukkan kira-kira pukul 10:10. Bagiku fenomena di zahir mataku adalah fenomena biasa. Kawan abang aku cuba mengesahkan keadaan di Johor kerana dia sedang menetap di Shah Alam. Bagi kawan abang aku pandanganku mewakili pandangan manusia yang menetap di Johor justeru dia agak risau entah apa yang akan berlaku kemungkinan hanya di Shah Alam semena.
Fenomena mungkin gila, tapi agak menarik untuk umum ketahui. Aku dikhabarkan pada waktu itu bulan penuh dan berwarna merah Marikh. Argh, fenomena bulan berwarna merah. Aku agak terkejut, apa yang berlaku?
Sehingga hari ini, masih tidak ada kenyataan dari NASA, ESTI atau mana-mana akademi mengenai fenomena ini. Samalah juga fenomena yang berlaku pada tahun lepas yakni fenomena gerhana sebanyak tiga kali berpasangan antara bulan dan matahari. Cuba kita lihat mengikut Hadith di mana telah disabdakan pada kita(Umat Islam) yang mana sepuluh tanda besar kiamat dan salah satunya adalah gerhana di timur dan barat. Melalui fenomena bulan merah pula. Kemungkinannya ini berkait kuat dengan keadaan fenomena kepincangan yang berlaku di bima sakti. Aku makin kebuntuan mengkaji. Aku harapkan semua yang membaca artikel ini lekaslah mengambil tahu tentang fenomena alam sekarang. Sesiapa yang berminat untuk mengkaji lanjut tentang perkara ini, nantikan pada pagi 8 Februari 2010 ini di mana bintang Antares antara bintang yang terbesar di legaran bima sakti yang berukuran 800 kali jejari matahari dijangka akan timbul di langit pada pukul 2.35 pagi.
Khazanah Kekasih Adikara...

CERPEN - BADI -




Episod 2

“Assalamualaikum.”
“Alaikumussalam.”
Pecah kedinginan malam kali ini. Damai yang tadi permai juga berderai pecah retak secara tiba-tiba. Suara itu meneksentrikkan cahaya suluhan dengan sifat yang mula kegerunan. Mungkin dendam atau kegerunan kini berkocak bagai ribut dan pasang lautan sedang bersatu menghempas pantai, pohon kelapa juga terbabit melentuk liuk sehingga setinggi tamadun pelepahnya mencecah ke bumi, renek pohonan terbang berkeliaran bersama daun-daun ru kering menghinggap entah ke mana tujuannya dipandu ribut.
Tersandar sambil menafsir kehadiran insan di hadapannya kemas berjubah labuh keputihan, berserban litup salju keputihan, wajah yang cerah menerangi kelam pemerhatian, bertongkat uzur dan andai direnung lembut lagi maka bertuahlah jika sangkaannya itu adalah wali Allah. Bibir saudagar tadi tersenyum penuh dengan berjuta erti. Janggutnya memutih menambahkan lagi persoalan akan perihal sebenarnya insan di hadapannya yang berdiri tegap tersergam.
“Siapa abang ni?”
“Siapa aku tidak perlu kau tahu.”
“Dari mana datangnya...?”
“Itu juga, tidak perlulah kau tahu. Andai kau tahu maka gila gelaranmu.”
“Gila!”
Hilang secara tiba-tiba dendam yang sedang berperang tadi dan kemenangan bagi pihak ketenangan yang disokong kuat kegerunan tadi.
“Politik, diri, peristiwa Natrah 1950, sajak, penulisan, seni, irama, A. Samad Said, sukan, alam atau tauhid?”
“Apa itu?”
“Soalan bukan dijawab dengan soalan. Kau bermimpi bertemu Jibril.”
“Jibril?”
“Soalan bukan dijawab dengan soalan.”
Jibril dengan kepaknya yang menudungi bumi. Mendatangi para rasul yang dalam pencarian.
“Atau Muhammad yang kau temu?”
“Tidak, saya masih mencari.”
“Kau cari Khidir. Adakah kau Musa?”
“Juga tidak.”
“Lalu mengapa kau gelabah mencari dirimu sendiri. Bukan dendam itu pilihan rasul, bukan mukjizat itu impian rasul. Dunia tetap dunia, dunia bukan neraka, dunia bukan juga syurga.”
Khidir pernah mendatangi Musa juga pernah mendatangkan misteri. Adakah juga sama insannya yang membawa istana Ratu Balqis ke hadapan Sulaiman sebangunnya baginda dari tempat duduknya? Samakah peristiwa itu dengan tujuh bulan lepas? Makin kusut kesumanya menafsir madu madah saudagar itu. Musa juga pernah kecewa pabila umatnya membina ‘Patung Lembu’ sebagai tuhan. Musa pernah ke gunung Sinai bagi menyepikan diri. Musa pernah gopoh bertanya soalan pada Khidir akan jawapan tentang kelakukan Khidir yang pelik. Segala kekusutan kini menandingi ketenangan.
Mimpi bertemu jelitawan pujaan tujuh bulan yang lalu cukup untuk menimbulkan sejuta keraguan akan langkahnya dalam menyemai erti hidup. Senyuman jelitawan itu tidak berjaya lagi dikikis keseluruhannya. Renungan mata jelitawan itu cukup membuatkan aspirasinya hanya tertumpu sejenak pada karya indah yang suatu ketika dahulu berdiri ayu di hadapannya bermain sandiwara. Sungguh kekecewaan kali ini tidak dapat lagi dicungkil dengan ketenangan semata melainkan dengan hadirnya sebuah keajaiban dalam sejarah dirinya sendiri apatah lagi perpisahan itu terjadi tatkala mekarnya kuntum mewangi gemirap keseluruh benaknya yang ketika itu gering ketandusan. Pernah didengarkan bahawasanya peristiwa itu berlaku hanya memakan masa sehari atau lebih kurang dari penilaian yang lebih rapi yakni seminit keterlanjuran kata-kata. Bisa terbuah tanpa penjelasan pada hakimnya. Pengharapan tetap diletakkan namun pengharapan kali kedua lebih mustahil dari pengharapan yang pertama.
Matanya mula tertumpu semula pada saudagar yang tanpa disedarinya kini bertenggek disebelahnya.
“Kau cari kenangan, mengapa? Dia pergi atas permintaannya.”
“Saya tak berdaya untuk berdiri.”
“Kau gila! Kau sudah mensia-siakan hidup kau.”
“Ya, semua kata begitu, termasuk abang yang terbaru.”
“Kau ingin membantu dengan jawapan. Manusia yang lemah akan lemah dengan kesenangan. Itulah sebabnya Khidir diutuskan bertemu dengan Musa. Itulah sebabnya Jibril memeluk erat dan kuat tubuh Muhammad.” Saudagar itu tertunduk sambil perlahan airmatanya mengalir jernih setitis demi setitis jatuh di hujung pipinya. “Aku bagai ada bersama mereka waktu itu.”
“Apakah sama masalah saya dengan mereka?”

Sambung...

Selasa, 2 Februari 2010

PUISI

Sendiri berdiri

Di sini rembulan berwajah kemerahan
hati terbuka menyentuh jiwa
kalbu bertawaf di hulu wirid
nafas terhela lantas berkemudi
mencari diri yang berdiri
di antara wajah dan wadah

Kau hela menjadi cerita
ceritanya pelangi tujuh warna maya
aku berkuda mendaki suara
rahsia kau hurai menjadi rindu
manikam yang bernyawa cinta
dalam sinar sifat mimpi
Kau dalam diri yang bersendiri
dan sutera mayaMu ternyata menikam

Perjalanan ku mendaki
mencari diri sendiri yang berdiri
dan wajah purnama masih buntu kemerahan
adakah warna itu sifatnya
adakah bulan itu dirinya
aku masih berteduh
di bawah tamar di tengah sahara

Amni Jagat