Sabtu, 30 Januari 2010

Aku dalam diri


Aku suka dengan sebuah kata-kata yakni 'Kembara'. Mungkin bila didengarinya ada yang terasa seperti letih untuk berjalan mengembara dalam hidup. Tapi bukan persoalannya letih atau kuat namun bagi aku ia satu kepuasan dalam menikmati hidup yang penuh dengan eksistensi mimpi. Jika kita cuba ketahui bahawasanya waktu dulu boleh dikatakan semua Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi Allah banyak yang mengembara. Ramai yang berpendapat ia sebagai sebuah dakwah tapi bagi aku pula mereka mencari satu kajian dan menceritakan kepada sesiapa yang hadir di sisi mereka pada waktu itu. Contoh yang terbaik adalah contoh Nabi dan Rasul. Apa yang mereka cari dan apa yang mereka kaji?
Aku melihat debu menjadi pasir, air menjadi salji dan benih menjadi pucuk. Kajiku hanya untuk melihat apa yang terselindung di balik kabus putih yang berbayang. Aku mencari faktor yang mewujudkan kabus dan bayang. Selagi ada cahaya di situ adanya bayang.
Aku dapat merasakan aku juga sudah bukan aku lagi kerna aku sudah merasakan ramai di dalam aku. Diri atau aku berdiri? Argh! Memang aku kena mengembara lagi. KHAZANAH KEKASIH ADIKARA....................................

Rabu, 27 Januari 2010

CERPEN - BADI -



SEBUAH KISAH PERIBADI
KARYA KHAS AMNI JAGAT
DITERBITKAN PADA TARIKH 9 RAMADHAN 1429
BERSAMAAN 9 SEPTEMBER 2008
ANTARA PURBALOKA DAN KENYATAAN
MENJADI PELUKAN SEPANJANG MALAM DAN SIANG
DENDAM, BENCI DAN RINDU MENJADI SATU
SEHINGGA MEMBAWA DIRI MENJADI BADI...

EPISOD 1

Rambut panjang mencecah separuh tulang belakang itu memang sentiasa kusut dan mengerbang. Terkadang muram raut wajahnya terselak lembut hasil dari eksentrik bayu malam mahupun siang. Matanya sering melihat tarian kaki manusia bermain erofon atau bermain lenggok mak yong syirik, begitulah difikirkan dalam filsafat hidupnya. Mungkin tujuh bulan dahulu bukan begini filsafatnya. Katanya wajah seindah bidadari yang gemalai terang turun dari kelam langit mencapai lentur hatinya lantas meniupkan manna kasih. Mungkin suara-suara kemesraan tujuh bulan sebelumnya masih menari-nari riang dalam kenangannya. Seutas tangisan dan seterik senda pernah dimelodikan oleh serunai jiwanya.
Memang jaraknya agak tidak kurang lamanya, namun pahit bisanya itu bernanah panas berdenyut-denyut mengerang mengganggu kehidupannya. Suara kebahagian, suara seorang kekasih dan juga suara seorang ibuanda yang gering pengharapan telah ditelan dengan kata-kata bukan di hadapannya. ‘Mereka masih belum mati, mereka masih belum mati.’ Kejung biru urat tangannya bagai terhenti darah yang mengalir dalam setiap sumsum rongga kebiruan urat tangannya. Pancaran madah berluasa bila kebencian seorang kekasih menampar dengan tamparan melulu tanpa ciuman penghargaan gagah berdiri atas sebutir pengorbanan bertunjang kejujuran. Gugup menyelinap masuk pantas menangkis segala hening kudrat yang dibekalkan selama ini. ‘Kau lelaki yang paling jahat yang pernah aku kenal! Kau tidak pandai menjaga anugerah yang Allah kurniakan pada kau. Kau jangan mengganggu adikku lagi.’ Tiga suara yang berlainan puncanya telah menghantui siang dan malam setiar pencariannya. Kekasih, sahabat dan maruah. Terkadang airmatanya mengalir disedari atau tidak disedarinya. Tujuh bulan itulah perkataan yang selalu atau kerap dihembuskannya perlahan-lahan.
Malai tangannya menggerakkan kuda di persada papan catur bagi menyusun seilham strategi untuk menyerang lawannya yang juga kawannya.
“Kau ingin menyerang?”
“Tidak.”
“Mungkin kau perlukan serangan dariku.”
“Tidak.”
“Apa yang kau perlukan sebenarnya?”
“Sokongan.”
Pentas catur itu semakin ghairah teratur disusun siagam susila bicara. Tangan semakin erat menggenggam gulungan rokok daun yang masih kelihatan berasap. Cengkung pipinya menyedut agak kasar bagi tujuan menyemarakkan api yang semakin kecil bernyala pada hujung rokoknya tadi. Tangan kanannya tergerak mencapai pemetik api lantas menyalakan apinya untuk dicucuh semula pada hujung rokok daunnya yang terpadam. ‘Apa salahku? Apa kesilapanku? Aku tidak diberikan peluang untuk bersemuka dan aku tidak diberikan suara untuk aku menjelaskan hal sebenarnya. Ini semua angkara salah faham. Sahabat aku, kekasih aku. Abangnya itu sahabat aku, adiknya itu kekasih aku. Andai aku berkahwin dengan adiknya bererti aku juga berkahwin dengan keluarganya. Aku lelaki jahat yang pernah dia kenal.’
“Argh!”
“Kenapa dengan kau?”
Suara seolah amukkan bergema di pentas medan peperangan minda catur.
“Aku mati!”
“Belum aku isytihar menang atau kalah.”
“Pernah aku terbaca dalam Quran, tiada kalah bagi Islam.”
“Habis?”
“Menang atau mati.”
“Kau masih belum mati.”
“Aku hanya memohon diri untuk sendiri.”
“Baik, nanti kita sambung.”
Kasih, kekasih begitu keras dasarnya sehinggakan ada yang masih merasakan teraniaya. Dunia tiada peka pada kejujuran adalah dunia kepalsuan. Membuka indera hanya pada sebelah pihak bererti keadilan itu sudah mati. Maka di situlah suatu perkataan ‘aku mati’ dijawab. Berpihak pada diri sendiri adalah suatu kekosongan yang tiada jawapan.
Kakinya laju melangkah pergi dari medan peperangan catur tadi. Dalam firasatnya hanya pengenalan pada diri sendiri adalah lebih mulia dari mengenali diri manusia yang suka melihat aurora itu indah. Mindanya kembali kusut semula. Kali ini tujuannya adalah menjengah angin malam di balik hutan yang tidak jauh dari kawasan rumahnya. Alam cukup damai, alam adalah cermin sebuah cerita purbaloka. Eksistensinya merupakan sebuah bayang yang bersuara tapi tidak kedengaran oleh telinga yang mencari riuh palsu dunia. Kekacauan dibilas dengan ketenangan. Hanya penentuannya adalah menang atau mati.
Mengapa, kenapa, bagaimana menjadi liku persoalan mula menerpa tersua menunjuk rupa. Kebatuan hati tetap diagungkannya demi menegakkan pencarian yang semakin gila dengan dendam. Bukan dendam pernah dikatakannya tapi keadilan dan penjelasan. Dendam itu adalah sebuah sakti berleluasa ganas membadai keakuran searak damai dan ketenangan. Suram malam tetap gigih juga mempertahankan kesenian. Sambung...

Isnin, 25 Januari 2010

Berita dari luar jendela

Mungkin ramai yang ingin mendengar cerita, esok InsyaAllah akan ada sebuah cerpen yang akan dibentangkan di blog ini nurkilan Amni Jagat yang bertajuk BADI. Sama-sama kita nantikan esok...

Hari yang letih

Hari ini aku dikerahkan dengan kekabutan si kantong daya. Aku tak dapat nak menceritakan banyak hari ini. Cuma hari ini aku ada pasti, pagi nanti ada sang suria yang akan menyinari seluruh alam.
Ada kawan-kawan aku bertanya padaku mengenai pendirian aku tentang peristiwa kemangkatan Sultan Johor baru-baru ini(aku orang selatan). Kawan-kawan aku bertanyakan atas titik perkara pengajaran. Ayuhlah kita cuba hayati dan kongsi bersama. Seorang Sultan masih juga akan bertemu ajal apalagi kita yang tidak punya apa.
Aku hadamkan perkara ini kepada kawan-kawanku. Kematian itu 'pasti' tidak ada yang kekal melainkan Allah SWT.
Al Fatihah kepada DYTM Sultan Johor Darul Takzim.

'Asal bayang pulang di hujung kaki
pabila mentari melambai pergi
asal sinar bersatu menjadi seni
pabila langit bertemu bumi'
Amni Jagat

Ahad, 24 Januari 2010

Khabar dari alam

Memang dari lumat besi dan pedu
aku sandingkan sejuta akad
antara bayang dan tubuhku
aku jamahi beribu tekad

Telah mati di hadapan mata
antara seni dan permata
walau lantai menari lagu cinta
namun arena penuh dengan dusta

Agung wujud menjadi warna
sinar derap menghukum lena
aduh sang sabit merana
apabila wajah tercinta tidak terjelma

Seribu ketar luhur lusuh
menanti ajal suara mengegar cahaya
di depan, di belakang tersimbah peluh
rajuk takut luluh berfana

Jasad hanya tubuh sejengkal
usah diselam jauhnya takabur ilmu
belajar dari hulu ke pangkal
akan dikenalkan siapa Tuhan yang merindu

Amni Jagat

Khamis, 21 Januari 2010

Merenung dalam diri

Assalamualaikum...
(Lama aku menyepi maafkan aku andai bersalah.)

Dalam peringkat pengembaraan sehingga kini, aku masih dalam kelemasan dalam merenung diri yang indah berdiri namun jiwanya terkulai berbangkai. Aku masih tidak sanggup melihat dosa-dosa di antara insani sesama insani yang dilakukan setiap hari, setiap saat tanpa mengira waktu. Semalam sejenak kian pendengaraanku melihat kata-kata suara radio yang berputar bermain di seluruh pelusuk benakku dengan irama 'keroncong'. Aku terngiang waktu itu akan sebuah kenangan sewaktu aku mula-mula mendengar lagu Keroncong Untuk Ana nyanyian M. Nasir dan lirik ditulis oleh S Amin Shahab.
Saat kenangan itu berlegar di kotak imaginasiku, aku sedar bahawa waktu itu memang sungguh menarik dan indah mungkin. Aku tidak tahu mengapa hari ini aku merasakan pada waktu itu sangat menarik dan indah sedangkan pada waktu aku di posisi kenangan itu, aku tidak dapat merasakan apa-apa yang menarik dan indah. Mungkin ada sesuatu perkara yang perlu aku rungkai dan teliti dalam perjalanan ini.
'Benarkah tiada bagiku ruang di hatimu untukku bertapak?' Inilah yang menarik mungkin. Sambil perlahan mataku semalam menjadi letih lantas bergegas mengambil diri untuk pulang kerana aku sedang di warong kopi Pak Long Taman Dahlia. Dalam perjalanan balik aku terserempak dengan bintang yang bersinar di atas kepalaku. Kilauannya cukup membuatkan aku terpesona. Sesampai saja aku di rumah, kereta adik aku pun siap senggara dilabuhkan di dalam garaj aku pun terus menojah mataku ke langit buat kali yang kedua. Memang benar ada yang ajaib dalam diri aku berbanding waktu itu.
Waktu itu aku melihat dengan cermin, pelangi dan bayang
Hari ini aku melihat dengan bintang, jiwa dan diri...